MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Berapakah jumlah unggas yang telah dimusnahkan kerana disyaki mengidap H5N1. Di manakah mereka bertapak. Apakah bayaran gantirugi kepada penternak. Adakah manusia juga mengidap jangkitan H5N1 di negeri ini. (b) Apakah langkah-langkah diambil oleh kerajaan negeri untuk mencegah merebaknya penyakit ini.
Dun -
Exco AI
Perkara Kesihatan

Jawapan
9. (a) Jangkitan wabak selsema burung mula di kesan di Negeri Pulau Pinang pada 20 Mac 2006 yang melibatkan kawasan Kampung Permatang Bogak, Kampung Permatang Sintok dan Kampung Permatang Tok Loba, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang telah menjalankan kerja-kerja pelupusan mengikut Garis Garis Panduan Pengendalian Wabak Selesema Burung. Sebanyak 2,052 unggas yang disyaki terdedah kepada jangkitan virus H5N1, terdiri dari ayam kampung, itik, angsa, ayam piru, dan berbagai jenis burung, serta 1,016 biji telur di mana kesemua unggas dan telur tersebut telah dimusnahkan. Bayaran pampasan telah dibuat kepada 92 orang tuan punya unggas dan telur berjumlah RM22,692.20 pada 7 April 2006. Punca penyakit ini ialah daripada unggas yang menghidapi penyakit ini dan merebak kepada manusia. Walau bagaimanapun, tiada manusia yang menghidapi H5N1 di Negeri Pulau Pinang atau mana-mana tempat di Malaysia.

(b) Langkah-langkah pelupusan mengikut Garis Panduan Pengendalian Wabak Selesema Burung Negeri Pulau Pinang telah dijalankan dengan segera iaitu mulai pada 20 Mac 2006. Semua ternakan di dalam Kawasan Indeks iaitu kawasan 1km radius (termasuk Kg Permatang Bogak, Kg Permatang Sintok dan Kg Permatang Tok Loba) telah dilupuskan. Kawasan 9km radius di sekeliling Kawasan Indeks tersebut telah dikategorikan sebagai Kawasan Survelan, di mana pergerakan ternakan telah dibekukan dengan serta merta. Operasi pelupusan telah ditamatkan pada 25 Mac 2006. Operasi pemantauan di Kawasan Survelan pula telah dijalankan sejak 25 Mac 2006 sehingga 28 Mac 2006. Sebanyak 151 kampung telah dilawati dan diperiksa, dan sebanyak 1,433 sampel calitan telah dikumpulkan untuk pengesan kehadiran virus H5N1. Kesemua sampel yang diuji telah menunjukkan keputusan yang negatif. Pemantauan dan pengambilan sampel untuk pusingan kedua di Kawasan Survelan telah dijalankan pada 20 - 23 April 2006 melibatkan kesemua kampung-kampung tersebut. Kesemua sampel-sampel juga telah didapati negatif. Selain dari pemantauan di Kawasan Survelan dan operasi pelupusan di Kawasan Indeks, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang terus berusaha untuk mempastikan virus selesema burung tidak merebak ke kawasan lain dengan menjalankan langkah-langkah kawalan dan pemantauan, antaranya ialah:

i. Membuat pemantauan dan pengambilan sampel-sampel di ladang-ladang ternakan ayam itik, premis-premis penyembelihan ayam itik, kedai burung peliharaan, kawasan kampung, dan kawasan di sekitar santuari burung hijrah. Pemeriksaan dan kawalan kemasukan bahan-bahan terlarang juga dibuat di pintu-pintu masuk antarabangsa seperti Lapangan Terbang Pulau Pinang, Pelabuhan Kontena Butterworth dan Pelabuhan Port Swettenham.

ii. Membuka Bilik Gerakan untuk menerima aduan orang ramai mengenai kematian unggas yang luar biasa, seterusnya memeriksa dan membuat tindakan susulan.

iii. Mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman penyakit ini melalui ceramah, poster dan edaran ‘liflet’.

iv. Melarang kemasukan ayam itik atau unggas lain dari kawasan berwabak di negeri lain.


Di samping itu, Jabatan Kesihatan Negeri juga mengambil langkah yang proaktif dengan sentiasa memberi ceramah/taklimat dan pendidikan kesihatan kepada semua rakyat di negeri ini mengenai kaedah untuk mengelak daripada dijangkiti wabak selsema burung. Di antara tindakan kesihatan yang perlu diambil meliputi cara persediaan makanan dan juga kesihatan diri untuk mengelak daripada selsema burung secara amnya. Jabatan Kesihatan Negeri juga bekerjasama dengan badan-badan kerajaan lain dan juga persatuan-persatuan seperti Persatuan Perubatan Malaysia dan kilang-kilang untuk memastikan maklumat ini disebarkan kepada semua. Risalah dan poster telah pun diedarkan kepada masyarakat mengenai wabak ini.

Kembali