MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Di KADUN Batu Uban terdapat 3 loji kumbahan IWK yang tidak lagi berfungsi dan terbiar. Mengapakah IWK mengambil masa begitu lama untuk penyerahan tapak kepada kerajaan negeri. Sila nyatakan status terkini penyerahan tapak dan kronologi untuk loji berikut:- (a) Logi di hadapan MAKRO, Sungai Dua, (b) Logi di simpang masuk Persiaran Batu Uban, (c) Logi di Medan Nipah,Taman Lip Sin.
Dun -
Exco LCT
Perkara Hal Ehwal Pengguna

Jawapan
Semua urusan tanah bagi tapak loji kumbahan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Hanya urusan operasi perkhidmatan pembetungan terletak di bawah bidang tugas Indah Water Konsortium. Urusan tanah bagi tapak-tapak loji kumbahan antara MPPP, kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan masih belum diselesaikan.

(a) Loji di hadapan Makro, Sungai Dua
Loji ini telah ditutup oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan pada penghujung tahun 2004 dan saliran kumbahan telahpun dialirkan ke Loji Pengolahan Kumbahan Berpusat di Bayan Baru melalui paip pembetung yang baru dibina sepanjang Jalan Sungai Dua. Hakmilik tanah loji tertutup tersebut adalah milik Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan dalam proses menyerah balik tapak kepada pemilik tanah tersebut. Buat masa ini, IWK masih menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan loji tersebut sementara menunggu penyerahan balik tapak tersebut selesai.

(b) Loji di Simpang Masuk Persiaran Batu Uban
Loji yang terletak di Persiaran Batu Uban di atas Lot 4198, Mukim 13 No. H.S.(M).753 berukuran 12,927 kaki persegi telah lama ditutup dan tapak tangki najis tidak lagi diperlukan. Pihak MPPP akan menyelenggara dan merancang untuk pemajuan yang bersesuaian untuk tapak ini.

(c)Loji di Medan Nipah, Taman Lip Sin
Loji di Taman Lip Sin yang terletak di atas Lot 3828 Mukim 13 dan Lot 3946 Mukim 13 didaftar atas nama MPPP dan telah lama ditutup. Kedua-dua tanah ini tidak lagi diperlukan untuk tujuan asal iaitu sebagai tapak loji kumbahan. MPPP pernah menolak permohonan daripada Tetuan Lip Sin Sdn. Bhd. untuk membeli tanah bagi tujuan pemajuan perumahan pada tahun 1997. Pada masa kini, terdapat permohonan baru daripada Tetuan Lip Sin Sdn. Bhd. untuk menyerah balik tanah-tanah yang berkenaan kepada syarikat. Permohonan sedang dalam pertimbangan Majlis.







Kembali