MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Nyatakan jumlah peruntukan untuk kempen kebersihan bagi setiap tahun dari tahun 1991 hingga 2005. Apakah sebabnya Negeri Pulau Pinang masih ditegur sebagai sebuah negeri yang paling kotor walaupun jumlah peruntukan yang besar dibelanjakan.
Dun -
Exco THN
Perkara ADUN

Jawapan
Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kebersihan persekitaran, Pihak Berkuasa Tempatan dari masa ke semasa telah menjalankan Kempen Kebersihan. Melalui kempen-kempen ini, adalah diharapkan bahawa masyarakat lebih memahami tanggungjawab mereka dan mengambil langkah yang sewajar dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Bagi memastikan kempen kebersihan dapat diteruskan dengan lebih terancang dan berkesan, kedua-dua PBT telah menyediakan satu peruntukan khas di bawah Program Kempen Kebersihan, Anti-Nyamuk dan Keindahan mulai tahun 1999. Tujuan utama peruntukan khas ini disediakan adalah untuk membiayai projek-projek kecil dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan orang ramai seperti gotong royong, kempen kesedaran termasuk ceramah, pameran, pertandingan mewarna dan sebagainya serta kerja-kerja landskap yang akan mempertingkatkan kebersihan dan keindahan persekitaran. Selain daripada orang ramai, kumpulan yang diberi tumpuan dalam kempen kebersihan seperti ini adalah kanak-kanak dan murid-murid sekolah. Jumlah peruntukan yang disediakan mengikut tahun adalah seperti berikut:-

MPPP

Tahun Peruntukan Disediakan (RM)
1999 3 juta
2000 3 juta
2001 2.22 juta
2002 1.95 juta
2003 1.95 juta
2004 2.15 juta
2005 2.15 juta
Jumlah 16.42 juta


MPSP

Tahun Peruntukan Disediakan (RM)
Kempen Kebersihan Program Bersih & Indah


1991 - RM350,000.00
1992 - RM350,000.00
1994 - RM140,000.00
1995 - RM140,000.00
1996 - RM140,000.00
1997 - RM140,000.00
1998 - RM180,000.00
1999 RM3.6 juta RM180,000.00
2000 RM2.7 juta RM180,000.00
2001 RM1.8 juta RM180,000.00
2002 RM900,000.00 RM180,000.00
2003 RM900,000.00 RM210,000.00
2004 RM1,05 juta RM210,000.00
2005 RM1.05 juta RM210,000.00


Antara sebab-sebab yang dikenalpasti yang telah membawa kepada kekotoran adalah kerana:

i) Kekurangan kesedaran sivik
ii) Penguatkuasaan yang tidak rutin atau tegas.
iii) Tindakan penjaja-penjaja yang kurang bertanggungjawab


Usaha untuk mempertingkatkan kebersihan persekitaran memerlukan pelbagai tindakan secara berterusan. Di samping mempertingkatkan keberkesanan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan tempat awam yang disediakan oleh pihak Majlis, kesedaran dan sikap masyarakat yang lebih bertanggungjawab juga perlu dipupuk.

Pada masa ini, kesedaran dan sikap masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran masih belum mencapai tahap yang diinginkan. Oleh demikian, selain daripada meneruskan kempen-kempen kebersihan, pihak berkuasa tempatan juga akan memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan kebersihan persekitaran.


Kembali