MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sila nyatakan keputusan siasatan terhadap kematian seorang penduduk akibat satu letupan di Prangin Mall pada 15 Januari 2006.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Keselamatan Negara

Jawapan
5. Mengikut maklumat dari pihak Polis, pada 15/01/06, pada jam sekitar 8.45 malam, pihak polis telah dimaklumkan berlaku letupan mercun di hadapan Cosmic Food, Prangin Mall, Jln Lim Chwee Leong, Pulau Pinang. Anggota polis telah diarahkan ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan. Pihak polis telah dimaklumkan ada seorang lelaki Cina telah meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal telah dijalankan dan didapati si mati telah dijumpai terbaring di atas Jalan Lim Chwee Leong dengan kesan luka pada bahagian leher kanannya. Seorang lagi mangsa yang masih hidup telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Mangsa telah mengalami kecederaan pada leher. Pihak Unit Forensik dan Unit Bom juga telah dipanggil ke tempat kejadian untuk membantu siasatan. Beberapa barang bukti telah ditemui di sekitar kawasan tempat kejadian. Barang-barang bukti tersebut telah diambil untuk tujuan analisa lebih lanjut. Siasatan awal mendapati bahawa letupan yang berlaku adalah daripada bom buatan sendiri yang diletakkan berhampiran LV Junction Box (Low Voltage). Akibat daripada letupan tersebut, si mati meninggal dunia dan mangsa yang seorang lagi mengalami kecederaan.



Hasil dari siasatan Polis, adalah dipercayai suspek telah membuat bom buatan sendiri yang mengakibatkan letupan tersebut. Beberapa bahan untuk dijadikan bom buatan sendiri telah ditemui di tempat kejadian seperti serpihan besi, paku, kelongsong peluru dan slug peluru. Barang-barang tersebut telah diambil untuk tujuan analisa. Dalam kejadian tersebut, suspek telah menggunakan detonation mode jenis Pyro-technique delay fuse. Pihak Unit Bom masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

Post mortem telah dijalankan dan didapati punca kematian si mati adalah Hypovolaemic Shuck due to Penetrating Injury Right Side of Neck. Barang yang dijumpai di dalam badan simati adalah suatu objek yang dibuat dari besi berukuran 3.3 cm. Barang kes tersebut diambil untuk tujuan analisa. Terdapat juga sesuatu objek berada didalam leher mangsa yang sedang dirawat di HBPP.

Laporan dari Jabatan Kimia telah diperolehi dan hasil analisa mengesahkan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bom tersebut adalah berasal dari komponen-komponen seperti sulphur, carbon, potassium nitrate dan nitrite yang boleh menyebabkan letupan.

Sehingga kini, sebanyak 8 percakapan telah dirakam daripada saksi-saksi bebas dan mangsa, tetapi tiada seorang pun dari saksi-saksi tersebut yang melihat kejadian tersebut. Kesemuanya hanya menyedarinya apabila terdengar bunyi letupan yang kuat. Tiada tangkapan dibuat sehingga kini dan siasatan lanjut masih diteruskan.








Kembali