MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah benar bahawa Invest Penang ditubuhkan dengan objektif utama untuk menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negeri. Sila nyatakan apakah strategi-strategi yang telah di buat bagi memastikan objektif ini tercapai. Setakat ini berapa kalikah dan jumlah wang yang telah digunakan oleh Invest Penang untuk melakukan lawatan ke luar negeri dan apakah hasilnya.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ADUN

Jawapan
JAWAPAN OLEH YAB KETUA MENTERI

1. Sektor perindustrian terus kekal dan dijangka akan berkembang sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Pulau Pinang dengan sumbangan di lingkungan 45% kepada KDNK Negeri Pulau Pinang. Salah satu pentunjuk pertumbuhan sektor perindustian ialah projek-projek yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Bagi tahun 2004 misalnya, sebanyak 144 projek baru dan projek pembesaran telah diluluskan oleh MIDA di negeri Pulau Pinang dengan cadangan pelaburan sebanyak RM2.03 billion. Daripada jumlah tersebut RM1.02 billion adalah pelaburan asing.

2. Kesan-kesan gandaan atau “multiplier effects” sektor perindustian adalah sangat besar dan adalah amat jelas bahawa ianya telah membantu menjanakan lebih daripada 200,000 pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada amnya. Pertumbuhan sektor perindustrian telah menyumbang kepada pertumbuhan bisnes-bisnes lain seperti industri sokongan tempatan, perkhidmatan pengangkutan dan logistik, perbankan, insurans dan sebagainya. Disamping itu, sektor ini telah menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dan pemindahan teknologi baru.

3. Dalam konteks sedemikian, Kerajaan Negeri adalah amat penting asas ekonomi yang besar dan kukuh ini dikekalkan dan terus digalakkan berkembang akan terus berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Pulau Pinang, di samping mengekalkan pelaburan dan syarikat-syarikat industri yang sedia ada. Di samping itu teknologi-teknologi baru terutamanya di dalam bidang bio-teknologi dan elektronik sedang giat dipromosi untuk memastikan sektor perindustrian di Pulau Pinang terus berkembang dengan pesat dan setanding dengan negara-negara perindustrian lain, serta beralih ke k-ekonomi dalam Era I.T. dengan berjayanya.

4. Bagi memantapkan lagi usaha-usaha penggalakan industri teknologi dan bisnes bagi negeri ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Invest-in-Penang Bhd (“invest Penang” atau iP) yang mengambilalih peranan promosi pelaburan dan perindustrian yang selama ini dijalankan oleh PDC. PDC tetap membantu dalam pembangunan taman dan kemudahan perindustrian. iP ditaja oleh peruntukan dari pihak berkuasa negeri dan tempatan serta PDC.

5. Ahli-ahli Lembaga invest Penang adalah terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh industri yang berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian kerjasama (network) yang luas. Disamping itu, beberapa pasukan petugas bagi sektor tertentu akan diwujudkan dengan keahlian daripada tokoh-tokoh industri dan pakar-pakar teknologi untuk membantu investPenang merancang halatuju dan strategi bagi menarik pelaburan baru ke Pulau Pinang. Tokoh-tokoh industri dan pakar-pakar teknologi memberi bantuan dan sumbangan secara sukarela pada amnya.
6. investPenang bertujuan untuk meningkatkan daya saing perindustrian di Pulau Pinang. Dua daripada objektif utama investPenang ialah (i) menyokong pembangunan syarikat-syarikat yang sedia ada untuk berkembang dari segi rantaian nilai; dan (ii) membantu industri tempatan untuk bersaing di seluruh dunia.
7. Dengan yang demikian, misi investPenang adalah untuk:
o Membantu syarikat-syarikat tempatan untuk mencapai status MSC (Multimedia Super Corridor);
o Menggalak dan membangunkan syarikat-syarikat pembekal yang berteknologi tinggi dan berdaya saing;
o Membantu IKS untuk meningkatkan daya saing mereka supaya mereka dapat memperkembangkan operasi mereka di pasaran tempatan mahupun di luar negeri;
o Membantu memadankan (match-make) industri tempatan dengan syarikat-syarikat teknologi asing dalam pelbagai aktiviti termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta rekabentuk dan pembangunan (D&D); dan
o Menyokong pembangunan IKS tempatan, terutamanya syarikat-syarikat kepunyaan Bumiputera, memperkembangkan operasi mereka dari segi rantaian nilai.

8. investPenang telah bermula operasi secara rasminya pada 3 January 2005. Akan tetapi, untuk menjamin peralihan yang licin (smooth transition), beberapa pegawai kanan iP telah bekerja dan bekerjasama dengan pihak PDC sejak bulan Oktober 2004 dan turut menyertai dalam usaha mempromosikan pelaburan bersama dan menyertai rombongan misi pelaburan dan sebagainya.


