Jawapan
35. Sejak tahun 1991, pelantikan Jaksa Pendamai (JP) telah ditangguhkan kerana kerajaan negeri ingin memastikan bahawa pelantikan JP tidak lagi dipandang dan ditaksirkan oleh orang ramai sebagai satu bentuk pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang semasa perayaan hari jadinya. Di sebaliknya, JP merupakan satu pelantikan jawatan untuk menjalankan beberapa tugas yang berfaedah kepada masyarakat.
Pelantikan dan kuasa seseorang yang dilantik sebagai JP adalah sepertimana dinyatakan dalam Bahagian IX, Akta Mahkamah Rendah 1948. Tugas dan kuasa seseorang JP juga terkandung dalam beberapa peruntukan undang-undang bertulis seperti:-
(i) Criminal Procedure Code (Cap 21)
(ii) Betting Ordinance 1953
(iii) Common Gaming Houses Ordinance 1953
(iv) Prison Ordinance 1952
(v) Children and Young Persons Ordinance 1947
(vi) Power of Attorney Ordinance 1949
Beberapa perbincangan telah diadakan dengan Majlis Jaksa-jaksa Pendamai Negeri Pulau Pinang dan Jemaah Kebangsaan Jaksa-jaksa Pendamai Malaysia untuk cuba merangka kriteria pelantikan yang boleh diterima oleh semua kerajaan negeri supaya boleh diselaraskan antara negeri. Jemaah Kebangsaan Jaksa-jaksa Pendamai Malaysia telah menunjukkan minat dan menjalankan kerjanya sendiri untuk memajukan konsep ini. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tersebut, perbincangan ini tidak begitu berhasil setakat ini.
Baru-baru ini, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji kriteria pelantikan JP untuk Negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan wakil-wakil dari Majlis Jaksa-jaksa Pendamai Negeri Pulau Pinang untuk mengkaji semula kriteria pelantikan JP yang baru untuk Negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa ini telah bersidang dan sedang mencadangkan kriteria pelantikan JP yang akan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.