MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Berapakah hutang PDC pada bank komersial setakat ini.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ADUN

Jawapan
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku agensi pembangunan Kerajaan Negeri telah memainkan peranan utama dalam menjana pembangunan ekonomi negeri. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, PDC telah giat membangunkan sektor perindustrian, mempromosikan pembangunan sumber manusia dan pemindahan teknologi, mempromosikan sektor pelancongan dan pembangunan produk-produk pelancongan, membangunkan bandar-bandar satelit, skim perumahan mampu beli dan melabur dalam projek-projek perintis ekonomi.

Selain daripada itu, PDC juga turut membantu dalam mempromosikan pembangunan sosial negeri. Peranan PDC adalah selari dengan dasar dan strategi pembangunan negeri serta dasar-dasar kebangsaan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

PDC telah diberi geran pelancaran hanya sebanyak RM5.80 juta untuk tempoh tiga (3) tahun mulai dari tahun 1970 sehingga tahun 1972 sebagai imbalan untuk membolehkannya menjalankan peranan utamanya sebagai agensi pembangunan negeri dan menjalankan semua program yang telah dirancang. Selepas tempoh tersebut, PDC tidak lagi bergantung kepada peruntukan geran dari Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, terutamanya untuk perbelanjaan pembangunan. Ianya adalah selaras dengan dasar kewangan PDC yang berdikari.

PDC membiayai semua projek pembangunan ekonomi dan sosial melalui dana dalamannya sendiri dan pinjaman komersil dari pihak bank atau institusi kewangan. Bantuan Kerajaan Negeri yang diperolehi adalah dalam bentuk menguruskan proses pengambilan tanah bagi pihak PDC, tetapi kos pengambilan ditanggung sepenuhnya oleh PDC sendiri.

Dana dalaman PDC adalah hasil dari penjualan plot-plot tanah perindustrian, unit-unit perumahan & komersil yang telah dibangunkan dan hasil dari hartanah yang disewa dan dipajak. Pulangan dari anak syarikat dan pulangan dari penyertaan ekuiti & pegangan saham juga merupakan sebahagian dari dana dalaman PDC.

Kurangan dana dalaman untuk pembiayaan projek-projek pembangunan ditampung oleh pinjaman dari bank atau institusi kewangan secara komersil dan ianya merupakan amalan PDC sejak tahun 1974. Dalam tahun 70an, PDC memperolehi pinjaman sebanyak hampir RM50.00 juta dan membayar balik hampir RM13.00 juta. Sepanjang tahun 80an, hampir RM300.00 juta pinjaman diperolehi dan RM287.00 juta dibayarbalik.

Berdasarkan kepada prospek ekonomi yang baik dan pertumbuhan ekonomi yang rancak pada awal tahun 1990an, PDC meramalkan peningkatan hasil yang memberangsangkan melalui penjualan plot-plot tanah perindustrian dan unit-unit kediaman/komersil yang seterusnya menghasilkan pendapatan yang bertambah baik dari setahun ke setahun. Oleh itu, bagi tempoh 1990 sehingga 1994, pinjaman PDC berjumlah RM251.00 juta manakala bayaranbalik pinjaman pula melebihi RM302.00 juta. Oleh itu, pada tahun 1994, PDC telahpun melangsaikan sepenuhnya pinjaman bank yang telah dibuat sejak tahun 1974. Dengan demikian, PDC telah mengalami tempoh pinjaman sifar (zero borrowing) sejak 1994 sehingga pertengahan tahun 1998.

Berdasarkan kepada aliran tunai positif yang dialami dan dijangkakan bagi tahun-tahun berikutnya, PDC telah ditugaskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1995 untuk memikul tugas melaksanakan tiga projek sosial yang besar bagi pihak Kerajaan Negeri dengan menggunakan dananya sendiri, iaitu stadium negeri di Batu Kawan dan kuarters kakitangan Kerajaan di Jalan Kennedy dan Jalan Lim Khoon Huat.

Pada pertengahan tahun 1997, krisis kewangan Asia yang melanda pasaran hartanah dan sektor pembuatan telah menjejaskan penjualan unit-unit perumahan/komersil dan plot-plot tanah perindustrian yang menjadi teras utama pendapatan PDC. Kedudukan aliran tunai PDC turut terjejas dan PDC terpaksa mulai meminjam lagi.

Sejak dari pertengahan tahun 1998 sehingga kini, PDC telah meminjam sebanyak RM214.00 juta dan telah membuat pembayaran balik sebanyak RM134.00 juta. Ini menjadikan jumlah hutang PDC dengan pihak bank sehingga akhir Mac 2005 adalah sebanyak RM80.00 juta.

Baki pinjaman sebanyak RM80.00 juta ini bukannya menunjukkan kegagalan PDC untuk menguruskan keadaan dan kedudukan aliran tunainya tetapi adalah disebabkan oleh beban kewangan berjumlah RM135.62 juta yang ditanggung oleh PDC dalam melaksanakan tiga (3) projek sosial yang besar bagi pihak Kerajaan Negeri sebagai sumbangan PDC kepada rakyat negeri ini. Tiga (3) projek social tersebut adalah seperti berikut:-
RM Juta
1. Pembinaan Stadium Negeri Batu Kawan 104.66
2. Pembinaan 90 unit Kuarters Kerajaan di Jalan Lim Khoon Huat 8.23
3. Pembinaan 190 unit Kuarters Kerajaan di Jalan Kennedy 22.73
--------
135.62
=====

Walau bagaimanapun, keadaan kewangan PDC dengan baki pinjaman RM 80 juta ini tidak membimbangkan sama sekali atas 3 sebab berikut:
a) Sebenarnya, jumlah kemudahan pinjaman yang sedia ada bagi penggunaan PDC dari 5 buah institusi kewangan swasta berjumlah RM 320 juta. PDC hanya menggunakan sesuku atau 25%. Baki pinjaman yang belum digunakan ialah RM240 juta.
b) Kemudahan pinjaman yang diberi oleh pihak bank kepada PDC adalah pinjaman tanpa sebarang jaminan dan PDC tidak perlu mencagar aset-aset tanah, sijil pelaburan dan simpanan tetap sebagai cagaran kepada pinjaman tersebut. Pinjaman sedemikian diberikan oleh pihak bank berikutan dari prestasi dan kedudukan kewangan PDC yang kukuh serta keyakinan terhadap kemampuan dan ¡®track record¡¯ PDC. PDC juga menikmati kadar faedah yang terbaik dan terendah, berbanding dengan kadar pasaran semasa.
c) Dalam 2 ¨C 3 tahun kebelakangan ini, PDC telah berjaya menjual beberapa keping tanah kepada sektor swasta untuk pembangunan projek-projek ekonomi. Pembayaran secara ansuran sedang diperolehi. Oleh itu, PDC percaya bahawa baki pinjaman ini akan dapat dibayarbalik dalam tempoh 2-3 tahun lagi.




Kembali