Jawapan
(a) Di Negeri Pulau Pinang, tidak ada orang yang dijangkiti selsema burung.
(b) Penyakit selesema burung telah dilaporkan berlaku di Kampung Permatang Bogak, Daerah SPU pada 20 Mac 2006.
Langkah-langkah pelupusan mengikut Garis Panduan Pengendalian Wabak Selesema Burung Negeri Pulau Pinang telah dijalankan dengan segera iaitu mulai pada 20 Mac 2006. Semua ternakan di dalam Kawasan Indeks iaitu kawasan 1 km radius (termasuk Kg Permatang Bogak, Kg Permatang Sintok dan Kg. Permatang Tok Loba) telah dilupuskan. Kawasan 9 km radius di sekeliling Kawasan Indeks tersebut adalah Kawasan Survelan, dimana pergerakan ternakan telah dibekukan dengan serta merta.
Operasi pelupusan telah ditamatkan pada 25 Mac 2006. Operasi pemantauan di Kawasan Survelan pula telah dijalankan sejak 25 Mac 2006 sehingga 28 Mac 2006. Sebanyak 151 kampung telah dilawati dan diperiksa, dan sebanyak 1,433 sampel calitan telah dikumpulkan untuk mengesan kehadiran virus H5N1. Kesemua sampel yang diuji telah menunjukkan keputusan negatif. Pemantauan dan pengambilan sampel untuk pusingan kedua di Kawasan Survelan dijalankan pada 20 - 23 April 2006 melibatkan kampung-kampung tersebut. Kesemua 1,448 sampel dari kampung-kampung tersebut juga telah didapati negatif.
Selain dari pemantauan di Kawasan Surveilan dan operasi pelupusan di Kawasan Indeks, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang terus berusaha untuk mempastikan virus selesema burung tidak merebak ke kawasan lain dengan menjalankan langkah-langkah kawalan dan pemantauan, antaranya ialah:
1. Membuat pemantauan dan pengambilan sampel-sampel di ladang-ladang ternakan ayam itik, premis-premis penyembelihan ayam itik, kedai burung peliharaan, kawasan kampung, dan kawasan di sekitar santuari burung hijrah.
2. Pemeriksaan dan kawalan kemasukan bahan-bahan terlarang di pintu-pintu masuk antarabangsa seperti Lapangan Terbang Pulau Pinang, Pelabuhan Kontena Butterworth dan Pelabuhan Port Sweetenham.
3. Membuka Bilik Gerakan untuk menerima aduan orang ramai mengenai kematian unggas yang luar biasa, seterusnya memeriksa dan membuat tindakan susulan.
4. Mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman penyakit ini melalui ceramah, poster dan edaran brosur.
5. Melarang kemasukan ayam itik atau unggas lain dari kawasan berwabak di negeri lain.
Aktiviti pencegahan dan kawalan telah dijalankan oleh agensi-agensi yang terlibat iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Veterinar, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah SPU, Bomba, Rela dan Polis.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan termasuk Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) di Kg. Permatang Bogak, sebanyak 632 buah rumah telah dilawati dan didapati ada 13 kes yang disyaki di rujuk ke Hospital. Keputusan makmal bagi kesemua sampel adalah negatif. Pendidikan kesihatan telah diberikan dan sebanyak 697 risalah serta 677 kad amaran kesihatan telah diedarkan. Bilik Gerakan Negeri dan Daerah Seberang Perai Utara telah dibuka dari 20.03.2006 hingga 16.04.2006. Selain daripada itu, pemantauan Program Surveilan ILI ‘Influenza-Like Illness’ di pantau setiap hari oleh Unit Epidemiologi bagi semua daerah di Negeri Pulau Pinang.