MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah usaha-usaha yang telah diambil oleh kerajaan negeri dalam merebut peluang ekonomi daripada Negeri China yang kini muncul sebagai kuasa ekonomi baru dunia. Berapa ramai usahawan tempatan yang telah melabur di Negeri China dan jumlah pelaburan dari Negeri China di negeri ini.
Dun -
Exco TKW
Perkara Ekonomi

Jawapan
Kerajaan Negeri sedar bahawa Negara China kini telah muncul sebagai sebuah ekonomi besar dan berkuasa yang berjaya untuk menarik pelaburan asing. Oleh yang demikian, cabaran untuk Negeri Pulau Pinang adalah bagaimana untuk berusaha dan menjadikan fakta ini suatu kelebihan dan bukannya suatu kelemahan. Demi menjadikan keunggulan Negara China suatu kelebihan / peluang untuk mendorong perkembangan ekonomi Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah berikut:-

(i) Penubuhan Invest in Penang Berhad oleh Kerajaan Negeri sebagai sebuah agensi yang bertanggungajawb ke atas penggalakkan pelaburan akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih fokas, berkesan dan efisien kepada para pelabur.

(ii) Negeri Pulau Pinang telah berjaya memperolehi status MSC-Cybercity yang merupakan Bandar Siber yang pertama dianugerahkan status tersebut, di luar zon tengah MSC di Malaysia. Dengan pelancaran Penang MSC-Cybercity oleh YAB Perdana Menteri pada 29hb Januari, 2005, Negeri Pulau Pinang sekarang adalah lebih bersedia untuk menghadapi persaingan yang semakin sengit dari ekonomi-ekonomi yang muncul dan berkembang pesat seperti negara China, India, Thailand, Vietnam dan juga ekonomi-ekonomi maju seperti Korea, Taiwan dan Singapura. Negeri Pulau Pinang dapat menarik pelaburan baru dari syarikat-syarikat berteknologi serta mengekalkan pelabur yang sedia ada dengan insentif-insentif dan faedah-faedah yang diberikan.

(iii) Kerajaan Negeri juga adalah lebih selektif dalam penggalakkan pelaburan. Kerajaan Negeri akan menggalakkan pelaburan dalam industri yang Pulau Pinang mempunyai kelebihan ataupun dapat mengambil kesempatan ke atas pengalaman perindustriannya selama 3 dekad. Demi untuk menaikkan taraf ekonomi negeri dan tenaga kerja di Pulau Pinang, galakkan pelaburan ditumpukan kepada industri dan sektor yang bernilai tambah tinggi, berteknologi tinggi dan memerlukan pekerja berpengetahuan dan bukannya pekerja manual. Kerajaan Negeri juga kini memberi perhatian kepada sektor bioteknologi dan peralatan perubatan. Pulau Pinang dapat mengambil kesempatan ke atas kelebihannya serta pengalamannya dalam sektor elektrik dan elektronik untuk berkecimpung dalam sektor peralatan perubatan yang dianggarkan jualan tahunannya bersamaan ataupun lebih daripada jualan tahunan sektor semikonduktor.

(iv) Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bekerjasama dengan MIDA untuk mempromosikan pelbagai insentif kepada para pelabur termasuk insentif pre-packaged untuk mengekalkan syarikat-syarikat multinasional serta untuk menarik pelaburan baru ke Pulau Pinang. Insentif pre-packaged yang diberikan oleh MIDA adalah berdasarkan teknologi dan jenis aktiviti yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersebut.

(v) Kerajaan Negeri juga mengenalpasti dan menganjurkan misi-misi pelaburan dan lawatan kerja ke luar negara serta pameran-pameran tempatan dan luar negara untuk mempromosikan kebolehan industri tempatan supaya dapat mengalakkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Pulau Pinang.

(vi) Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berkerjasama dengan PDC, MPPP, MPSP, JKR dan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membangunkan kawasan perindustrian yang lebih teratur serta meningkatkan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian. Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan pelabur-pelabur asing untuk menempatkan perlaburan mereka di kawasan-kawasan yang sah dalam usaha untuk memastikan bahawa perlabur-pelabur mempunyai kemudahan untuk beroperasi di dalam persekitaran yang lebih selesa.

Kini, terdapat beberapa usahawan tempatan yang melabur di Negara China terutamanya dalam sektor tekstil, kejuruteran precision dan komponen-komponen komputer. Walaupun banyak usahawan tempatan yang telah melabur di Negara China, ini tidak bererti bahawa Negeri Pulau Pinang kehilangan peluang pelaburan kepada Negeri China. Sebaliknya ini merupakan suatu langkah yang baik bagi pelabur tempatan yang fleksibel, mampu melakukan pengubahsuaian dan dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan terkini untuk mengaut keuntungan dari pelaburan mereka di arena antarabangsa.

Mengikut rekod MIDA, tiada kelulusan pelaburan diterima oleh Pulau Pinang bagi tahun 2001-2004. Bagaimanapun terdapat dua buah projek yang diluluskan dalam tempoh tersebut yang mempunyai penyertaan dari Negara China iaitu:-

(i) Syarikat Goda (M) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Perai dan mengeluarkan remote meter management equipment devices. Projek ini diluluskan pada 16 Oktober 2000 dengan jumlah pelaburan dari Negara China sebanyak RM8.9 juta.

(ii) Syarikat Dais-Electric (M) Sdn. Bhd. beroperasi di Bayan Baru dan mengeluarkan energy saving lamps & electronic ballast. Projek ini diluluskan pada 8 Jun 2005 dan jumlah pelaburan dari Negara China adalah sebanyak RM200,000.00.






Kembali