MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Nyatakan peluang ekonomi atau perniagaan yang lebih terjamin atau berdaya maju yang telah disediakan atau yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menaikkan taraf ekonomi golongan bumiputra di negeri ini supaya jurang ekonomi tidak begitu jauh dengan bukan bumiputra serta mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30% pemilikan ekuiti bumiputra di dalam negeri ini selaras dengan pembangunan RMKe-9.
Dun -
Exco TKM
Perkara Ekonomi

Jawapan
Kerajaan Negeri memang mengambil berat dan berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi dan meningkatkan pemilikan ekuiti golongan bumiputera di Negeri Pulau Pinang supaya lebih seimbang selaras dengan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9. Kerajaan Negeri melalui agensi seperti PDC, PERDA, BPPB dan MARA telah melaksanakan pelbagai program utama seperti pembangunan kawasan perumahan dan bandar, pembangunan kawasan perindustrian dan program-program keusahawanan yang mewujudkan peluang-peluang perniagaan untuk membantu meningkatkan ekonomi bumiputera di negeri Pulau Pinang seperti berikut :

(i) Penyediaan premis komersil melalui pembangunan kawasan-kawasan perumahan dan pembangunan Bandar. Sejak tahun 1999 hingga April 2006, PDC telah membangunkan sejumlah 798 unit-unit komersil di mana sejumlah 232 unit (29%) telahpun diperuntukkan secara jualan dan sewaan kepada bumiputera. Penyertaan bumiputera di dalam ruang niaga Podium KOMTAR di dalam Daerah Timur Laut juga telah mencapai 34% daripada jumlah keluasan ruang perniagaan yang dibina;

(ii) Penggalakan bumiputera di dalam bidang perindustrian melalui pembangunan 262 unit kilang IKS di kawasan Taman Perindustrian Bayan Lepas, Sungai Pinang, Bukit Tengah dan Bukit Minyak. PDC telah menyediakan peruntukan khas sebanyak 121 unit atau 50% kepada bumiputera. Sejak tahun 1999 hingga April 2006 sejumlah 70 unit (57.9%) telah dibeli dan disewakan kepada usahawan bumiputera. PDC turut melaksanakan skim penyewaan dan skim sewabeli serta memberi diskaun antara 12% hingga 47% kadar sewa di Bukit Minyak dan Bukit Tengah bagi menggalakkan bumiputera memiliki unit-unit kilang IKS PDC;

(iii) Pewujudan peluang-peluang perniagaan menerusi peruntukan kerja-kerja kontrak infrastruktur, pembinaan bangunan, insuran dan perkhidmatan pembekalan kepada syarikat bumiputera. Sejak tahun 1990 hingga April 2006, PDC telah memperuntukan kontrak kerja bernilai RM1 billion dimana sebanyak RM871.9 juta (82%) telahpun diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera;


(iv) Pewujudan peluang-peluang perniagaan melalui program pembangunan tanah dan pembangunan infrastruktur untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera. Antara program yang dilaksanakan seperti projek perumahan dan komersil di Bukit Jambul, Sungai Nibong dan Bayan Baru seluas 23.9 ekar, pajakan tapak stesen minyak di Prai, Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas & Bandar Seberang Jaya, projek pengusaha gerai makan di Prai, program pembangunan automart di Bandar Seberang Jaya dan pembangunan kompleks gerai makan di Bukit Tengah;

(v) Pelaksanaan program-program pembudayaan dan latihan keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran usahawanan bumiputera serta membantu mereka untuk memaju dan mengembangkan perniagaan. Sejak tahun 1999 hingga April 2006, seramai 4,859 usahawan bumiputera telah mengikuti program yang dianjurkan oleh PDC. Antara program yang telah dijalankan seperti Latihan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga kecil, Bengkel Dana Usahawan Kecil dan IKS, Bengkel Peluang-peluang perniagaan perniagaan di Pasaraya TESCO dan GIANT, Bengkel Teknologi Industri Makanan dan Program Pembungkusan Produk. PDC juga terlibat di dalam usaha memupuk budaya keusahawanan dikalangan pelajar sekolah melalui Program Usahawan Muda yang melibatkan seramai 3,800 orang pelajar sejak tahun 1998;

