MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah kerajaan negeri mengetahui apakah punca kes demam denggi merebak pada bulan September 2005. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan atau mengurangkan kes demam denggi pada masa akan datang.
Dun -
Exco SP
Perkara Kesihatan

Jawapan
2. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti beberapa punca penyebab berlakunya deman denggi di negeri ini. Punca–punca penyebab adalah seperti berikut :

(i) Keadaan cuaca pada bulan September yang tidak menentu iaitu keadaan cuaca yang panas dan lembab yang berselang seli mengakibatkan penambahan kepada kepadatan nyamuk kerana penambahan tempat – tempat air bertakung.

(ii) Terdapat banyak kawasan di mana aspek kebersihan tidak diberikan perhatian terutamanya dari segi pembuangan sampah sarap.

(iii) Penyelenggaraan sesetengah bangunan pangsapuri yang kurang menitikberatkan kebersihan kawasan kediaman dan persekitaran.

(iv) Sikap segelintir masyarakat yang kurang endah terhadap kebersihan kediaman dan kawasan persekitaran. Selain daripada itu, terdapat juga individu yang enggan bekerjasama semasa aktiviti pengasapan dijalankan.

Bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini pada masa hadapan, kerajaan negeri telah mengambil beberapa pendekatan bagi mencegah dan mengawal penyakit deman denggi dengan :

(i) Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kebersihan kawasan kediaman dan persekitaran melalui kempen – kempen dan hebahan di dalam media elektronik dan media cetak.

(ii) Penglibatan semua ADUN di dalam Program COMBI (Communication for Behavioural Impact) khasnya di kawasan – kawasan wabak.

(iii) Pemungutan sampah yang lebih kerap dan teratur oleh pihak MPPP dan MPSP.

(iv) Memastikan pihak yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan berkala dan melakukan aktiviti pencegahan dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

(v) Melaksanakan kempen – kempen kesedaran demam denggi dan aktiviti gotong royong agar kawasan persekitaran bersih daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk.

(vi) Memperluaskan penggunaan racun pembunuh bakteria jenis BTI ( Bacillus Thurengiensis Israelensis ) bagi membunuh larva nyamuk aedes.

(vii) Mengenakan kompaun sehingga maksimum RM500 kepada tuanpunya premis yang didapati mempunyai punca – punca pembiakan nyamuk aedes. Bagi kesalahan yang sama kali kedua, tindakan mahkamah boleh dikenakan terhadap individu terbabit.
Kembali