9. Aktiviti-aktiviti yang diusahakan, dianjur atau disertai oleh iP adalah seperti berikut dengan perbelanjaan belum diaudit ditunjukkan:
(i) Mengadakan dan Menyertai Misi – Misi Pelaburan ke Luar Negara:
Setakat ini, investPenang telah menganjurkan atau menyertai 6 misi pelaburan, pameran dan persidangan di luar negara seperti yang dirumuskan berikut:
• Menyertai dalam Pameran Elektronika, Munich, Germany (Nov’04)
[2 pegawai investPenang] (RM 20,000)
• Menganjurkan Misi Pelaburan ke Singapura (Dis’04)
[YAB KM, 2 ahli J/K esekutif dan 3 ahli pengurusan investPenang]
(RM 25,000.53)
• Menyertai JP Morgan Biotech Conference, San Francisco, US (Jan’05)
[1 ahli J/K Esekutif yang juga profesor USM] (dibiayai oleh USM)
• Menyertai BIO CEO Conference di New York, US (Feb’05)
[1 ahli J/K Esekutif] (Perbelanjaan dijumlahkan bersama misi MITI)
• Menyertai Misi Pelaburan MITI ke East Coast, US (Feb’05)
[1 ahli J/K Esekutif, 1 ahli pengurusan] (RM60,653)
• Menganjurkan Misi Pelaburan ke Silicon Valley, US (Mac’05)
[YAB KM, 3 ahli J/K Esekutif dan 3 ahli pengurusan]
.(RM 148,312.47)

(ii) Menganjur Pertemuan-Pertemuan Perniagaan Sejak bulan Januari 2005, pegawai – pegawai dari investPenang telah mengadakan beberapa Pertemuan Perniagaan atau “Business Meeting” dengan wakil – wakil dari kilang- kilang dan syarikat – syarikat tempatan dan asing yang berminat untuk mendapatkan khimat nasihat dalam isu-isu berkaitan dengan insentif pelaburan, status MSC, serta mendapatkan maklumat dan data berkaitan dengan sektor perindustrian. investPenang mengambil tindakan susulan untuk terus menghubungi dan mempelawa pelabur yang dianggap berpotensi untuk melabur di Pulau Pinang.

(iii) Menganjur lawatan dari Misi-misi Perdagangan dari luar negara ke Pulau Pinang
Setakat ini investPenang telah menganjurkan 2 misi pelaburan asing:
 Lawatan Misi Bio-Teknologi dari Canada yang terdiri daripada 12 wakil dari institusi-institusi penyelidikan dan pendidikan, jabatan Kerajaan Canada, bertujuan untuk menerokai usahasama.
 Lawatan “South Florida Trade Mission” yang mewakili 24 syarikat dari Florida di mana investPenang telah mengaturkan sejumlah 19 “Business Meetings” diantara mereka dengan IKS tempatan.
 Memain peranan dalam promosi Penang CyberCity (PCC), investPenang merupakan salah satu daripada penganjur program Pelancaran PCC yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 29hb Januari 2005. Pulau Pinang merupakan Negeri yang pertama dianugerahkan status MSC Cybercity. Status Cybercity bermakna para pelabur dapat menikmati Jaminan Kerajaan (Bill of Guarantees) sekiranya syarikat mereka dianugerahkan status MSC. iP ditugaskan berfungsi sebagai agensi “one-stop” untuk mempromosikan PCC dan menjalankan pembangunannya.

(iv) Mengeluarkan bahan-bahan promosi, investPenang telah berjaya menghasilkan beberapa bahan – bahan promosi pelaburan seperti risalah, brocur, cakera padat dan video untuk mempromosikan pelaburan di Pulau Pinang.
(v) Menyertai aktiviti-aktiviti agensi lain, InvestPenang juga sentiasa menyertai aktiviti – aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi lain seperti MIDA, MITI, MATRADE, SMIDEC serta organisasi kerajaan dan swasta. InvestPenang juga memberikan taklimat mengenai peluang pelaburan di Negeri Pulau Pinang di beberapa buah seminar dan acara-acara yang berkaitan.
Adalah jelas bahawa dalam masa yang agak singkat sejak penyediaan dan penubuhannya, investPenang telah dapat menjalankan banyak aktiviti promosi pelaburan; menjalinkan rangkaian perhubungan dengan agak banyak agensi, institusi dan syarikat; serta menjanakan minat dan komitmen, khasnya dari tokoh-tokoh industri, termasuk banyak pengusaha IKS tempatan.
Walau bagaimanapun, investPenang penuh sedar akan tanggungjawab berat yang dipikulnya bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan semua institusi kerajaan dalam menghadapi dan menangani cabaran-cabaran besar yang munculnya dari persaingan yang sengit dan impak globalisasi pada masa hadapan. Oleh itu, investPenang akan tgerus bekerjasama dengan semua pihak, iaitu agensi-agensi kerajaan seperti PDC, MIDA, MATRADE, SMIDEC, MARA, PERDA dan jabatan-jabatan di bawah MOSTI, MOF (Kewangan) dan sebagainya. investPenang juga akan terus berusaha menjalinkan perhubungan rapat dengan pertubuhan-pertubuhan perniagaan seperti FREPENCA, FMM, dan dewan-dewan perniagaan dan sebagainya.
Di samping itu, investPenang juga akan terus mendorong dan membantu pengusaha-pengusaha tempatan untuk terus meningkatkan teknologi, days saing (competitiveness) mereka, khasnya dari kapasiti teknologi, produktiviti dan kualiti pengeluaran dan perkhidmatan, mutu pembungkusan atau “packaging,” kaedah pemasasran serta pusat untuk berinovasi untuk merekacipta teknologi-teknologi dan produk-produk yang baru.
Adalah diharap dengan semangat bersatu hati dan usaha bersama secara rapat dan gigih sesdemikian, Negeri Pulau Pinang akan dapat terus berkembang menjadi pusat kecemerlangan industri teknologi di rantau ini.


Kembali