MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah usaha-usaha yang dijalankan oleh bahagian pelancongan negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini untuk bersaing dengan tempat-tempat pelancongan yang sudah ke depan seperti Pulau Phuket dan Bali khususnya di dalam memasuki era RMKe-9.
Dun -
Exco TCY
Perkara Pelancongan

Jawapan
Di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan(RMKe-9), sejumlah RM103 juta telah diperuntukkan kepada sektor pelancongan di negeri ini oleh Kementerian Pelancongan. Peruntukan tersebut ialah bagi meningkatkan kemudahan-kemudahan serta infrastruktur produk-produk pelancongan dalam negeri ini supaya daya tarikan produk-produk ini dapat ditingkatkan. Dua projek utama yang akan dilaksanakan ialah menaiktaraf sistem keretapi Bukit Bendera dan pembesaran Taman Botani (Kebun Bunga) Pulau Pinang akan dapat menukar imej produk pelancongan dalam negeri ini.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan beberapa jabatan teknikal sedang mempertimbangkan garis panduan perancangan yang dapat memberangsangkan pelaburan oleh pihak swasta dalam produk pelancongan. Setakat ini, Jawatankuasa Pembangunan Produk di bawah MMK Pelancongan telah membantu dalam isu perancangan bagi memudahkan projek-projek pelancongan dilaksanakan dengan licin. Setakat ini terdapat 3 projek pelancongan swasta yang bernilai hampir RM400 juta telah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi kelulusan.

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri telah juga memantapkan promosi pelancongan perubatan dan program 'Malaysia, My Second Home'. Pelancongan pendidikan masih berada pada tahap permulaan dan memerlukan sedikit masa lagi untuk dimantapkan. Kerjasama yang terjalin dengan industri pelancongan tempatan merupakan faktor utama kejayaan. Justeru itu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri mengadakan perbincangan dengan industri pelancongan tempatan bagi mengenalpasti peranan masing-masing agar usaha kerajaan dan swasta lebih berfokus. Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dijangka akan mengambil peranan utama dalam pengurusan destinasi iaitu peningkatan kemudahan dan sebagainya, manakala industri pelancongan tempatan mengambil peranan utama dalam pengurusan pemasaran. Buat masa ini, kedua-dua peranan ini dipikul oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri. Adalah diharapkan pendekatan ini akan dapat memasarkan Pulau Pinang dengan lebih efektif dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.



Kembali