Jawapan
Sebagai latarbelakang kepada projek Bayan Bay, tender terbuka bagi projek tersebut telah dipanggil oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada Februari 1992. Pada Ogos 1992, Jawatankuasa Penswastaan Lembaga PDC telah menawarkan tender tersebut kepada Syarikat Island & Peninsular Sdn. Bhd. (I & P) daripada tujuh (7) syarikat yang mengemukakan tawaran pada ketika itu. Penawaran tender tersebut adalah berdasarkan kepada harga tanah yang ditawarkan dan konsep pembangunan yang menarik.
I & P kemudiannya telah meletakkan beberapa syarat kepada kandungan pembangunan projek Bayan Bay yang tidak dapat dipersetujui oleh Lembaga PDC. Oleh yang demikian, I & P telah menarik diri dari meneruskan projek Bayan Bay. Pada Januari 1993, Lembaga PDC memutuskan bahawa tender tersebut ditawarkan kepada Duff Bhd. yang merupakan tender yang kedua selepas I & P. Duff Bhd., sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur, kemudiannya telah menukar nama kepada Anson Perdana Bhd (APB) pada 20 Februari 1993.
Bagi membangunkan projek Bayan Bay, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Eternal Resources Sdn Bhd (ERSB) telah ditubuhkan dan PDC telah menandatangani Surat Perjanjian Usahasama dengan APB pada 22 Mei 1993. ERSB kemudiannya telah menukar nama kepada Bayan Bay Development Sdn Bhd (BBD) pada 17 April 2000. Pegangan ekuiti APB dan PDC dalam BBD adalah 70% dan 30% masing-masing. Pelaburan PDC adalah sebanyak RM 9 juta.
Selepas membuat perancangan yang teliti dan mendapat keluluskan pihak berkuasa, pembinaan projek Bayan Bay dimulakan pada Mac 1995 bagi Fasa 1. Sejumlah 92 unit kedai pejabat 3-tingkat telah siap dibina pada Ogos 1998 dan kesemuanya telah habis dijual. Manakala pembinaan Bayan Megamall telah mencapai tahap 85% bagi Fasa 1 dan 35% bagi Fasa 2. Pembangunan Marina Yacht Club, telah mencapai tahap sub-struktur, di mana pembinaan seawall telah disiapkan pada awal 1998, manakala bagi pembinaan Marina Homes, kerja-kerja menanam cerucuk (piling) telah juga dijalankan.
Pembangunan projek Bayan Bay telah menjadi terbengkalai mulai April 1998 disebabkan oleh krisis ekonomi yang melanda negara dan rantau Asia pada ketika itu. Krisis ini telah menjatuhkan pasaran saham secara teruk dan menjejas hampir semua projek hartanah dan komersil. Dalam keadaan sedemikian, APB (pemegang saham utama BBD) telah mengalami kerugian yang besar kerana penurunan harga sahamnya. Ini telah menjejaskan kemampuan APB untuk terus menyokong dan menampung pendahuluan wang bagi pembinaan projek Bayan Bay.
Sejak penghujung tahun 1998, BBD telah berusaha untuk memulihkan projek Bayan Bay. PDC, sebagai pemegang saham BBD dengan ekuiti 30% dalam BBD telah menegaskan pemulihan Bayan Megamall sebagai syarat utama dalam apa juga usaha pemulihan projek Bayan Bay kerana sebanyak 159 pembeli adalah terlibat. Perundingan diadakan berturut-turut dengan tujuh buah syarikat yang menunjukkan minat untuk mengambil-alih projek ini. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak berjaya kerana kesemua syarikat tersebut lebih berminat untuk mengambilalih plot-plot tanah di Bayan Bay yang belum dibangunkan dan tidak bersedia membuat komitmen untuk pemulihan projek Bayan Bay sepenuhnya.
Pada April 2003, BBD telah berunding dengan sebuah syarikat pemaju, iaitu CP Landmark Sdn Bhd, anak syarikat CP (SEA) Sdn Bhd bersedia menepati syarat-syarat yang dikemukakan oleh BBD dan PDC, iaitu memberi keutamaan memulihkan Bayan Megamall, bersama komponen-komponen bangunan yang lain di Bayan Bay.
Seterusnya, BBD telah menyerahkan hak pembangunan kepada CP Landmark Sdn Bhd melalui Skim Pengaturan (Scheme of Arrangement) di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat-Syarikat 1965. Skim Pengaturan ini merupakan opsyen terbaik untuk memulihkan projek Megamall, kerana CP Landmark akan mengambil-alih hutang BBD dengan suntikan sejumlah RM70 juta dan menyiapkan Megamall dalam tempoh 24 bulan.
Persetujuan terhadap Skim Pengaturan tersebut telah diperolehi dalam satu mesyuarat perintah Mahkamah (Court-convened meeting) pada 29 Oktober 2003 dimana 77% dari jumlah penghutang dan mewakili 89% nilai hutang oleh BBD mengundi untuk menyokong skim tersebut. Peratusan minima yang diperlukan mengikut undang-undang ialah 50%+1 penghutang dan 75% nilai hutang. BBD kemudiannya pada 21 November 2003 telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang) Kuala Lumpur untuk mendapatkan kelulusan Mahkamah (sanction).
Walau bagaimanapun, terdapat satu bantahan daripada Mayban Trustees Berhad yang mewakili ahli-ahli Bayan Marina Yacht Club Berhad dan mereka telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah untuk membantah Skim Pengaturan. Pihak BBD menentang permohonan tersebut kerana skim tersebut merupakan usaha memulihkan projek yang terbengkalai sejak 1998 dan ianya telah diluluskan melalui prosedur undang-undang yang diperlukan. Di samping itu, para ahli kelab tersebut bukanlah pemilik kelab, tetapi hanya ahli yang membeli berhak untuk menggunakan segala kemudahan kelab. Pada 2 November 2004, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah meluluskan Skim Pengaturan tersebut yang dikuatkuasakan pada masa itu juga.
Selanjutnya, CP Landmark telah mulai mengambil tindakan untuk memenuhi tanggungjawabnya di bawah Skim Pengaturan tersebut untuk memulihkan projek Bayan Mega Mall.
Walau bagaimanapun, pada 20 November 2004, Mayban Trustees Berhad telah mengemukakan rayuan supaya menentang keputusan Mahkamah Tinggi dan kini BBD masih menunggu ketetapan tarikh oleh Mahkamah Rayuan (Court of Appeal) untuk mendengar rayuan itu.