Jawapan
62. Dalam setiap Perjanjian Jual Beli yang melibatkan bangunan berbilang tingkat (Jadual H) Peraturan-peraturan pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989, terdapat terma-terma mengenai tanggungjawab pemaju untuk memohon hakmilik strata dan memindahkan hakmilik strata tersebut kepada pembeli dalam tempoh dua puluh satu hari daripada tarikh hakmilik strata dikeluarkan. Perjanjian jual beli tersebut juga ada memperuntukkan terma-terma mengenai tanggungjawab pembeli untuk membayar semua bayaran-bayaran yang tertunggak yang perlu dibayar menurut perjanjian yang telah ditandatangani sebelum hakmilik strata dipindah milik oleh pemaju kepada pembeli.
Berdasarkan kepada situasi semasa, masalah hakmilik strata tidak dapat dipindahkan daripada pemaju kepada pembeli terjadi kerana beberapa faktor:-
i) Pemaju enggan memindah hakmilik strata kepada pembeli kerana pembeli masih mempunyai bayaran tertunggak kepada pemaju sama ada bayaran penyelenggaraan bulanan, cukai tanah, sinking fund dan lain-lain bayaran yang ditentukan dalam perjanjian jual beli.
ii) Pembeli enggan melaksanakan tanggungjawab mendapatkan hakmilik strata kerana enggan membayar yuran guaman, duti setem, cukai tanah dan lain-lain bayaran yang perlu sebelum pindah milik disempurnakan.
Urusan pindah hakmilik daripada pemaju kepada pembeli petak dalam bangunan berbilang tingkat dikawal oleh terma-terma perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli. Kerajaan negeri tidak berhak untuk campur tangan dalam urusan melibatkan terma-terma perjanjian antara dua pihak tersebut. Pihak yang tidak berpuashati atas apa-apa pelanggaran terma dalam perjanjian jual beli boleh merujuk kes tersebut kepada mahkamah atau Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.
Bagaimanapun, kerajaan negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang sentiasa memberi nasihat serta pandangan kepada pemaju dan pembeli kediaman berbilang tingkat yang mengadu mengenai perkara-perkara yang melibatkan hakmilik strata dan perbadanan pengurusan.