MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan peranan dan keberkesanan Invest Penang ke atas perkembangan ekonomi Negeri Pulau Pinang secara amnya dan khususnya dalam aspek-aspek berikut :- (a) Peningkatan modal pelaburan dari dalam dan luar negeri. (b) Bilangan pekerjaan yang telah diwujudkan.
Dun -
Exco YABKM
Perkara ADUN

Jawapan
ID 41 (5) - YB. ONG THEAN LYE

JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI

5. (A) Latarbelakang Penubuhan investPenang

Selama lebih daripada 30 tahun, sektor perindustrian terus berkembang dan memainkan peranan yang amat penting sebagai penjana dan penyumbang utama kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang dengan sumbangan lebih daripada 43% kepada KDNK Negeri ini. Dalam konteks sedemikian, adalah jelas bahawa asas ekonomi yang besar dan kukuh ini perlu dan patutlah dikekalkan dan terus diperkembangkan. Kerajaan Negeri hendaklah terus berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan ke Pulau Pinang, di samping mengekalkan dan menambahkan pelaburan dari syarikat – syarikat yang sedia ada.

Pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa negeri kita dan Negara Malaysia sedang dan akan menghadapi persaingan yang semakin sengit dari ekonomi–ekonomi yang muncul berkembang pesat seperti Negara China, India, Thailand dan Vietnam mahupun Eropah Timur serta dari ekonomi–ekonomi maju seperti Korea, Taiwan dan Singapura. Oleh kerana persaingan dan penarikan yang kuat dari ekonomi-ekonomi tersebut, sejak tahun 2001 khasnya, adalah bukan senang lagi untuk menarik pelaburan baru ke Pulau Pinang bahkan mengekalkan pelaburan yang sedia ada berbanding dengan tahun 90an dan sebelumnya. Oleh itu, adalah amat penting usaha untuk mengekalkan dan menggalakkan pelaburan bagi Negeri Pulau Pinang menjadi lebih proaktif dan agresif, lebih berfokus dan berkesan lagi.

Untuk memantapkan lagi usaha–usaha penggalakan industri, teknologi dan perniagaan serta meningkatkan daya saing ekonomi bagi negeri ini, kerajaan negeri telah menubuhkan investPenang yang mengambilalih, memperluas dan memperkukuhkan lagi peranan penggalakan pelaburan dalam sektor perindustrian yang selama ini telah dijalankan oleh Bahagian Industri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Walau bagaimanapun, PDC tetap memainkan peranan yang penting dalam pembangunan taman perindustrian dan hartanah serta penyediaan kemudahan untuk menyokong usaha menarik pelaburan bagi Negeri Pulau Pinang.

Tugas investPenang termasuk menyokong pembangunan syarikat–syarikat yang sedia ada untuk berkembang dari segi rantaian nilai (value chain) dan membantu industri tempatan untuk terus berkembang dan mampu bersaing dalam pasaran sedunia. Di samping itu, investPenang juga dipertugaskan sebagai pejabat pengurusan untuk pembangunan Penang MSC Cybercity dengan sokongan dan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDC).

Selain daripada Ahli-Ahli Lembaga yang terdiri daripada lima (5) orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan empat (5) orang Ahli Pegawai Kanan Kerajaan Negeri, termasuk Pengurus Besar PDC, lima (5) orang ahli lain dilantik menjadi Ahli Lembaga investPenang yang juga berfungsi sebagai Jawatankuasa Eksekutif atau Executive Committee (EC), iaitu YBhg Dato’ Kalsom Abdul Rahman, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) Malaysia dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha MITI; dua (2) orang tokoh korporat dari industri elektronik, telekomunikasi dan precision engineering, seorang bekas Naib-Presiden sebuah syarikat multinasional (MNC) dalam bidang semikonduktor dan I.C.T. dan seorang professor USM dalam bidang sains hayat dan bio-teknologi. Pengurusan investPenang pula terdiri daripada beberapa orang yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan industri I.C.T. dan bekas kakitangan dari PDC. Kini, investPenang mempunyai seramai 21 orang kakitangan sepenuh masa.

