MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah kerajaan negeri mempunyai sebarang tindakan atau rancangan untuk mencegah kadar jenayah yang sedang meningkat dan berleluasa di Bandar Bukit Mertajam. Jika ada, apakah tindakannya dan jika tidak, mengapa.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Keselamatan Negara

Jawapan

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA
DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
YANG KESEBELAS
22 MEI 2006
PERKARA : 5(A)(8)
SOALAN LISAN OLEH AHLI KAWASAN PADANG LALANG Y.B. ENCIK TAN TEIK CHENG
8. Adakah kerajaan negeri mempunyai sebarang tindakan atau rancangan untuk mencegah kadar jenayah yang sedang meningkat dan berleluasa di Bandar Bukit Mertajam. Jika ada, apakah tindakannya dan jika tidak, mengapa.

JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
8. Kerajaan negeri sememangnya memberi perhatian untuk mewujudkan ketenteraman awam, bukan sahaja di Bandar Bukit Mertajam, bahkan di seluruh pelusuk negeri. Rakyat di negeri ini diseru supaya menjauhi dan memerangi jenayah bersama-sama. Pemimpin dan wakil masyarakat perlu memainkan peranan dan berganding bahu bersama anggota masyarakat yang lain dan agensi-agensi penguatkuasa untuk mewujudkan keamanan dan ketenteraman bersama supaya negeri ini lebih selamat untuk didiami.

PDRM telah mengambil inisiatif seperti;
(a) Mengadakan rondaan bit menggunakan motosikal pada waktu siang dan malam hari oleh anggota Polis di kawasan tanggung jawab peringkat zon dan balai.

(b) Membuat rondaan dengan menggunakan kereta peronda (MPV) di kawasan peringkat zon dan balai yang ditetapkan oleh Gerakan IPD SPT.

(c) Membuat rondaan pencegahan jenayah oleh pegawai dan anggota (CPJ) di tempat–tempat yang sering berlaku kejadian jenayah.

(d) Membuat rondaan pencegahan jenayah oleh anggota (CID) dengan berpakaian preman berpandukan maklumat jenayah bagi menangkap penjenayah di samping mendapatkan maklumat tentang kejadian jenayah terkini.

(e) Mengadakan ceramah serta dialog dengan penduduk tempatan bagi memberi kesedaran supaya lebih peka tentang kejadian jenayah dan bersama memainkan peranan serta tanggungjawab untuk mencegah berlakunya jenayah.

(f) Menerangkan kepada masyarakat bagaimana sistem/projek Rakan COP boleh digunakan bersama untuk mencegah jenayah.

(g) Mengadakan sekatan jalan raya dari semasa ke semasa untuk mengesan dan menangkap penjenayah disamping membanteras kejadian jenayah.

(h) Membuat pemerhatian dan serbuan di kawasan yang disyaki tempat persembunyian penjenayah dan di tempat-tempat yang berlaku jenayah.

(i) Menuduh orang yang disyaki di mahkamah. Sekiranya suspek dibicarakan, memohon jaminan yang maksima dan jika telah mengaku salah memohon hukuman yang maksima mengikut undang-undang yang telah diperuntukan. Tujuan adalah untuk memberi kesedaran dan pengajaran agar tidak mengulangi perbuatannya melakukan jenayah dan mengancam ketenteraman awam.

(j) Mengadakan rondaan dan penempatan anggota Sukarelawan Polis (PVR), di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai di mana kejadian-kejadian jenayah sering berlaku.

(k) Selain itu, memohon bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dari semasa ke semasa apabila diperlukan terutama pada musim perayaan.

(l) Mengambil tindakan pencegahan mengikut undang-undang yang diperuntukan seperti :
(i) Akta Pencegahan Jenayah
(ii) Akta Darurat 5/69
(iii) Akta Kediaman Terhad ( CAP 39 ).









Kembali