MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Berapakah jumlah menara dan pemancar telekommunikasi yang terdapat di negeri ini mengikut kawasan MPPP dan MPSP. Berapakah bilangan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa. Mengapakah pihak berkuasa lambat mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang melanggar undang-undang.
Dun -
Exco KKH
Perkara ADUN

Jawapan
a) Terdapat banyak menara, struktur dan alat-alat telekomunikasi telah didirikan di Pulau Pinang di mana sebahagiannya telah diluluskan, sebahagian lagi telah diroboh atau dibawa ke mahkamah manakala terdapat sebahagiannya sedang diproses permohonan-permohonan yang telah dikemukakan.

Untuk makluman Yang Berhormat terdapat sejumlah tujuh belas(17) menara atas tanah dan seratus tujuh pulah lapan (178) pemancar / struktur telekomunikasi atas bangunan di kawasan pentadbiran MPPP. Manakala di kawasan MPSP sebanyak sembilan puluh satu (91) buah menara atas tanah dan seratus dua puluh enam (126) buah alat pemancar/struktur telekomunikasi atas bangunan.


b) Di kawasan MPPP sebanyak tujuh (7) menara atas tanah dan enam puluh satu (61 )alat pemancar/struktur atas bumbung yang tidak mempunyai kelulusan manakala di kawasan MPSP pula, empat puluh tujuh (47) buah menara atas tanah dan dua puluh lapan (28) buah alat pemancar / struktur atas bumbung tidak mempunyai kelulusan.

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah meroboh sepuluh (10) buah alat pemancar/struktur telekomunikasi. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah meroboh sebuah menara dan tiga puluh enam (36) alat pemancar/struktur telekomunikasi setakat ini. Struktur-struktur diroboh kerana ianya didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan dan tidak dapat mematuhi syarat di dalam garis panduan telekomunikasi yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


c) Untuk makluman Yang Berhormat bagi pembinaan telekomunikasi tanpa kebenaran, tindakan penguatkuasaan adalah diambil dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa tempatan. Tindakan penguatkuasaan ini mempunyai prosedur tertentu seperti mendapatkan keputusan Jawatankuasa Majlis, pengeluaran notis-notis yang sesuai di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan juga garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2002. Majlis juga perlu memberi tempoh tertentu kepada pihak syarikat mengikut keperluan Akta dan Garis panduan sebelum sesuatu tindakan diambil.

Manakala untuk pembinaan tanpa kebenaran sebelum tahun 2002, kedua-dua pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia sedang dalam proses pemutihan untuk memberi kelulusan atau sebaliknya kepada syarikat telekomunikasi berkenaan. Untuk makluman Yang Berhormat sebanyak 109 permohonan di MPSP dan 100 permohonan di MPPP sedang diproses.


Pihak syarikat telah diarah untuk mematuhi syarat kelulusan dan jika gagal untuk menunaikan syarat maka menara/pemancar/struktur telekomunikasi tersebut akan diruntuh atau dipindahkan ke tempat lain di mana pematuhan syarat dapat ditunaikan. Walau bagaimanapun terdapat juga permintaan pihak-pihak tertentu yang membuat rayuan menangguhkan tindakan penguatkuasaan.
Kembali