(B) Aktiviti-aktiviti investPenang dalam Tahun 2005. Dalam tempoh hampir setahun selepas penubuhannya, investPenang telah giat menjalankan dan menganjurkan beberapa aktiviti seperti berikut:-

(1) Mengelolakan dan Menyertai Misi-Misi Promosi Pelaburan ke Luar Negara.

Untuk mengekalkan pelaburan yang sedia ada dan menarik pelaburan yang baru dari luar negara, investPenang telah menganjurkan lapan (8) misi promosi pelaburan ke luar negara, iaitu dua (2) ke Amerika Syarikat, satu bagi setiap negara China, India, Jerman, Australia, Thailand dan Vietnam. investPenang juga menyertai dalam tiga (3) misi promosion anjuran MIDA, iaitu dua (2) ke Amerika Syarikat dan satu ke Singapura. Selain daripada itu, ahli-ahli investPenang juga telah menyertai dalam 5 persidangan antarabangsa dalam bidang-bidang I.C.T. dan bio-teknologi.

Tujuan lawatan ke luar negara ini adalah untuk mempromosikan serta memaklumkan kepada pelabur-pelabur asing tentang tarikan Pulau Pinang sebagai pusat pelaburan, perniagaan dan pembuatan berteknologi tinggi. Setakat ini, beberapa buah syarikat antarabangsa telah menunjukkan minat untuk melabur di Pulau Pinang, terutamanya dalam bidang I.C.T. dan peralatan perubatan bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi. Semasa lawatan ke luar negara, pasukan investPenang juga mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan atasan di ibupejabat syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai pelaburan di Pulau Pinang serta pelabur-pelabur baru yang dianggap bakal melabur di Pulau Pinang.

(2) Menganjurkan Acara-acara Promosi dalam Negeri serta Menghoskan Delegasi-delegasi dari Luar Negara.

Dua (2) acara promosi yang besar yang dianjurkan oleh investPenang ialah yang pertama pelancaran Penang MSC Cyber City di bawah National Rollout untuk MSC pada bulan Januari yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri sendiri, di mana satu pameran serta sesi taklimat mengenai MSC yang berjaya menarik 145 peserta daripada industri dan orang awam. Yang kedua, investPenang menyumbang tenaga dan masa untuk bekerjasama dengan Multimedia Development Corporation (MDC), bersama-sama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menganjurkan Mesyuarat Yang Kesembilan bagi MSC International Advisory Panel di Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan juga oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri sendiri. Sempena Mesyuarat MSC-IAP, beberapa acara raksasa juga dianjurkan, iaitu Global Technopreneur Forum untuk industri kecil dan sederhana, IT Job Fair yang menawarkan banyak peluang pekerjaan IT kepada mahasiswa-mahasiswa tempatan, ICT Fair bagi orang ramai yang mempamerkan teknologi syarikat-syarikat gergasi I.C.T.
Dalam tempoh ini, investPenang menghoskan dua (2) delegasi dari Kanada, setiap satu dari negeri Florida (Amerika Syarikat), Singapura, Jepun, Korea, Denmark dan wakil-wakil dari US-ASEAN Business Council. investPenang menerima kunjungan daripada rombongan Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Terengganu yang ingin mengkaji pembangunan perindustrian Negeri Pulau Pinang dan peranan investPenang. investPenang juga menganjurkan lima (5) seminar atau bengkel bagi faedah ahli-ahli Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Negeri Pulau Pinang mengenai bidang peralatan perubatan (medical devices), bio-farmaseutikal, strategi pembangunan IKS dan sebagainya. Di samping itu, investPenang telah juga menghantar pegawai-pegawainya untuk menghadiri beberapa persidangan dan forum yang dianjurkan oleh pihak swasta, seperti Malaysia-China Business Forum dan Persidangan CISCO Showcase di Kuala Lumpur.

(3) Bekerjasama dengan Agensi-agesni Kerajaan dan Pertubuhan-pertubuhan Bisnes untuk Membantu dan Memudahcara (facilitate) Para Pelabur Asing dan Tempatan.

investPenang mempunyai hubungan yang rapat dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA, MATRADE, SMIDEC dan MDC dalam usaha bersama untuk membantu dan memudahkan para pelabur serta PDC untuk hal ehwal tanah perindustrian PSDC dan USM untuk hal ehwal latihan dan teknologi. Perjumpaan dan perbincangan bersama dengan agensi-agensi ini dan para pelabur sering kali diadakan di pejabat investPenang ataupun di luar, termasuk di kilang-kilang. investPenang juga turut berkerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bisnes tempatan seperti The Free Industrial Zone Penang Companies Association (FREPENCA), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) serta dewan-dewan perniagaan, Persatuan Industri-Industri Fondri dan Kejuruteraan Pulau Pinang dan sebagainya.

