Jawapan
Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk membuat penilaian samada perkembangan ekonomi Negeri Pulau Pinang terjejas akibat daripada kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Bagaimanapun bahawa keyakinan pengguna dan peniaga agak terjejas kerana kedua-dua pihak merasai tekanan daripada peningkatan kos minyak serta kos barangan yang lain yang turut naik akibat daripada kenaikan harga minyak ini. Kenaikan harga minyak mentah dunia serta kenaikan harga petrol sebanyak RM0.30 seliter tersebut telah membawa kepada peningkatan harga pengguna dan seterusnya peningkatan kadar inflasi. Kadar inflasi telah meningkat dari 3.2 peratus pada bulan Februari kepada 4.8 peratus pada bulan Mac. Peningkatan ini merupakan peningkatan yang paling tinggi sejak 7 tahun dahulu.
Peningkatan harga minyak ini jelasnya telah menyebabkan rakyat di seluruh negeri dan negara terutamanya pengguna kereta dan motosikal terpaksa membuat perbelanjaan yang lebih tinggi terhadap penggunaan minyak. Kos gas memasak juga telah meningkat dan menyebabkan peningkatan perbelanjaan isi rumah keluarga serta peningkatan kos makanan disesetengah tempat makan. Pihak pengguna juga telah mendapati bahawa harga barangan runcit bagi kegunaan harian telah meningkat. Kesemua ini telah meningkatkan tanggungan perbelanjaan isi rumah keluarga dan golongan yang paling dipengaruhi adalah golongan yang berpendapatan sederhana atau rendah.
Harga minyak mentah dunia yang telah mencecah lebih daripada USD70 setong pada akhir bulan April 2006 membawa banyak kebimbangan bahawa kos bagi bahan yang diimport akan meningkat. Harga bagi sesetengah barangan terutamanya barangan yang berasaskan petroleum akan meningkat. Peningkatan kos juga telah menyebabkan peningkatan kadar inflasi dan ini mungkin akan membawa kepada tekanan terhadap pendapatan bersih pekerja.
Dengan peningkatan kos bahan mentah, kos pengangkutan dan kos elektrik, ini bermakna pengeluar perlu menanggung beban kos pengeluaran dan operasi yang lebih tinggi. Hal ini berkemungkinan besar akan membawa kepada pindahan beban kos daripada pengeluar kepada pengguna, di mana kos tersebut di salurkan kepada pengguna terakhir dan pihak yang mungkin paling terjejas adalah mereka yang berpendapatan rendah. Eksport bagi barangan buatan negara juga mungkin akan terjejas akibat kenaikan harga ini.
Dengan permintaan bagi bekalan minyak yang makin lama makin melebihi pengeluaran minyak serta ketegangan politik di antara Amerika Syarikat dengan Iran yang masih belum mencapai kata damai, harga minyak mentah dijangka akan mencecah melebihi USD80 tidak lama lagi. Keadaan ketidakstabilan harga minyak serta kadar inflasi terus meningkat ini akan mempengaruhi prestasi perkembangan industri-industri terutamanya industri tempatan, melemahkan kuasa beli serta kualiti hidup rakyat dan seterusnya membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Akan tetapi, kerajaan telah menjamin bahawa tidak ada lagi kenaikan harga minyak bagi pengguna pada tahun ini. Pihak kerajaan telah menyatakan bahawa kenaikan harga minyak ini tidak akan membawa impak yang besar terhadap harga barangan konsumer kerana kesan kenaikan harga minyak ini kepada harga barangan adalah dikatakan minimum. Mengikut Laporan Perdagangan dan Pengguna 2005 yang diterbitkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini, daripada satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak kementerian telah mendapati bahawa suatu kenaikan 20 peratus harga minyak di anggarkan hanya menyebabkan peningkatan purata sebanyak 0.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan bagi 36 industri pemakanan. Maka mana-mana peningkatan harga barangan yang melebihi 1 peratus adalah dianggap berlebihan dan hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan.
Peningkatan harga minyak ini juga diharapkan membawa kesedaran kepada rakyat terhadap beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan selama ini dan perlunya perubahan cara atau gaya hidup supaya tidak terlalu bergantung kepada petrol. Peningkatan harga minyak ini juga akan membantu mengurangkan penggunaan yang berlebihan dan pembaziran.