MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Bajet Nasional 2005 telah menyatakan bahawa satu Bank SME akan ditubuhkan untuk membantu syarikat-syarikat SME. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh industri pembuatan di Pulau Pinang dengan penubuhan bank ini.
Dun -
Exco TKW
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan

30. Bank SME telah ditubuhkan melalui proses rasionalisasi Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad dan Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad. Bank ini telah mula beroperasi pada 3 Oktober 2005. Bank ini merupakan pusat sehenti (one stop centre) bagi pinjaman kewangan dan juga pusat pembangunan perniagaan. Penubuhan bank ini bertujuan khusus untuk mempertingkatkan akses industri kecil dan sederhana (IKS) kepada pembiayaan dan akan bertindak sebagai pelengkap kepada peranan yang dimainkan oleh institusi-institusi perbankan dalam menyediakan pembiayaan kepada IKS, termasuk IKS di dalam industri pembuatan di Pulau Pinang. Selain daripada menyediakan perkhidmatan kewangan, Bank SME juga akan memberikan khidmat-khidmat sampingan seperti khidmat nasihat, peningkatan kredit (credit enhancement) dan maklumat kredit yang bertujuan untuk memberi bimbingan kepada IKS.

Bank ini memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan IKS, terutamanya sektor pertanian dan ternakan; perkhidmatan yang berkaitan dengan industri pembuatan; dan industri pembuatan berasaskan pertanian.

Penubuhan Bank SME membuka peluang kepada IKS untuk mendapatkan bantuan kewangan dari segi pinjaman. Sebelum penubuhan Bank SME, pengusaha-pengusaha IKS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada bank-bank komersial yang lain kerana bank-bank itu memerlukan kolateral ataupun jaminan dari segi harta-benda ataupun bangunan daripada pengusaha-pengusaha IKS. Disebabkan ciri-ciri perniagaan mereka yang berskala kecil dan kekurangan modal, pengusaha-pengusaha IKS itu tidak dapat memenuhi keperluan kolateral/jaminan bank. Kekurangan modal dan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan merupakan halangan kepada IKS untuk membangun. Dengan tertubuhnya Bank SME, halangan tersebut, sedikit sebanyak telah dihapuskan ataupun dikurangkan. Justeru telah membuka peluang kepada IKS untuk memperkembangkan perniagaan/kegiatan mereka.

Selain daripada kekurangan modal dan sumber kewangan, kebanyakan IKS juga mempunyai rangkaian perniagaan dan pasaran yang terhad. Di samping memberikan pinjaman, Bank SME juga mempunyai suatu rangkaian rakan kongsi strategik (network of strategic partnership) yang dapat membantu IKS untuk memasarkan produk mereka di pasaran antarabangsa.

Satu lagi fungsi Bank SME yang dapat memanfaatkan IKS ialah khidmat nasihat yang diberikan oleh bank tersebut. Pada kebiasaannya, IKS juga kekurangan pengetahuan dan maklumat perniagaan. Bank SME dapat membantu IKS untuk menjalankan penilaian perniagaan, memadankan produk dan perkhidmatan IKS dengan syarikat-syarikat yang lain ataupun pelanggan/pembeli produk dan perkhidmatan. Bank SME juga akan mengadakan seminar dan dialog untuk menyebarkan maklumat terkini yang berkaitan kepada IKS.

Kebanyakan daripada IKS di Negeri Pulau Pinang adalah terlibat dalam sektor industri pembuatan. Dengan adanya sumber kewangan, rangkaian rakan kongsi strategik serta nasihat dan maklumat terkini, IKS di Negeri Pulau Pinang diberi peluang untuk mengembang secara global dan bersaing di arena antarabangsa. Dengan adanya IKS yang berdaya saing, Negeri Pulau Pinang dapat meningkatkan taraf kelompok industri sokongannya (supporting industry cluster). Susulan daripada peningkatan taraf kelompok industri sokongan ini, syarikat-syarikat multinasional akan lebih berkecimpung untuk melabur di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah disebabkan dengan terdapatnya kelompok industri sokongan yang berdaya saing merupakan suatu faktor penentu untuk syarikat-syarikat multinational untuk melabur di sesuatu lokasi. Justeru, kedudukan sektor industri pembuatan di Pulau Pinang dapat dipertingkatkan lagi dengan adanya Bank SME.



Kembali