MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah kriteria-kriteria yang diperlukan bagi Negeri Pulau Pinang untuk mencapai status negeri maju. Adakah Negeri Pulau Pinang dapat memenuhi kriteria tersebut menjelang tahun 2010 dan apakah usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran ini berikutan berlakunya krisis minyak dan pergolakan politik di rantau ini.
Dun -
Exco TKW
Perkara Pembangunan

Jawapan
Kriteria yang sering digunakan untuk mengukur sama ada sebuah negara telah mencapai status maju atau belum ialah Indeks Pembangunan Insan atau The Human Development Index (HDI).

Indeks ini telah dimajukan oleh seorang ahli ekonomi yang terkenal daripada Pakistan iaitu Profesor Mahbub Ul Haq pada tahun 1990, dan telah digunakan sejak tahun 1993 oleh the United Nations Development Programme (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Insan Tahunannya (Annual Human Development Report).

Indeks ini mengukur status pembangunan sesebuah negara berdasarkan kepada tiga (3) dimensi penting iaitu:

(i) Jangka hayat masa kelahiran.

(ii) Tahap pengetahuan seperti yang diukur oleh kadar literasi dewasa dan nisbah enrolmen pada peringkat rendah, menengah dan tertiari.

(iii) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita seperti yang diukur dalam Pariti Kuasa Beli (Purchasing Power Parity - PPP).

Ketiga-tiga kriteria di atas dapat menggambarkan kualiti dan taraf hidup sesebuah masyarakat pada keseluruhannya, berdasarkan kepada tahap pencapaian dalam ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Mengikut Bangsa-Bangsa Bersatu, negara-negara yang telah mencapai HDI setinggi 0.8 dan ke atas adalah yang bertaraf amat maju, sedangkan negara-negara yang telah mencapai HDI di antara 0.5 dan 0.8 bertaraf sederhana maju.

Baru-baru ini, kriteria bagi mengukur sama ada sesebuah negara telah maju atau belum telah diperluaskan untuk merangkumi dimensi-dimensi politik dan sosial. Kriteria politik termasuk tahap demokrasi, rekod hak-hak manusia, tahap rasuah dan tahap ketelusan kerajaan. Kriteria sosial termasuklah tahap pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur asas dan tahap pembangunan.

Berasaskan kepada kriteria di atas, sesebuah negara yang telah maju adalah sesebuah negara yang telah mencapai KDNK per kapita yang tinggi, rakyatnya mempunyai jangka hayat yang panjang, tahap pencapaian dalam pelajaran yang tinggi, sebuah negara yang demokratik, negara yang mempunyai rekod hak-hak manusia yang baik, kerajaan di semua peringkat adalah bersih dengan tahap ketelusan yang tinggi, dan yang mempunyai tahap pembangunan seni seperti perpustakaan, muzik, teater, lukisan, muzium, tarian dan warisan yang tinggi.

Bagi Negeri Pulau Pinang, pencapaiannya dalam kebanyakan kriteria di atas adalah sederhana tinggi. Justeru itu, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai negeri maju. Memang, Kerajaan Persekutuan dan negeri telah pun mengambil beberapa inisiatif bagi memajukan Negeri Pulau Pinang ke tahap yang maju, sungguhpun kebanyakannya adalah tertumpu kepada dimensi ekonomi. Di antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan adalah seperti yang berikut:


1. Pembangunan Sumber Manusia

Masalah kekurangan sumber tenaga mahir memerlukan tindakan yang segera dan sewajarnya kerana ia merupakan penghalang utama bagi Pulau Pinang untuk bergerak menuju ke arah matlamat untuk menjadi sebuah k-ekonomi dan sebuah ekonomi maju. Pulau Pinang tidak akan dapat mengekal bahkan meningkatkan kelebihannya di dalam sektor-sektor yang sedia ada seperti sektor kecil elektronik dan mesin elektrik, tekstil dan industri asas tani, pelancongan dan industri-industri baru seperti pembangunan perisian, pengeluaran alat-alat perubatan, farmaseutikal dan sebagainya, sekiranya masalah sumber manusia ini tidak diatasi. Di samping itu, penekanan harus diberikan ke arah membentuk modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama dalam semua aspek.


2. Membangun dan memperkembangkan syarikat-syarikat IKS tempatan

Pembangunan syarikat-syarikat IKS tempatan akan membantu menjana pendapatan yang lebih luas bagi Negeri Pulau Pinang. Ia juga akan mengurangkan pergantungan negeri terhadap pelaburan dari luar negeri bagi menjana pertumbuhan. Banyak syarikat IKS di Pulau Pinang mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk bersaing di arena global. Pulau Pinang juga mempunyai potensi untuk menggunakan kelebihannya dari segi infrastruktur untuk membantu pembangunan syarikat-syarikat IKS ini.