(vi) Bekerjasama dengan SMIDEC, SIRIM, MARA, PERDA dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang lain untuk membantu mempromosi produk usahawan melalui program bersama seperti penganjuran Ekspo Usahawan Bumiputera, Showcase Satu Daerah Satu Industri, Showcase SMIDEC, Pesta Medan, penyertaan dalam pameran perdagangan, serta memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam mendapat bantuan yang disediakan di bawah skim-skim tertentu. Bagi menyokong pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program-program pembangunan sedia ada disamping turut melaksanakan program-program baru ke arah meningkatkan lagi tahap ekonomi masyarakat bumiputera seperti program e-biz untuk membangunkan usahawan dibidang ICT dan penyediaan kemudahan infrastruktur untuk membangunkan usahawan dalam bidang peruncitan, makanan francais dan kraftangan. Selain daripada itu PDC juga telah menyediakan tabung venture capital sebanyak RM1 juta untuk membantu usahawan bumiputera yang berpotensi khususnya dalam industri kecil dan sederhana. Kerajaan Negeri berhasrat dan berharap bahawa usaha-usaha ini akan membantu meningkatkan tahap ekonomi golongan bumiputera di Negeri Pulau Pinang.

Untuk meningkatkan taraf ekonomi dan meningkatkan pemilikan ekuiti golongan bumiputera di Negeri Pulau Pinang supaya lebih seimbang selaras dengan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9, Kerajaan Negeri melalui PERDA juga telah melaksanakan pelbagai program utama seperti berikut :

1. Bagi tujuan pembangunan usahawan, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan meliputi kursus/bengkel/seminar kepada usahawan dan bakal usahawan, program promosi produk melalui penyertaan usahawan dalam ekspo. Pada tahun 2005, PERDA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Penyertaan dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menganjurkan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang dan sebanyak 177 usahawan/syarikat menyertai Ekspo Pertanian Seberang Jaya, Ekspo Pekan Raya Medan dan Ekspo Hari Peladang Penternak & Nelayan Kebangsaan.

2. Kemudahan Premis Perniagaan PERDA turut menyediakan kilang IKS, lot-lot IKS, gerai-gerai dan kedai yang terdapat di semua daerah di Pulau Pinang bagi membantu meningkatkan pengeluaran dan pendapatan usahawan Bumiputera.


PROJEK BIL.UNIT UNIT KOSONG
Lot IKS 113 33
Kilang IKS 38 2
Gerai 186 29
Kedai 97 16


3. Pertanian. Penyewaan tanah-tanah PERDA yang belum dimajukan kepada usahawan tani. Sehingga kini terdapat seramai 18 pemajak yang telah mengusahakan berbagai tanaman/ternakan di tanah PERDA dengan keluasan 2,191.92 ekar.

4. Bantuan Ekonomi Kepada Golongan Miskin. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk bantuan peralatan asas dan mesin kepada usahawan yang berpotensi dalam perniagaan. Pada tahun 2005,seramai 175 peserta telah menerima bantuan ekonomi. Selain itu, kursus/seminar/bengkel turut dianjurkan oleh PERDA kepada peserta dan anak-anak golongan miskin dan seramai 647 peserta telah terlibat pada tahun 2005.

Kerajaan Negeri juga akan memastikan usahawan dan kontraktor bumiputera mendapat pengagihan yang setimpal dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia KeSembilan (RMKe-9) selaras dengan Misi Nasional 2006 – 2020 untuk mencapai kemajuan yang dapat dinikmati semua, secara saksama tanpa mengira agama atau kaum. Usahawan dan kontraktor bumiputera akan dilibatkan dalam pelaksanaan semua projek Negeri Pulau Pinang yang mendapat peruntukan sebanyak RM6.6 billion di bawah RMKe-9. Disamping itu Kerajaan Negeri juga akan memastikan penglibatan usahawan dan kontraktor bumiputera dalam pelaksanaan projek-projek mega seperti Projek Jambatan Pulau Pinang Kedua, Monorail, Penang Outer Ring Road (PORR) dan Kereta Kabel.

ARA OK - 15/5/06




Kembali