MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah di antara prasarana dan kemudahan sukan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri sehingga kini. Adakah ADUN kawasan terlibat di dalam perancangan dan pelaksanaan kemudahan tersebut. Bolehkah kerajaan negeri senaraikan prasarana dan kemudahan yang masih di dalam perancangan bagi daerah SPT secara amnya dan di dalam KADUN Seberang Jaya secara khususnya.
Dun -
Exco JH
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
Kerajaan Negeri melalui Rancangan Malaysia ke – 9 telah mencadangkan beberapa projek pembangunan prasarana serta kemudahan sukan di negeri ini seperti berikut :

a) Pusat Futsal Negeri di Telok Air Tawar, Butterworth, Daerah Seberang Perai Utara
b) Wisma Angkat Berat di Bukit Mertajam, Daerah Seberang Perai Tengah.
c) Kompleks Sukan Berpretasi Tinggi Di Batu Uban, Daerah Timur Laut.
d) Kompleks Sukan Batu Kawan, Daerah Seberang Perai Selatan.
e) Velodrom Lumba Basikal di Balik Pulau , Daerah Barat Daya.
f) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Daerah di semua daerah.
g) Kompleks Sukan Serbaguna di Jalan Sepoy Lines, Daerah Timur Laut.
h) Pusat Sukan Komuniti di setiap kawasan parlimen.
i) Pusat Rekreasi Negeri, Daerah Barat Daya.
j) Kompleks Rakan Muda di Daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Tengah.

Lazimnya, YB ADUN kawasan berkenaan akan turut dijemput bagi berbincang dengan jabatan/agensi terbabit di dalam sebarang pelaksanaan projek mahupun program sukan seperti contohnya, Program Sukan Majlis Sukan Daerah dan Sukan Pulau Pinang (SUKPEN).

Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri telah merancang pembangunan Wisma Angkat Berat, Gimnasium Gimnastik, Kompleks Rakan Muda serta kemudahan Pejabat Pentadbiran Majlis Sukan Daerah untuk dibina di kawasan Seberang Perai Tengah tetapi tidak di dalam kawasan Seberang Jaya, berikutan masalah peruntukan kewangan dan tanah yang terhad. Sungguhpun demikian, terdapat beberapa kemudahan sukan telah sedia ada di kawasan Seberang Jaya seperti Kolam Renang Seberang Jaya, Kompleks Sukan Sony, Taman Rekreasi Taman Tunku, Taman Rekreasi Taman Sembilang dan juga Pusat Sukan Swasta (Kelab Safira) yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan bersukan. Selain daripada itu, kemudahan-kemudahan sukan turut disediakan oleh pusat-pusat pengajian tinggi yang berhampiran seperti UiTM dan Politeknik Seberang Perai. Pihak MPSP juga sedang membina sebuah Kompleks Sukan Daerah di Jalan Betik, Bukit Mertajam, Daerah Seberang Perai Tengah.
Kembali