3. Pengenalan sektor-sektor baru yang berpotensi untuk membangun

Sektor-sektor baru yang berpotensi untuk berkembang di dalam sektor pembuatan adalah aktiviti yang berunsurkan D&D, R&D, reka bentuk Integrated Circuits (IC), photonics, automasi (automation), peralatan perubatan, ICT dan pembangunan perisian (software development). Di dalam sektor perkhidmatan pula, sektor yang berpotensi untuk berkembang termasuklah bioteknologi, barangan farmasi (pharmaceuticals), aplikasi e-perniagaan, pengurusan rantaian bekalan (supply chain management) dan perkongsian perkhidmatan dan khidmat luaran (shared services outsourcing).


4. Mempertingkatkan bidang cemerlang (niches)

Pulau Pinang seharusnya mempertingkatkan bidang cemerlangnya (niches) dengan mengambil kesempatan terhadap pengalaman industri pengeluaran dan industri ICT yang cemerlang serta tenaga kerjanya yang berpendidikan tinggi.

Langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri:-

(a) Kerajaan negeri juga menggalakkan syarikat-syarikat multinasional dan tempatan menerima pakai teknologi baru seperti ASIC dan MEMS. Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan negeri, melalui agensi-agensinya, telah meminta kerjasama universiti-universiti seperti Universiti Sains Malaysia dan institut-institut latihan seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) untuk melatih lebih ramai jurutera reka bentuk. Kerajaan negeri juga sedang merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi geran kepada syarikat-syarikat multinasional untuk membiayai kos latihan yang dijalankan oleh mereka dan untuk menggalakkan mereka memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka kepada industri kecil dan sederhana (outsourcing part of their production to small and medium scale industries). Universiti-universiti juga digalak menjalankan penyelidikan yang hasilnya dapat memenuhi keperluan industri. Bagi maksud ini, sebuah task force iaitu Industrial Research Task Force (IRTF) telah pun ditubuhkan di bawah investPenang.

(b) Kerajaan negeri, bersama-sama dengan syarikat-syarikat perisian, telah menubuhkan Software Corporation of Penang atau (SCOPE), dengan tujuan hendak memajukan lagi keupayaan perisian (software capability) syarikat-syarikat perisian di Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi. Salah satu daripada langkah ini ialah melatih lebih ramai jurutera perisian tempatan dan meminta Kerajaan Persekutuan membenarkan beberapa jurutera perisian yang berpengalaman dibawa masuk dari luar ke negeri ini. Apabila keupayaan perisian, seperti keupayaan membekalkan penyelesaian teknik, dinaikkan, SCOPE akan berusaha sama untuk mendapat lebih banyak kontrak dari syarikat-syarikat multinasional dan tempatan.

(c) Penubuhan Invest Penang Sdn Bhd pada tahun 2005 adalah bertujuan untuk membantu merangsangkan pelaburan ke Pulau Pinang. Bersama-sama dengan penggubal polisi serta ahli-ahli industri di Pulau Pinang, entiti ini akan mengenal pasti sumber perkembangan yang berpotensi bagi negeri ini serta bertanggungjawab untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan yang utama dan menarik lebih banyak pelaburan asing. Ia juga membantu dan memberi sokongan terhadap keperluan industri tempatan.

(d) Kerajaan negeri sedang berusaha memberangsangkan sektor perkhidmatan, khususnya sektor kecil pelancongan. Di antara langkah-langkah yang diambil termasuk memajukan produk-produk pelancongan sedia ada; memperkenalkan produk-produk pelancongan baru; menambah baikan perhubungan udara, rel, laut dan darat antara Pulau Pinang dengan bandaraya-bandaraya utama di negara-negara lain; memperbaiki kebersihan alam sekitar; meningkatkan tahap keselamatan; dan mempergiatkan promosi pakej pelancongan ke Pulau Pinang.

(e) Kerajaan negeri juga giat mempromosikan Pulau Pinang sebagai sebuah call centre. Dengan terlancarnya Koridor Raya Multimedia yang kedua di Pulau Pinang, maka salah satu syarat untuk menjadi call centre, iaitu adanya kemudahan telekomunikasi yang canggih seperti jalur lebar (broadband) akan dapat dipenuhi. Kini apa yang diperlukan ialah ramai tenaga pekerja yang berkemampuan untuk menguasai beberapa bahasa.

(f) Rancangan lain bagi memperkembangkan ekonomi Pulau Pinang ialah dengan mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat untuk pelancongan perubatan. Pulau Pinang kini mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan bagi tujuan ini, seperti adanya 11 buah hospital swasta yang masih mempunyai keupayaan berlebihan; pakar-pakar dalam pelbagai disiplin perubatan; kemudahan-kemudahan perubatan yang moden serta canggih dan kakitangan paramedik seperti ahli-ahli teknik, jururawat-jururawat dan teknologi-teknologi makmal perubatan yang lengkap.



Kembali