Jawapan
Kerajaan negeri telah mengkaji secara teliti kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sistem perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang sebelum menyusun semula perkhidmatan tersebut pada 1 April 2006. Di antara kelemahan yang wujud sebelum 1 April 2006 adalah:
(i) Persaingan yang tidak bermanfaat di antara beberapa syarikat bas di laluan-laluan utama yang menyebabkan perkhidmatan tertumpu pada waktu puncak dan di laluan-laluan utama sahaja. Keadaan ini telah menyebabkan pendapatan pengusaha bas berkurangan dan mereka tidak berupaya menyediakan perkhidmatan yang memuaskan;
(ii) Persaingan yang tidak saksama di antara bas berhenti-henti dan bas mini telah menyebabkan syarikat bas berhenti-henti mengalami kerugian dan tidak dapat memberi perkhidmatan seperti yang disyaratkan;
(iii) Sistem pajakan bas oleh pengusaha kepada pemandu berleluasa. Pengusaha dan pemandu mengaut keuntungan tanpa menghiraukan perkhidmatan kepada pengguna bas;
(iv) Penguatkuasaan hanya mempunyai kesan sementara dan dikhuatiri penguatkuasaan yang ketat akan menjejaskan lagi perkhidmatan kepada pengguna;
(v) Perancangan laluan bergantung kepada permohonan daripada pengusaha bas yang menyebabkan laluan-laluan sosial yang memerlukan perkhidmatan bas tidak diliputi; dan
(vi) Kekurangan kordinasi di antara jabatan-jabatan yang meluluskan permit, menguatkuasa, merancang dan menyediakan kemudahan perkhidmatan bas awam.
Pada peringkat permulaan, berikutan dengan penyusunan semula perkhidmatan bas awam, kelemahan-kelemahan yang wujud adalah:
(i) Kekurangan bas berhenti-henti untuk menyediakan perkhidmatan mengikut kekerapan yang telah ditetapkan;
(ii) Tingkah laku pemandu bas yang ingin kembali ke cara pajakan yang memberi pulangan yang lebih lumayan; dan
(iii) Keperluan sesetengah pengguna bas menukar dari bas berhenti-henti ke bas mini.
Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang sedang berusaha untuk menangani masalah yang wujud dengan mengambil tindakan-tindakan berikut :-
(i) Mensyaratkan pengusaha bas menyediakan bas-bas tambahan. Pengusaha bas sedang mendapatkan bas-bas tambahan secara berperingkat yang dijangka dapat memenuhi keperluan dalam tempoh terdekat ini;
(ii) Memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membeli bas-bas baru. Kerajaan Pusat telah mengesahkan bahawa Kerajaan negeri akan disediakan dengan sejumlah peruntukan tertentu untuk pembelian bas-bas baru. Urusan membeli bas-bas baru akan dibuat sebaik sahaja peruntukan diperolehi daripada Kerajaan Pusat;
(iii) Pasukan penguatkuasa khas yang terdiri daripada pegawai penguatkuasa JPJ, LPKP, Polis dan MPPP telah ditubuhkan untuk menasihat dan mengambil tindakan ke atas pemandu dan pengusaha yang tidak mengikut peraturan;
(iv) Setiap bas dikehendaki melalui pemeriksaan Puspakom;
(v) Perkhidmatan bas berhenti-henti akan diperluaskan mengikut keperluan dan perkhidmatan bas mini akan diberhentikan di kawasan-kawasan di mana permintaannya adalah rendah;
(vi) Konduktor dimestikan untuk semua bas berhenti-henti;
(vii) Mensyaratkan pengusaha menggaji pemandu dan konduktor mereka dengan gaji yang berpatutuan bagi mengawal masalah pajakan;
(viii) Taklimat dan panduan diberikan kepada pemandu dan pengusaha bas;
(ix) Tiket tambang disediakan untuk semua bas berhenti-henti dan kotak duit (coin box) untuk bas mini;
(x) Hotline telah diadakan supaya orang ramai dapat mengemukakan aduan, pendapat dan cadangan;
(xi) Risalah dan poster disediakan mengenai laluan yang telah
ditetapkan sebagai panduan kepada orang ramai;dan
(xii) Pemandu dan konduktor dimestikan memakai pakaian seragam syarikat (beruniform)
Yang paling penting sekali, pelaksanaan penyusunan semula perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang telah membuka ruang untuk membolehkan tindakan penambahbaikkan diambil dan rancangan digariskan untuk memantapkan perkhidmatan sedia ada. Tindakan dan rancangan ini tidak dapat dilaksanakan dalam sistem terdahulu. Tiada jangkamasa ditetapkan untuk menjayakan sistem baru ini akan tetapi keberkesanannya telah mula diperhatikan dan kerajaan akan berusaha untuk memastikan perkhidmatan bas awam yang efisien dan berkualiti disediakan demi kepentingan rakyat.