Jawapan
Pemandu teksi di Pulau Pinang enggan menggunakan meter kerana mereka berpendapat bahawa kadar tambang sedia ada adalah rendah. Mereka telah memohon supaya kadar khas ditetapkan untuk perkhidmatan teksi bermeter di Pulau Pinang yang lebih tinggi daripada kadar baru yang dikuatkuasakan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Semenanjung Malaysia pada 1 Mei 2005. Ini adalah memandangkan bahawa permintaan untuk penggunaan teksi di Pulau Pinang adalah lebih rendah dan suasananya juga berbeza berbanding dengan tempat-tempat lain di mana Sistem Teksi Bermeter dikuatkuasakan. Oleh itu, pendapatan yang dapat diperolehi oleh pemandu teksi dengan menggunakan kadar teksi bermeter tidak akan mencukupi untuk menyara hidup mereka.
Kerajaan negeri telah berhubung dengan pihak LPKP dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan cadangan cara-cara penyelesaian untuk memperkenalkan Sistem Teksi Bermeter di Pulau Pinang. Secara prinsipnya, LPKP telah bersetuju untuk menetapkan kadar baru perkhidmatan teksi bermeter di Pulau Pinang. Kerajaan negeri juga telah mengadakan perbincangan dengan Gabungan Persatuan Pemandu Teksi untuk memastikan pelaksanaan Sistem Teksi Bermeter dijalankan dengan lancar apabila kadar baru untuk Pulau Pinang diumumkan oleh LPKP. Satu tempoh kempen penggunaan teksi bermeter akan diadakan untuk meningkatkan sambutan dan pengetahuan pengguna mengenai kadar-kadar yang ditetapkan serta mendapat kerjasama semua pihak yang terlibat termasuk pemandu teksi dan pihak penguatkuasa untuk menjayakan rancangan ini. Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada pemandu teksi sepanjang tempoh kempen untuk membolehkan mereka menanggung sebarang kos tambahan yang mungkin wujud pada peringkat permulaan. Seiring dengan penetapan kadar tambang baru untuk teksi bermeter, sistem rondaan atau berlegar-legar (cruise) untuk mengambil penumpang akan diperkenalkan dan lebih banyak perhentian teksi akan diadakan.