(4) Menubuhkan Beberapa Pasukan Petugas bagi Bidang Teknologi dan Industri yang Tertentu.

investPenang membantu dalam menubuhkan beberapa buah pasukan petugas (taskforce) atau kumpulan kerja (work group) untuk menggembelingkan sumber dan tenaga IKS dalam beberapa bidang teknologi atau pengkhususan di mana Negeri Pulau Pinang mempunyai kelebihan atau asas yang agak kukuh. Melalui semangat kerjasama ini, bidang-bidang ini akan dapat dipertingkatkan dan diperkembangkan secara lebih berkesan untuk terus berkembang dan untuk menerokai bersama pasaran sedunia secara proaktif dan berkesan. Pasukan petugas atau kumpulan kerja terdiri daripada ahli-ahli pengusaha dalam bidang yang berkenaan, bersama-sama dengan pegawai-pegawai investPenang, MIDA, MATRADE, SMIDEC dan agensi-agensi lain yang bersesuaian serta ahli-ahli akademik dari universiti.
Setakat ini, 5 pasukan perugas dan kumpulan kerja telah berfungsi atau sedang dalam penubuhan seperti berikut:-

(a) Pasukan Kerja Penyelidikan Industri (IRTF – Industry Research Task Force) untuk menggalakkan dan menjalin kerjasama atau (collaboration) di antara industri dan universiti, dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan rekabentuk (Design), pertukaran ilmu dan teknologi; serta penganjuran seminar dan forum berkaitan dengan pembangunan teknologi supaya membina “Technology Roadmap“ yang bersesuaian untuk memperkukuhkan lagi daya saing Negeri Pulau Pinang dan menggalakkan industri tempatan terutamanya IKS untuk menaikkan taraf kepakaran mereka.

(b) Pasukan Petugas Automasi (Automation Taskforce) untuk menggubal strategi dan roadmap untuk membangunkan dan meningkatkan daya saing industri automasi dalam sektor ICT dan industri yang berkait rapat dengannya di Pulau Pinang.

(c) Kumpulan Kerja Teknikal (Technical Workforce Group) untuk mengurangkan dan menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan sumber manusia di Pulau Pinang. Objektif Jawatankuasa ini ialah untuk membina dan menbentuk startegi serta ‘roadmap’ jangkamasa panjang untuk perkembangan sumber manusia di Pulau Pinang. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk meningkatkan taraf kemahiran sumber manusia di Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
(d) Panel Penasihat Radio Frekuensi (RF Advisory Panel) untuk menggalak dan memperkembangkan teknologi dan industri ‘Radio Frequency’ di Pulau Pinang, supaya dapat merangka strategi yang perlu dilaksanakan, melalui berkongsi maklumat teknologi, perniagaan dan pasaran di dalam bidang Frekuensi Radio serta membantu mempromosikan Pulau Pinang kepada pelabur-pelabur Frekuensi Radio antarabangsa.

(e) Pasukan Petugas Peralatan Perubatan (Medical Devices Taskforce) untuk mengenalpasti segmen-segmen yang berkepentingan dalam sektor peralatan perubatan serta menyediakan satu pelan tindakan membina ‘cluster’ bagi industri peralatan perubatan di Pulau Pinang.

Di samping itu, investPenang terus menyokong dan bekerjasama dengan “Software Consortium of Penang“ (ScoPe) yang ditubuhkan pada Januari 2003 atas galakan kerajaan negeri. Konsortium yang merangkumi 32 syarikat perisian komputer tempatan ini berkerjasama untuk meningkatkan keupayaan teknologi mereka dan seterusnya menerokai pasaran yang lebih besar di dalam dan di luar negeri.

