MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah kerajaan negeri mempunyai sebarang rancangan bagi merangsang perkembangan ekonomi di Bandar Bukit Mertajam. Jika ada, apakah rancangan tersebut dan bilakah ianya akan dilaksanakan dan jika tidak, mengapa.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Ekonomi

Jawapan
1. Pembangunan ekonomi di Bukit Mertajam pada masa hadapan hendaklah dilihat dalam konteks pembangunan wilayah yang lebih besar yang mengandungi kawasan-kawasan sekelilingnya serta dari prospek pembangunan ekonomi bagi Negeri Pulau Pinang dan wilayah utara.

2. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, konsep koridor pembangunan (development corridor) telah dikemukakan sebagai satu strategi untuk menjanakan pembangunan ekonomi dan sosial yang meliputi beberapa negeri dan kawasan yang berjiranan. Ianya bertujuan untuk mendapatkan kesan sinergistik dan limpahan yang berdasarkan klaster-klaster ekonomi, kelebihan-kelebihan daya saing yang sedia ada atau potensi-potensi yang baru secara lebih bersepadu lagi untuk semua rakyat dalam koridor yang berkenaan.

3. Di bawah konsep ini, Koridor Utara Semenanjung Malaysia dikenalpasti sebagai satu koridor utama yang meliputi Negeri Perlis, Kedah, Perak Utara dan Negeri Pulau Pinang, khususnya Seberang Perai.

4. Di samping itu, di bawah Rancangan Fizikal Negara dan Deraf Rancangan Struktur Negeri, dua (2) kawasan metropolitan telah dikenalpasti, iaitu, Metropolitan George Town dan Metropolitan Butterworth. Metropolitan George Town meliputi George Town sehingga Tanjung Bunga, Paya Terubong, Bayan Baru dan Bayan Lepas dan Metropolitan Butterworth merangkumi Perai, Seberang Jaya, Bukit Mertajam. Kedua-dua metropolitan ini dianggap sebagai kawasan metroplitan yang berkembar dan dianggap sebagai pusat pertumbuhan wilayah bagi Koridor Utara yang meliputi empat (4) buah negeri.

5. Pembangunan dalam setiap koridor utama akan diterajui oleh sebuah agensi pelaksana yang utama atau ¡°lead agency¡± dengan bantuan dari badan-badan berkanun yang tertentu dan penyertaan dari sektor swasta secara aktif. Untuk Koridor Utara, ¡°lead agency¡± ialah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), khususnya Sime Darby Berhad, dibantu oleh Kumpulan Guthrie Berhad dan Golden Hope Plantations Berhad. Badan-badan berkanun yang terlibat termasuk PERDA, KEDA dan LADA (Langkawi) serta badan-badan kemajuan empat (4) buah negeri yang berkenaan, termasuk Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

6. Pembangunan klaster-klaster ekonomi yang sebenarnya telah wujud dalam Koridor Utara ini akan diselaras, diperangsangkan dan dipertingkatkan secara pro-aktif dan efektif. Di antara, klaster-klaster utama termasuklah:-

(a) Klaster elektronik, ICT dan bidang-bidang ekonomi yang berkaitan dengannya, termasuk pembangunan kawasan-kawasan Koridoraya Multimedia (MSC) bermula dengan MSC Penang Cybercity di Bayan Lepas/Bayan Baru, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

(b) Klaster pertanian dan industri asastani, yang akan disokong oleh kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R & D) dari agro bio-teknologi dan marin bio-teknologi, termasuk pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Halal Hub.

(c) Klaster pelancongan yang merangkumi eco-pelancongan, agro-pelancongan, pelancongan budaya (cultural tourism), mesyuarat dan pameran (MICE) serta pelancongan yang berkaitan dengan perkhidmatan perubatan dan pendidikan.

7. Di dalam Koridor Utara ini, Negeri Pulau Pinang amnya, dan Seberang Perai khasnya, akan dapat memainkan peranan yang amat penting dan menikmati pelbagai bentuk faedah kerana lokasinya yang berpusat (central location) dalam koridor ini dan kerana wujudnya beberapa kemudahan prasarana yang sedia ada seperti berikut:-

(a) Kemudahan pelabuhan kargo di Butterworth dan Perai, khasnya Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) serta pelabuhan kapal layar penumpang di George Town.

(b) Kawasan metropolitan Seberang Perai yang berada di persimpangan antara Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Timur-Barat (di mana sebahagiannya ialah Lebuhraya Butterworth-Kulim) yang disambung dan dilengkapi dengan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang akan siap dibina tidak lama lagi, sebagai rangkaian lebuhraya yang bersepadu.

(c) Perhubungan pengangkutan ke George Town dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di bahagian Pulau melalui Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada, perkhidmatan feri dan Jambatan Kedua yang akan dibina di bawah RMK-9. Tiga (3) laluan perhubungan ini akan membawa kesan limpahan yang positif di antara Pulau dan Seberang Perai.

8. Sebenarnya, sejak tahun 90an, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan dan melaksanakan konsep pembangunan seimbang dan lestari dengan memberi penekanan kepada pembangunan di Seberang Perai. Pembangunan taman-taman perindustrian dan Bandar Seberang Jaya sebagai kawasan pertumbuhan di Seberang Perai Tengah dilaksana pada tahun 70an. Pembangunan selanjutnya telah beralih dan diagih ke arah Seberang Perai Selatan melalui pembangunan kawasan-kawasan perindustrian dan perumahan, termasuk bandar satelitte yang baru di Batu Kawan oleh PDC dan kawasan-kawasan pembangunan yang lain yang dimajukan oleh sektor swasta.




9. Pembangunan juga digerakkan ke arah Seberang Perai Utara dengan wujudnya pusat pentadbiran dan pertumbuhan di Bertam, Kepala Batas. Kerajaan Negeri juga menyokong pembangunan oleh Bertam Properties dan syarikat-syarikat swasta yang lain. Di samping itu, agensi-agensi seperti PERDA dan MARA telah giat bergerak dalam melaksanakan banyak projek untuk menyokong dan menjana pembangunan sosio-ekonomi. Di antara rancangan-rancangan yang akan dibangunkan ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pulau Pinang, iaitu di kawasan Juru, Seberang Perai Tengah, Penaga dan Tok Alang, Seberang Perai Utara.

10. Dalam konteks pembanguan seimbang ini, semua daerah, mahupun kawasan bandar, pekan dan kampong diberi perhatian, peranan dan peluang seberapa yang boleh. Walau bagaimanapun, mungkin perlu diadakan sedikit sebanyak pengubahsuaian dari peranan atau fungsi tradisi yang sedia ada.

11. Bandar Bukit Mertajam juga akan terus berkembang kerana ianya sendiri sudah menjadi satu pusat bisnes yang aktif untuk menampung keperluan-keperluan dari kawasan-kawasan sekelilingnya, termasuk kawasan Kulim di sebelahan sempadan Kedah. Sudah pastilah bahawa limpahan daripada pembangunan di kawasan-kawasan sekelilingnya akan membawa banyak faedah kepada Bukit Mertajam.


Kembali