MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan maklumat-maklumat mengenai syarikat di mana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang telah membuat pelaburan: (a) Bilangan syarikat (b) Jumlah pelaburan setiap syarikat (c) Jenis-jenis industri yang terlibat (d) Keuntungan atau kerugian setiap syarikat (e) Nama-nama syarikat
Dun -
Exco YABKM
Perkara -

Jawapan
1. Setakat ini, bilangan anak syarikat milikan penuh, anak syarikat (milikan majoriti), syarikat bersekutu (milikan minoriti) dan syarikat-syarikat lain di mana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah melabur dan memegang ekuiti adalah sebanyak 36. Kedudukan syarikat-syarikat ini adalah dirumuskan seperti berikut :

SYARIKAT EKUITI PDC (%) AKTIF DISUSUN SEMULA DORMAN JUMLAH
Anak Syarikat Milikan Penuh 100 6 6 - 12



SYARIKAT EKUITI PDC (%) AKTIF DISUSUN SEMULA DORMAN JUMLAH
Anak Syarikat (Milikan Majoriti) 51 - 99 1 - 1 2
Syarikat Bersekutu (Milikan Minoriti) 20 - 49 11 - 4 15
Lain-lain Pelaburan Kurang dari 20 7 - - 7
JUMLAH 25 6 5 36

Jadual di atas menunjukkan syarikat-syarikat pelaburan PDC yang mana pegawai-pegawai PDC sediaada telah dilantik sebagai wakil pengarah dalam lembaga-lembaga syarikat tersebut sahaja. Ianya tidak termasuk syarikat-syarikat yang mana PDC telah memegang peratusan ekuiti yang agak kecil atau membuat pelaburan melalui pembelian saham dari Bursa Malaysia dari masa ke semasa dan oleh itu tidak langsung mempunyai wakil dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Maklumat mengenai nama syarikat, sektor, pemegang saham utama, ekuiti PDC, tahun penubuhan, jumlah kos pelaburan oleh PDC, dan keuntungan atau kerugian terkumpul Cumulative Profit or Loss (CPOL) berdasarkan akaun beraudit bagi tahun kewangan 2003 adalah seperti di Lampiran I. Keuntungan atau kerugian bagi tahun 2004 tidak dapat dikemukakan sebab angka-angka tersebut masih belum diaudit lagi.

Dividen terkumpul yang diperolehi oleh PDC setakat 31 Disember 2004 melalui pelaburannya dalam syarikat-syarikat di atas adalah sebanyak RM13.78 juta.

Pada tahun 2004, 6 syarikat milikan penuh PDC telah disusun semula kepada dua buah syarikat baru berdasarkan kepada jenis aktiviti yang sama. Dalam bidang perkhidmatan pakarunding dan pengurusan, PDC-AR&T Total Project Management Sdn Bhd, PDC Technical Services Sdn Bhd dan DCT Consultancy Services Sdn Bhd telah diambilalih oleh sebuah entiti baru yang dikenali sebagai PDC Consultancy Sdn Bhd (PDCC), manakala dalam bidang pengurusan hartanah dan landskap, Pedeco Management Sdn Bhd, Pen Urus Harta Sdn Bhd dan PDC Garden & Parks Sdn Bhd telah diambilalih oleh entiti baru yang lain iaitu PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU).

Sebanyak 12 syarikat milikan penuh PDC telah berjaya memperolehi keuntungan terkumpul sebanyak RM12.26 juta termasuk akaun “CPOL” tahun 2003 bagi 6 buah anak syarikat yang menjadi dorman pada 2004 kerana disusun semula seperti yang dihuraikan di atas. Oleh sebab PDCC dan PDCSU hanya ditubuhkan pada tahun 2004, maka tiada keuntungan atau kerugian dicatatkan pada tahun 2003.

Di antara 12 buah anak syarikat milikan penuh ini, hanya PDC Properties Sdn Bhd yang telah mencatatkan kerugian terkumpul yang besar, iaitu sebanyak RM10.66 juta. Ini disebabkan oleh kerugian yang dialami oleh Padova Corporation Sdn Bhd (Padova) pada tahun 1999 kerana kos perbelanjaan bagi penambunan tanah dan kerja tanah sebanyak RM7.6 juta telah dihapuskira. Jumlah tersebut bukan merupakan kerugian kepada PDC sebab kos tersebut dapat meningkatkan nilai tanah pada masa depan kelak. Punca kerugian lain adalah dari pelesapan 10% harga belian tanah yang berjumlah RM5 juta oleh PDC apabila Padova tidak dapat meneruskan dengan pembelian tanah di Batu Kawan. Akan tetapi, RM5 juta ini merupakan hasil untuk PDC. Oleh itu, kerugian ini merupakan kerugian perakaunan accounting loss sahaja dan sepatutnya tidak dianggap sebagai kerugian sebenar. Nama Padova Corporation Sdn Bhd telah ditukarkan kepada PDC Properties Sdn Bhd pada tahun 2004 agar aktiviti-aktivitinya dapat dipaparkan dengan lebih jelas sebagai syarikat pembangunan hartanah bagi PDC.