(5) Mengadakan mesyuarat dengan pelabur-pelabur yang sedia ada dan yang baru. Setakat ini, pengurusan investPenang telah mengadakan mesyuarat perniagaan (business meetings) dengan 224 buah syarikat untuk membincangkan pelan pelaburan dan bisnes mereka. Sebanyak 84 buah syarikat ialah pelabur asing dan 140 buah adalah pelabur tempatan, 97 ialah pelabur yang sedia ada di negeri ini dan 127 merupakan pelabur baru. Mesyuarat-mesyuarat ini diadakan di Negeri Pulau Pinang atau di tempat-tempat di mana pasukan investPenang telah mengunjungi melalui misi-misi promosi. Bagi syarikat-syarikat yang sedia ada, perbincangan melibatkan pelan pembesaran, permohonan status MSC dan insentif baru, penyelesaian masalah-masalah teknikal dan sebagainya. Untuk yang belum beroperasi di Negeri Pulau Pinang, perbincangan adalah tertumpu kepada usaha untuk menarik mereka datang ke Negeri Pulau Pinang. Sebagai pemberi penyelesaian lengkap (total solution provider), investPenang juga memberi khidmat panduan kepada para pelabur dari tahap pertanyaan mengenai tanah perindustrian ataupun ruang pejabat kepada permohonan insentif, pendaftaran pejabat sehinggalah ke tahap perkhdimatan selepas jualan (after sales service) ataupun apabila pelabur itu sudah melabur di Pulau Pinang.
6. Menyertai dan memberi sumbangan kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang dianjurkan oleh kerajaan negeri serta pihak swasta. investPenang juga terlibat dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang dianjurkan oleh kerajaan negeri serta pihak swasta. Jawatankuasa-jawatankuasa yang dianggotai oleh investPenang termasuk:
• Majlis K-ICT serta jawatankuasa-jawatankuasa kecilnya
• Jawatankuasa Infrastruktur dan Jawatankuasa IKS di bawah naugan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM)
Di samping menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa ini, investPenang juga memberi sumbangan kepada Pulau Pinang dari segi peranannya untuk menyelaraskan penyediaan bab ‘Pembangunan Industri’ bagi Rancangan Negeri Pulau Pinang Ke-2.

investPenang juga telah dipertanggungjawabkan sebagai urusetia untuk menyediakan ‘roadmap’ bagi pembangunan penyelidikan bioteknologi marin, biodiversiti dan biofarmaseutikal di Malaysia.

(C) Pencapaian investPenang Sejak Penubuhannya

Setakat ini, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh investPenang telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Di antara pencapaian-pencapaian investPenang adalah seperti berikut:
(1) Peningkatan pelaburan dari dalam dan luar Negeri
Hasil usaha investPenang jelas ternampak dari peningkatan pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) bagi Negeri Pulau Pinang pada tahun 2005 ini. Bagi suku tahun yang ketiga atau sembilan (9) bulan yang pertama bagi tahun ini, sejumlah 106 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan RM1,971 juta. Angka ini adalah sama dengan pelaburan bagi seluruh tahun untuk tahun 2004 dan tahun 2003 yang berjumlah RM2,030 juta dan RM1,923 juta masing-masing. Bagi suku tahun yang terakhir, adalah dijangka bahawa beberapa pelaburan akan terus diluluskan oleh MIDA. Oleh itu, jumlah pelaburan bagi seluruh tahun 2005 ini dijangka akan melebihi RM2.50 billion, iaitu melebihi angka untuk tahun 2004 dan 2003, bahkan 2002 sebanyak RM2.40 billion.

(2) Peningkatan Jualan Tanah Perindustrian PDC

Data penjualan tanah perindustrian PDC juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Sebanyak 23 plot tanah perindustrian telah dijual dengan jumlah pelaburan sebanyak RM508.0 juta, berbanding dengan hanya 18 plot tanah perindustrian dan pelaburan RM173.0 juta bagi tahun 2004, 12 plot tanah perindustrian dengan RM75.0 juta bagi tahun 2003, 12 plot tanah perindustrian dengan RM80.0 juta bagi tahun 2002 dan 18 plot tanah perindustrian dengan RM146.0 juta bagi tahun 2001. Sebenarnya, pelaburan sebanyak RM508.0 juta ini dari perjualan tanah perindustrian adalah melebihi jumlah pelaburan bagi empat (4) tahun di antara tahun 2001 hingga tahun 2004 sebanyak RM474.0 juta. Ianya juga melebihi pelaburan RM498.0 juta bagi tahun 2000 yang merupakan kemuncak kenaikan pelaburan selepas kemelesetan pada tahun 1998.

