MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan pencapaian terkini Kempen Kitar Semula dan Kempen Kesedaran Kompos di Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco THN
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan
Kerajaan negeri telah melancarkan Program Kitar Semula peringkat negeri pada Mac 2001 diikuti dengan pelancaran di peringkat daerah. Program perintis telah dilancarkan di peringkat komuniti dan sembilan komuniti daripada komuniti-komuniti yang terlibat masih aktif menjalankan kitar semula. Sehingga kini terdapat lebih kurang 236 pihak merangkumi Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, JKKK, sekolah-sekolah, pertubuhan, pasaraya, kilang, hospital, agen kitar semula dan sebagainya yang menjalankan aktiviti kitar semula. Fasa 2 program ini iaitu program pendidikan telah dijalankan sepanjang tahun 2002 dan 2003 di mana pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk seminar, bengkel dan lawatan ke kilang-kilang kitar semula untuk mendalami kaedah-kaedah dan isu-isu yang berbangkit. Fasa 3 seterusnya akan melibatkan perluasan program ke peringkat komuniti di seluruh negeri.

Pencapaian pada peringkat awal memang tidak begitu menggalakkan tetapi tahap pencapaian telah meningkat hasil daripada pelaksanaan kempen kesedaran dan program-program mempromosikan kitar semula di kalangan murid-murid sekolah, sektor perkilangan, sektor kerajaan dan sektor bukan kerajaan (NGO). Kadar pencapaian bagi bahagian Pulau telah meningkat daripada 3% pada awal program kepada 15.5 % pada akhir tahun 2004 dan dijangka mencapai 16% pada penghujung tahun 2005. Manakala kadar pencapaian kitar semula di Seberang Perai telah meningkat daripada 5.44% pada awal program kepada 17.49 % pada akhir tahun 2004 dan dijangka mencapai 18.20% pada penghujung tahun 2005.

Program terbaru yang diperkenalkan di negeri ini ialah Program Kitar Semula Komputer Terpakai dan program ini akan diteruskan bersama oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Dell Asia Pacific. MPPP dan MPSP telah menjalankan kempen dan ceramah kitar semula seperti lazimnya dan telah memperkenalkan kutipan sisa berbahaya domestik seperti batang lampu kalimatan terpakai, bateri terpakai dan komputer terpakai.

Selain dari itu, MPPP telahpun melangkah lagi setapak ke arah pemeliharaan alam persekitaran melalui pengurusan sisa pepejal dengan memperkenalkan program printis pengasingan sampah di punca di kawasan Hillside, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Program tersebut merupakan pilot project yang melibatkan 409 rumah kediaman dan komersial. Pelancaran telah dilaksanakan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang pada 3.9.2005 di Tanjung Country Club, Tanjung Bunga, Pulau Pinang.

Program ini adalah di bawah kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Japan International Cooperation Agency (JICA) dan MPPP. Program dilaksanakan bagi menyelidik tabiat dan kesedaran orang awam terhadap amalan mengasingkan sisa pepejal organik dan inorganik. Sejumlah 409 tong khas berwarna biru telah diedarkan kepada premis-premis terlibat dengan sumbangan dari JICA.

Para penduduk juga diajar teknik-teknik pengasingan sisa pepejal organik dan inorganik. Selain dari itu, Majlis dengan kerjasama Socio Economic and Environmental Research Institute (SERI) telah mengadakan demonstrasi membuat kompos di rumah pada sesi penerangan kepada orang ramai pada hari yang sama. Kutipan sedang dilaksanakan setiap hujung minggu mulai jam 8.00 pagi dan sisa pepejal biasa di kutip 3 kali seminggu. Program ini akan diperluaskan kepada 400 buah premis lagi di kawasan yang sama pada bulan November 2005.

Manakala MPSP melalui pelancaran Kempen Kitar Semula Peringkat Seberang Perai pada April 2001 telah menubuhkan Unit Kitar Semula bagi menyelaras semua aktiviti berkaitan. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti pameran, ceramah, dialog, karnival, kuiz, bengkel, risalah, poster dan sebagainya dan ianya telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat. Aktiviti ini dijalankan secara berterusan.

Program pengkomposan merupakan suatu program baru dan amat diberi perhatian oleh MPSP bagi mengurangkan sisa organik. Sehingga kini, beberapa taman telah melaksanakan program pengkomposan seperti Taman Kota Permai, Taman Duku, Taman Pandan, Taman Sri Rambai Fasa 4 dan Taman Meranti.

MPSP telah berusaha memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan dan merancang untuk membina beberapa pusat pengkomposan bagi melupuskan sisa kebun dengan menggunakan tinja ayam. Adalah diharapkan dengan kaedah ini, sisa organik dapat dikurangkan serta memberi pulangan terhadap penghasilan baja organik.

Kerajaan negeri juga melalui projek Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan dengan SERI telah melaksanakan projek-projek membuat kompos di Kg Seronok, Balik Pulau, Taman Duku, Juru (CIDA-AIT) dan membuat pelancaran program membuat kompos di rumah di kawasan Pulau Tikus.

Projek Kitar semula yang dilaksanakan oleh SERI ialah:

(i) 2003-2004 Public-Private Partnership in Community Waste Recycling (UNDP)

(ii) 2004-2005 Solid Waste Management and the Greening of the Hotel Belt in Batu Ferringhi and University Science Malaysia (USM) (Asia Productivity Organisation (APO)

(iii) 2005 Pilot Project for Establishing Local Recycling Networks and Source Separation of Municipal Solid Waste (JICA)





Kembali