Jawapan
Sehingga Oktober 2005, sebanyak 514 saman (kompaun) telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang kepada pemilik kenderaan diesel yang didapati melepaskan asap hitam melebihi daripada had yang ditetapkan. Daripada jumlah ini sebanyak 66 saman telah dikeluarkan kepada pemilik bas awam. Pada tahun 2004, sebanyak 522 saman telah dikeluarkan di mana 117 saman telah dikeluarkan kepada pemilik bas awam di atas kesalahan yang sama. Di samping ini, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengeluarkan 20 saman sepanjang tahun 2005 kepada pemilik bas kerana pengeluaran asap yang berlebihan.
Tindakan lebih berkesan yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah pelepasan asap hitam daripada kenderaan diesel ini adalah:
i. Menjalankan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan-kawasan strategik dan tumpuan awam;
ii. Menjalankan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan;
iii. Mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada pemilik kenderaan;
iv. Menjalankan penguatkuasaan di peringkat punca iaitu ke bengkel syarikat-syarikat yang mempunyai lebih daripada 10 kenderaan diesel;
v. Kenderaan diesel yang diadu kerana melepaskan asap hitam berlebihan akan diarah untuk menjalani ujian asap oleh Jabatan Alam Sekitar;
vi. Setiap kenderaan yang disaman perlu hadir untuk ujian semula oleh Jabatan Alam Sekitar;
Tindakan-tindakan ini adalah tambahan kepada syarat kerajaan supaya semua kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom setiap 6 bulan untuk menjamin kenderaan tersebut selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan yang termasuk tahap pengeluaran asap.