MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila senaraikan jumlah blok yang masih belum diberikan hakmilik strata, nama pemajunya dan apakah sebabnya. Berapa jumlah Pegawai Penguatkuasa yang bertugas di Bahagian Hakmilik Strata, Pejabat Tanah dan Galian.
Dun -
Exco TKM
Perkara Tanah

Jawapan
1. Jumlah projek yang masih belum diberi Hakmilik Strata yang dalam tindakan/makluman yang ada di Pejabat Tanah dan Galian adalah sebanyak 136. Pentadbiran ini mendapati jumlah petak yang masih belum dikeluarkan hakmilik adalah sebayak 20,429. Pentadbiran ini juga tidak dapat memberi jawapan kepada jumlah blok yang belum dikeluar hakmilik kerana ia perlu mengambil masa bagi mendapatkan angka berkenaan. Nama-nama pemaju adalah seperti di lampiran.

2. Antara sebab-sebab hakmilik strata masih belum diberi ialah:

a) Maklumat-maklumat yang dikehendaki adalah tidak dipenuhi oleh oleh pemaju sepertimana mengikut Seksyen 9(1) Akta Hakmilik Strata iaitu permit ruang udara tidak dipenuhi, gadaian yang belum dilepaskan, surat kebenaran pihak berkepentingan tidak diperolehi, resit hasil tanah tidak dikemukakan dan geran muktamad tidak diperolehi.

b) Begitu juga kelewatan pengeluaran hakmilik strata adalah disebabkan pengiraan unit syer tidak saksama dan juga sijil kelayakan menduduki (OC) tidak dikemukakan bersama permohonan.

c) Pejabat Tanah dan Galian masih menunggu ulasan daripada Jabatan Ukur dan juga dalam proses tindakan menyemak permohonan pecah bahagi bangunan.

d) Pejabat Tanah dan Galian menunggu penyediaan pelan akui (C.P) daripada Jabatan Ukur sebelum sesuatu bangunan itu diluluskan untuk penyediaan hakmilik strata. Kelewatan ini juga disebabkan oleh Jurukur Berlesen lewat mengemukakan pelan akui untuk diluluskan kepada Jabatan Ukur selepas kelulusan diperolehi daripada Pejabat Tanah dan Galian.


3. Walau bagaimanapun terdapat masalah-masalah yang permohonan pecah bahagi bangunan ini tidak dapat diproses dengan cepat memandangkan beberapa keadaan berikut:-

a) Bangunan yang didirikan di atas tanah yang masih belum diselesaikan isu-isu tanah yang berkenaan.

b) Bangunan yang didirikan tidak sama dengan pelan kelulusan bangunan dan pelan kelulusan pindaan tidak diperolehi.

c) Hakmik kekal belum dikeluarkan.

d) Pelan cadangan strata yang disediakan oleh Jurukur Berlesen berbeza dengan pelan bangunan dari segi kedudukan dan bentuk petak dibangunkan.

e) Kelulusan pelan bangunan tidak dapat diperolehi.

f) Keluasan petak dalam pelan akui strata berbeza dengan butir-butir dalam surat perjanjian jual beli.


4. Mengikut bilangan jawatan Pegawai Penguatkuasa (Penolong Pegawai Tanah) yang diluluskan di Bahagian Strata adalah seramai 4 orang yang bertanggungjawab dalam urusan penguatkuasa. Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja Pegawai Penguatkuasa yang diisi. Pegawai Penguatkuasa ini bertanggungjawab untuk menguatkuasakan apa-apa pelanggaran berkaitan dengan hakmilik strata disamping membuat lapuran-lapuran tanah berkaitan dengan aduan yang diterima. Pada masa yang sama pegawai ini bertindak sebagai Pendaftar Hakmilik untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan pendaftaran hakmilik.




Kembali