MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah kerajaan negeri untuk mencegah kebakaran dan tindakan selepas berlaku kebakaran pada pangsapuri dan flat. Sekiranya perbadanan pengurusan tidak mematuhi garis panduan seperti tidak memasang loceng pengesan kebakaran yang diwajibkan, apakah tindakan yang akan diambil. Nyatakan dengan terperinci jumlah kes kebakaran yang telah berlaku di Negeri Pulau Pinang mengikut daerah dan kos kerugian.
Dun -
Exco THN
Perkara Keselamatan Negara

Jawapan
Bangunan pangsapuri dan flat yang dibina adalah mengikut syarat untuk menghalang kebakaran di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam dan juga syarat-syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat. Loceng pengesan kebakaran hanya diwajibkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi bangunan yang digunakan selain dari bangunan kediaman.

Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Penduduk seperti mengadakan pemeriksaan bersama ke atas sistem pemasangan perlindungan kebakaran (fixed installation system), latihan penyelamatan dan ceramah keselamatan kebakaran. Sistem pemasangan perlindungan kebakaran di bangunan kediaman seperti pangsapuri dan flat terdiri daripada hose reel, wet riser atau dry riser bergantung mengikut ketinggian bangunan itu. Jika berlaku ketidaksempurnaan penyelenggaraan ke atas sistem pemasangan perlindungan kebakaran, tindakan akan diambil dengan menghantar makluman bertulis dan diikuti dengan Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran di bawah Akta 341.

Perangkaan kebakaran yang melibatkan bangunan kediaman bagi tahun 2004 adalah 96 kes dan meningkat kepada 113 kes pada tahun 2005. Jumlah kerugian yang dialami dalam tahun 2004 berjumlah RM10.6 juta berbanding jumlah kerugian tahun 2005 iaitu RM6.7 juta, manakala jumlah nilai harta yang diselamatkan ialah RM28.6 juta pada tahun 2004 dan RM26.9 juta pada tahun 2005. Pecahan jumlah kejadian, kerugian dan jumlah yang berjaya diselamatkan pada tahun 2004 dan 2005 adalah seperti di Lampiran.





Kembali