MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Sila huraikan jumlah kadar dan jenis jenayah di Negeri Pulau Pinang mengikut daerah sejak tahun 1995. (b) Apakah rancangan pihak polis untuk menurunkan kadar jenayah di Negeri Pulau Pinang. (c) Bagaimanakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan rakyat boleh membantu bersama-sama mencegah jenayah.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Keselamatan Negara

Jawapan
22. (a) Secara keseluruhannya, kadar jenayah di Negeri Pulau
Pinang C mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) - semenjak tahun 1995 hingga 2004 menunjukkan peningkatan dari 5770 kes pada 1995 -1998 sebanyak 100% (sila rujuk kepada jadual dalam Lampiran 1). Ini disebabkan sebilangan besarnya oleh keadaan ekonomi yang mengalami kegawatan pada waktu itu.

Selepas itu, kadar jenayah berada di tahap yang hampir sama iaitu di lingkungan 11,000 setahun sehingga tahun 2003 dan 2004 apabila ianya meningkat sedikit melebihi 12,000. Corak trend indeks ini juga menunjukkan persamaan dengan trand Indeks Malaysia bagi kajian 1995-2004.


Bagaimanapun, kajian mengikut daerah bagi lima (5) tahun iaitu 2000-2004 (Lampiran 2) menunjukkan peningkatan berlaku di daerah-daerah tertentu misalnya Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, sementara Daerah Timar Laut dan Seberang Perai Selatan menunjukkan penurunan yang konsisten. Sementara bagi Daerah Barat Daya sepanjang tempoh lima (5) tahun peningkatan dan penurunan berada dalam kadar seimbang.

Bermula pada tahun 2004, Kontinjen PDRM Pulau Pinang terus berusaha memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan dan berjaya mencapai pengurangan. Ini dibuktikan lebih 500 indeks jenayah dapat dikurangkan. Bagi tahun 2005, misi kontinjen adalah memastikan pengurangan 10% indeks dapat dicapai. Usaha ini dilihat menunjukkan hasil positif, dimana indeks jenayah bagi suku tahun pertama, 2005 (Januari hingga Mac) ialah 2612 kes yang merupakan pengurangan 341 kes, atau 11.5% berbanding suku tahun pada 2004 sebanyak (2953 kes).

(b) Strategi pencegahan yang lebih sistematik dan berkesan
dengan penglibatan semua unit organisasi akan terus dipertingkatkan disamping usaha melengkapkan logistik yang terkini dijangka akan membantu dalam mengekang pertumbuhan kadar jenayah di negara ini.

Jenayah-jenayah yang menjadi penyumbang utama kepada kadar jenayah pada keseluruhannya ialah curi motosikal, pecah rumah dan ragut. Jenayah-jenayah ini akan ditangani secara lebih berkesan dengan mewujudkan Task force beroperasi khususnya di peringkat daerah polis.



Kontinjen PDRM negeri ini juga sedang berusaha mempergiatkan lagi aktiviti pencegahan yang dapat dikaitkan dengan masyarakat, mengikut nasita dan arahan pucuk pimpinan negara yang mahu polis dan masyarakat berganding bahu dalam mencegah jenayah. Peralatan logistik yang lebih terkini termasuk penambahan bilangan kereta peronda, peralatan penyiasat dan penggunaan komputer adalah antara langkah awal yang disediakan dalam memastikan sasaran untuk menurunkan kadar jenayah dapat dicapai.

(c) Badan-badan pertubuhan masyarakat, NGOs hendaklah didorong supaya tampil ke hadapan secara lebih sistematik dan serius dalam membantu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab membasmi jenayah adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Media masa juga diminta lebih aktif dalam membantu memberi maklumat yang tepat dan cepat kepada masyarakat mengenai aspek-aspek yang menyumbang terhadap berlakunya jenayah. Orang awam mestilah diberikan kesedaran supaya lebih peka kepada apa yang berlaku di persekitaran setempat dan bersedia menyampaikan maklumat kepada pihak polis berkaitan berlakunya atau wujudnya aktiviti-aktiviti jenayah di kawasan mereka.

Pendidikan dan kesedaran terhadap jenayah juga harus dipertingkatkan di kalangan remaja. Peranan ini mesti dimainkan oleh pihak sekolah, guru-guru dan ibubapa secara lebih aktif.

Sebagai kesimpulan, kempen mencegah jenayah merupakan satu perang menyeluruh atau ¡°an all-out war¡± yang melibatkan semua orang dalam masyarakat. Hanya dengan demikian, barulah dapat mencegah dan mengurangkan jenayah secara berkesan.
Kembali