2 anak syarikat PDC (ekuiti 51% hingga 99%) telah mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM88,869. Salah sebuah syarikat iaitu PDC-ACE Sdn Bhd adalah dorman sejak penubuhannya pada tahun 1995.

15 buah syarikat bersekutu PDC (di mana PDC memegang ekuiti di antara 20% hingga 49%) telah mencatatkan kerugian terkumpul keseluruhan sebanyak RM63.42 juta. Dari senarai ini, 4 syarikat iaitu Business & Budget Hotels (Seberang Jaya) Sdn Bhd (BBHSJ), PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH), Bayan Baru Specialist Hospital Sdn Bhd (BBSH) dan Kelana Rata Sdn Bhd (KR) adalah dorman sebab belum bermula operasi. Akan tetapi 3 syarikat tersebut iaitu BBHSJ, PHH dan BBSH mempunyai aset tanah masing-masing.

Kerugian dicatatkan oleh Business & Budget Hotels (Penang) Sdn Bhd (BBHP), PDC-YCH Distripark Sdn Bhd (PDC-YCH) dan Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIR) yang melebihi RM1.0 juta setiap satu adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang tinggi dalam tempoh permulaannya. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga syarikat ini merupakan syarikat yang sihat dengan mencatatkan aset bersih positif yang agak besar. PDC-YCH telah mencatatkan keuntungan untuk tahun-tahun 2001, 2002 dan 2003, dan prestasi syarikat ini kian memulih (turnaround) dengan kerugian terkumpul yang kian menurun.

Sementara itu 2 syarikat lain yang mana prestasi kewangan juga telah kian memulih ialah Bukit Mertajam Specialist Hospital (BMSH) dan Penang Network Services Sdn Bhd (PNS). Sejak pengambilalihan Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd (KPJ) pada tahun 2000 yang memegang ekuiti 70%, BMSH telah menunjukkan prestasi kewangan yang kian bertambah baik. Walaupun masih mengalami kerugian terkumpul, jumlah tersebut telah kian menurun. Kerugian terkumpul yang dialami oleh PNS adalah disebabkan oleh kegawatan ekonomi pada penghujung tahun 90’an, sektor perniagaan dot.com sedunia yang merudum crash sejak Oktober 2000 dan perbelanjaan operasi yang tinggi pada tahun-tahun permulaannya. Prestasi kewangan syarikat ini mulai kian memulih disebabkan oleh penstrukturan semula syarikat, penukaran pengurusan dan memperkemaskan operasinya.

Penang Medical College Sdn Bhd (PMC) yang mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM7.6 juta merupakan syarikat yang ditubuhkan atas dasar ‘bukan untuk keuntungan’ not-for-profit organisation tetapi khas untuk tujuan mempromosi Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang cemerlang dalam bidang pendidikan perubatan. Sebenarnya, dengan peningkatan dalam bilangan pelajar yang sudah melebihi breakeven point, PMC dijangka akan mulai mencatat keuntungan pada akhir tahun ini.

Selanjutnya, bagi Worldwide Ventures Sdn Bhd (WV) pula, kerugian terkumpul yang dialami sebanyak RM34 juta adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang tinggi untuk projek-projek pembangunannya khasnya Penang International College.

KGN-PDC Holdings Sdn Bhd (KGN-PDC) yang mencatatkan kerugian terkumpul kurang dari RM100,000 merupakan syarikat pegangan pelaburan sahaja yang mana aktiviti utamanya dalam bidang penebusan tanah dan pembangunan hartanah sedang dijalankan oleh syarikat bersekutunya iaitu Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD) yang mana KGN-PDC mempunyai ekuiti 30%.

