MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang telah diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah denggi yang semakin meningkat.
Dun -
Exco SP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Strategi jangka pendek Kerajaan Negeri dalam mengawal wabak demam denggi di negeri ini adalah melalui pendekatan “source reduction”. Selaras dengan pendekatan yang diamalkan, langkah – langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mencegah dan mengawal wabak tersebut adalah seperti berikut :

1. Meneruskan aktiviti pengasapan di persekitaran serta di dalam kediaman apabila terdapat kes - kes dilaporkan dan di kawasan-kawasan tertentu terutamanya yang mempunyai kepadatan nyamuk Aedes yang tinggi.

2. Meningkatkan aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan perumahan, sekolah, perindustrian, tapak pembinaan dan terutamanya di kawasan yang terbiar seperti di kawasan tanah lapang dan projek terbengkalai.

Bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini pada masa hadapan, Kerajaan Negeri juga telah mengambil beberapa pendekatan jangka panjang bagi mencegah dan mengawal penyakit ini iaitu melalui :

1. Penglibatan sepenuhnya oleh ADUN-ADUN kawasan melalui Program COMBI (Communication for Behavioural Impact) khasnya di kawasan-kawasan wabak.

2. Pengutipan sampah yang intensif dan teratur oleh pihak MPPP dan MPSP terutamanya di kawasan-kawasan wabak. Aktiviti pengasapan juga dijalankan di kawasan-kawasan di mana kes dilaporkan dan kawasan yang mempunyai kepadatan nyamuk yang tinggi.

3. Menjalankan hebahan secara besar-besaran melalui media elektronik dan cetak mengenai bahaya demam denggi, keperluan aktiviti kawalan dan juga peranan masyarakat dalam membantu mengawal serta mencegah wabak ini.

4. Menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai bagi memusnahkan tempat - tempat pembiakan nyamuk di kawasan operasi masing-masing.

5. Mengadakan beberapa kempen kesedaran demam denggi dan gotong-royong di daerah – daerah terbabit dengan kerjasama ADUN-ADUN kawasan serta Badan – Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

6. Mengenakan kompaun sehingga maksimum RM500 kepada tuanpunya premis yang didapati mempunyai punca-punca pembiakan nyamuk Aedes. Bagi kesalahan yang sama kali kedua, tindakan mahkamah boleh dikenakan kepada individu terbabit.

7. Memastikan semua pihak yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan berkala dan melakukan aktiviti pencegahan melalui pemusnahan tempat pembiakan nyamuk.

8. Memperluaskan penggunaan racun pembunuh jentik-jentik bakteria BTI (Bacillus Thurengiensis Israelensis) untuk membunuh larva nyamuk Aedes.



Kembali