Jawapan
Bagi kawasan bandar, strategi untuk mengurangkan kemiskinan ialah dengan cara menempatkan semula setinggan-setinggan yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar di kawasan perumahan kos rendah yang dibangunkan supaya penduduk miskin dapat menikmati kemudahan asas yang baik dan mengubah cara hidup serta berfikiran lebih kreatif. Di samping itu, dari segi peluang-peluang perniagaan, penduduk miskin diberi keutamaan dalam pengisian gerai-gerai yang dibina oleh Majlis Perbandaran.
Kerajaan telah mengambil berbagai usaha untuk mengurang dan seterusnya mensifarkan penduduk miskin di negeri ini. Bagi kawasan bandar juga strategi utama yang dijalankan ialah melalui program bantuan-bantuan mengikut kesesuaian. Bagi golongan miskin yang tua, uzur dan tidak lagi aktif akan diberi bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Urus Zakat manakala bagi penduduk miskin yang masih boleh bekerja akan diberi latihan dan kursus sebelum bantuan untuk menjana ekonomi mereka diberikan melalui pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Di samping bantuan dan bimbingan kepada penduduk miskin itu sendiri, tumpuan juga diberikan kepada pendidikan anak-anak penduduk miskin berkenaan seperti dengan bantuan makanan berkhasiat, kelas tambahan oleh Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan sebagai satu daripada strategi jangka panjang mengurangkan kemiskinan kerana pendidikan telah terbukti akan dapat mengubah nasib penduduk miskin di mana-mana jua.
MPPP dan MPSP tidak mempunyai strategi secara khusus untuk mengurangkan kadar kemiskinan kawasan bandar di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, di dalam penyediaan Draf Rancangan Tempatan Kawasan MPPP terdapat cadangan umum di dalam sekitar perindustrian dan pertanian yang boleh membantu penduduk-penduduk miskin. Di antara cadangan umum tersebut, penubuhan industri kecil dan industri berasaskan pertanian dan hasil daripada buah-buahan yang boleh diproses dan dapat meningkatkan pendapatan adalah digalakkan. Pada masa yang sama, MPSP telah mengambil inisiatif dengan menyediakan gerai, petak-petak di pasar dengan sewa yang murah. Di samping itu, pihak berkuasa tempatan juga mengeluarkan permit-permit untuk penganjur-penganjur pasar malam.