Jawapan
(a) Bandar Siber Pulau Pinang yang pertama telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri pada 29hb. Januari 2005. Kawasan PCC 1 merangkumi sejumlah 2,283 ekar yang meliputi Taman Perindustrian Bayan Lepas Fasa 1, 2, 3 dan 4 termasuk Technoplex (seluas 1,483 ekar), persisiran pantai termasuk Projek Bayan Bay hingga ke tapak Polis Marin berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang (seluas 260 ekar) dan sebahagian kawasan Bandar Bayan Baru (seluas 540 ekar) yang disempadani oleh Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Mahsuri (termasuk pejabat PDC dan PISA), Jalan Tun Dr Awang termasuk sebahagian taman perumahan Bukit Gedung.
(b) Bandar Bertam di Kepala Batas dan Bandar Cassia di Batu Kawan yang dikenalpasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai Bandar Siber Pulau Pinang yang ke-2 (PCC 2) dan yang ke-3 (PCC 3) masing-masing pada tahun 2008.
(c) Pencapaian Bumiputra dalam industri perkilangan telah meningkat dari segi peluang pekerjaan dan pegangan ekuiti. Walaupun usaha gigih masih diperlukan untuk menggalakkan penyertaan di kategori tinggi. Mengikut kajian PDC setakat Jun 2004, peratusan Bumiputera yang bekerja diperingkat Pengurusan dan Profesional (seperti pengurus, akauntan, jurutera dan sebagainya) adalah sekitar 15% dan diperingkat operator pengeluaran adalah 60%. Peratusan ini adalah berdasarkan saiz sampel 359 buah syarikat dari jumlah besar 709 buah syarikat dalam taman-taman perindustrian yang dimajukan oleh PDC.
(d) Selain daripada itu, mengikut kajian PDC tersebut, bilangan syarikat Bumiputera mengikut peratusan milikan saham adalah seperti berikut:
MILIKAN SAHAM BIL. SYARIKAT
100% 14
51 – 99% 21
30 – 50% 39
Jumlah 74
(e) Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki lagi pencapaian Bumiputra dalam sektor perkilangan. Langkah-langkah yang di ambil untuk meningkat pencapaian Bumiputera dalam industri perkilangan dan juga Penang Cyber City (PCC) ialah seperti:
(i) Menganjurkan seminar-seminar dan kursus-kursus melalui PERDA, PDC, MARA, PPMMPP dan PSDC untuk memaklumkan skim-skim bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti MATRADE, Bank Pembangunan, SMIDEC dan KPUN. Seminar-seminar ini melibatkan jaringan (networking) dengan agensi-agensi ini secara terus.
(ii) Menganjurkan bengkel-bengkel yang bertujuan memberi bimbingan khas seperti kaunseling kepada usahawan Bumiputra sama ada secara individu mahupun berkumpulan yang ingin menceburkan diri dalam bidang perbelanjaan. Sebagai misalan, SMIDEC bekerjasama dengan Bank Pembangunan Malaysia ( BPM ), PSDC dan SIRIM untuk menganjurkan bimbingan nasihat seperti ;
• Bengkel Teknikal dan Peningkatan bagi sektor makanan
• Bengkel Pengurusan Perniagaan dan Aliran Tunai
• Taklimat Perancangan Strategik, dan
• Seminar Kewangan Enterprise Kecil dan Sederhana.
Sejak Januari 2005, SMIDEC telah menganjurkan 7 program dan bengkel usahawan di negeri Pulau Pinang.
(iii) Membantu usahawan Bumiputra secara individu untuk mendapatkan bantuan pinjaman khas dan insentif-insentif untuk memulakan perniagaan di bidang perkilangan. Perkhidmatan hand holding diusahakan oleh Unit Pembangunan Usahawan PDC untuk menolong usahawan Bumiputra.
(iv) Menyediakan premis perniagaan dan unit-unit kilang IKS di taman-taman perindustrian PDC dengan tawaran skim sewa, sewa beli dan pembelian terus pada harga dan kadar potongan diskaun seperti di Taman Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bayan Lepas dan Sungai Pinang. Dari jumlah 262 buah kilang yang dibina, sejumlah 121 unit atau 46% diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera. Dari jumlah ini, sebanyak 69 unit (57%) telah dibeli dan disewakan kepada usahawan bumiputera.
Salah satu daripada skop kerja investPenang ialah untuk menyokong pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, terutamanya Komuniti Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera (Bumiputera Commercial & Industrial Community) serta perkembangan syarikat-syarikat ini dari segi rantaian nilai (value chain).
Oleh kerana Penang Cyber City baru sahaja dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Januari yang lalu, maka permohonan untuk mendapatkan status MSC juga baru bermula. InvestPenang akan berusaha membantu penyertaan Bumiputera dalam sektor perindustrian terutamanya dalam konteks Penang Cyber City melalui langkah-langkah berikut:
(a) Menggalakkan penyertaan IKS terutamanya penyertaan IKS Bumiputera dalam misi-misi perdagangan yang dianjurkannya bagi membuka peluang yang lebih luas kepada mereka untuk bekerjasama dengan syarikat asing yang berteknologi tinggi;
(b) Menggalakkan dan membangun syarikat-syarikat pembekal Bumiputera yang berdaya saing khasnya dalam bidang rekabentuk multimedia;
(c) Membantu IKS Bumiputera untuk meningkatkan daya saing mereka supaya mereka dapat memperkembangkan operasi mereka dalam negeri mahupun di luar negeri;
(d) Bekerjasama dengan organisasi-organisasi yang sedia ada seperti PDC (khasnya Bahagian Pembangunan Usahawan dan Bahagian Pembangunan Bisnes) SMIDEC, MATRADE dan lain-lain dalam membantu lebih banyak penyertaan Bumiputera dalam sektor perindustrian.
(e) Bekerjasama dengan Perbadanan Pembanguan Multimedia (MDC) yang telah menyediakan panduan, latihan dan insentif untuk syarikat-syarikat mencapai status MSC.