Bayan Bay Development Sdn Bhd (BBD), yang mana PDC mempunyai ekuiti 30% tidak termasuk dalam senarai syarikat bersekutu di Lampiran 1 sebab suatu rancangan pemulihan atau rescue plan sedang dilaksanakan di bawah Skim Pengaturan di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat 1965. Di bawah Skim ini, CP Landmark Sdn Bhd, sebuah anak syarikat CP (SEA) Sdn Bhd telah dipilih oleh BBD sebagai White Knight’ untuk mengambilalih projek Bayan Megamall yang telah terbengkalai. Skim Pengaturan ini telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 November 2004. Pada masa ini, kerja-kerja persiapan awal telah dijalankan di tapak oleh CP Landmark. Kerugian PDC dalam syarikat ini adalah terhad kepada RM5.85 juta sahaja {iaitu kos pelaburan PDC sebanyak RM9 juta ditolak dengan jumlah dividen yang telah diterima dahulu (sebelum dilanda kegawatan) sebanyak RM3.15 juta}.

Bagi lain-lain pelaburan PDC yang mana ekuiti PDC adalah kurang dari 20%, jumlah kerugian terkumpul keseluruhan adalah sebanyak RM4.45 juta. Bumiputera & Technology Venture Capital Sdn Bhd (BTVC) dan Kulim Advance Education Corporation Sdn Bhd (KAEC) telah mencatatkan kerugian terkumpul masing-masing disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang tinggi.

Pusat Perabot Utara Sdn Bhd (PTPU) juga telah mencatatkan kerugian terkumpul disebabkan oleh sambutan yang dingin dari industri perabot kayu pada tahun-tahun sebelum 2001. Pada tahun 2001, PTPU telah menamatkan operasi sebagai pusat latihan bagi perabot kayu, dan pada masa sekarang sedang menyewa bangunannya kepada sebuah syarikat pengeluaran perabot. Pada masa ini, pihak Pengurusan PTPU sedang dalam proses berunding dengan pihak luar untuk menjual syarikat dan bangunan tersebut kepadanya. Dengan penjualan ini, PDC mungkin boleh mendapatkan balik sebahagian dari kos pelaburannya yang berjumlah RM312,500.

Secara kesimpulan, dari sejumlah 15 syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan PDC yang mengalami kerugian, hanya 3 sahaja mengalami masalah dari segi kerugian yang dialami. Syarikat-syarikat tersebut adalah Worldwide Ventures Sdn Bhd, Kulim Advance Education Corporation Sdn Bhd dan Pusat Teknologi Perabot Utara Sdn Bhd yang mana jumlah kos pelaburan PDC adalah sebanyak RM9.91 juta. Worldwide Ventures Sdn Bhd pada masa sekarang sedang mengalami kerugian yang besar tetapi sedang berusaha untuk memulih. Bagi Kulim Advance Education Corporation Sdn Bhd pula, permintaan daripada pelajar-pelajar adalah kurang baik manakala Pusat Teknologi Perabot Utara Sdn Bhd sedang dalam proses penjualan syarikat dan bangunan mereka. Dengan penjualan ini, PDC berkemungkinan boleh mendapatkan balik sebahagian dari kos pelaburannya.

Dari jumlah kos pelaburan PDC sebanyak RM90.78 juta dalam kesemua syarikat-syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan, kos pelaburan dalam 3 syarikat di atas adalah hanya RM9.91 juta sahaja yang merupakan 10.92%. Selain dari 3 syarikat ini, PDC berkeyakinan bahawa ianya boleh mendapatkan balik kos pelaburannya dalam syarikat-syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburannya.

Yang harus ditegaskan ialah, bagi syarikat-syarikat bersekutu PDC yang telah mencatatkan kerugian terkumpul, tanggungan kerugian PDC adalah terhad kepada peratus ekuitinya dalam syarikat-syarikat masing-masing. Oleh kerana PDC tidak mempunyai ekuiti majoriti dalam syarikat bersekutu, PDC tidak dapat menerajui dan mengawal pengurusan aktiviti syarikat. Selaras dengan Enakmen PDC, PDC tidak memberi corporate guarantee kepada anak syarikat, syarikat bersekutu atau lain-lain pelaburannya.

Adalah dimaklumkan bahawa semua kerugian tersebut hanya merupakan kerugian perakaunan accounting loss sahaja dan sepatutnya tidak boleh dianggap sebagai kerugian sehingga syarikat digugur. Walau bagaimanapun, kebanyakan syarikat-syarikat ini masih mempunyai aset dan potensi untuk pulih dan berkembang.
Kembali