(3) Peningkatan Peluang Pekerjaan & Para Pembekal Tempatan

Sehingga tahun September 2005, menurut data yang diperolehi dari MIDA sebanyak 14,016 peluang pekerjaan akan diwujudkan. Bilangan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan pada tahun ini telah meningkat lebih daripada 40%-50% berbanding dengan tahun 2004 dan 2003 iaitu hanya kewujudan 9,235 dan 9,890 peluang pekerjaan baru sahaja. Sasaran kewujudan peluang pekerjaan sehingga hujung tahun ini dijangka akan melebihi peluang pekerjaan yang diwujudkan pada tahun 2002, 2001 dan 2000 iaitu di lingkungan 13,500 – 15,300 peluang pekerjaan setiap tahun.

Peringkat pelaburan bukan sahaja akan menghasilkan peluang pekerjaan malahan juga akan menghasilkan kesan-kesan gandaan (multiplier effects) yang positif kepada keseluruhan ekonomi kita, termasuk pembangunan industri sokongan tempatan, perkembangan sektor perkhidmatan, serta peluang pekerjaan di sektor industri sokongan dan perkhidmatan. Kesan-kesan gandaan ini secara langsung dan tidak langsung memberi sumbangan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Pulau Pinang, menjanakan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran khasnya bagi kalangan siswajah serta menaikan taraf hidup rakyat Pulau Pinang.

(4) Pemadanan Perniagaan di antara syarikat tempatan dengan syarikat asing

Dari Januari hingga Oktober 2005, investPenang telah mengatur sebanyak 98 pemadanan perniagaan atau “business matchings” antara pelabur asing dengan IKS tempatan. Pelabur asing yang berpotensi akan dikenalpasti terlebih dahulu oleh invest Penang dan diperkenalkan kepada IKS tempatan supaya mereka memulakan surat-menyurat melalui email dan dapat memahami keadaan keperluan masing-masing. Perhubungan awal ini menjadikan mesyuarat perniagaan yang dianjurkan nanti oleh invest Penang amat berhasil. IKS tempatan bermanfaat dengan menjadi rakan perniagaan serantau bagi perkontrakan luar (outsourcing) untuk mengusahakan projek-projek elektronik dan ICT bagi syarikat asing.

(5) Pembangunan ‘Penang MSC Cybercity’ telah mempertingkatkan sektor ICT

Pada tahun Januari 2005, Pulau Pinang menjadi negeri yang pertama di Malaysia di luar Lembah Kelang dianugerahkan status ‘MSC Cybercity’. Ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap kemampuan dan keupayaan Pulau Pinang dalam sektor ICT. Sehingga 30 Oktober 2005, sebanyak 68 buah syarikat dikurniakan ‘MSC-status’, jauh melebihi sasaran 30 buah syarikat yang ditetapkan. Pelancaran Penang MSC Cybercity dengan jaminan kerajaan (Bills of Guarantee) yang mengandungi insentif – insentif yang menarik dan dasar terbuka kepada syarikat – syarikat asing telah banyak menarik minat pelabur asing dan tempatan.

Mesyuarat MSC-IAP yang ke-9 yang diadakan di Pulau Pinang pada bulan September 2005 juga telah meningkatkan imej dan publisiti media antarabangsa terhadap Pulau Pinang yang terkenal sebagai “Silicon Island”, sesuai untuk tujuan perkontrakan luar proses bisnes (Business Process Outsourcing).

(D) Kesimpulan

Kerajaan negeri, melalui investPenang, akan terus berusaha dengan gigih untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di arena antarabangsa. investPenang akan selalu bekerjasama dengan agensi-agensi yang lain untuk memastikan bahawa persekitaran pelaburan dan perniagaan dalam sektor perindustrian di Negeri ini sentiasa dipertingkatkan, supaya menjanakan pertumbuhan yang lebih rancak untuk manfaat rakyat jelata.







Kembali