Jawapan
1. Selepas pelancaran Bandar Siber MSC Pulau Pinang (Penang MSC Cybercity) Fasa 1 (PCC1) pada Januari 2005, Kerajaan Negeri melalui investPenang mulai berunding dengan Multimedia Development Corporation (MdeC) untuk meluaskan Bandar-Bandar Siber MSC ke Bertam di Seberang Prai Utara dan Batu Kawan di Seberang Prai Selatan pada tahun 2008. Selanjutnya, MSC Cybercities dan Cyber Centres yang lain akan dibangunkan. Tujuannya ialah supaya pembangunan dan kemajuan, hasil daripada MSC Cybercity, akan dapat diagih dan dinikmati.
.
2. Sejak Januari 2006, investPenang telah memulakan mesyuarat dengan PDC untuk kerja perancangan pembangunan Bandar Siber Batu Kawan diatas tanah seluar 350 ekar. Lokasinya amat strategik sebagai perluasan kawasan MSC dari PCC1 memandangkan Jambatan Pulau Pinang Ke-dua akan dibina dari Batu Kawan ke Batu Maung yang berdekatan dengan PCC1. Seluruh pembangunan Bandar Siber Batu Kawan akan merangkumi sebuah taman korporat dan pusat kecemerlangan pendidikan tinggi yang telah dirancang dalam Pelan Induk Pembangunan Batu Kawan.
3. Mesyuarat kerja perancangan Bandar Siber Bertam juga dimulakan oleh JPBD, PERDA, investPenang dan Bertam Properties. Tumpuan pembangunannya adalah dalam bidang pusat inkubator dan institusi pendidikan tinggi (IHL) bertaraf MSC memandangkan kewujudan Kampus USM Advanced Medical and Dental Institute (AMDI), UiTM, Penang International Dental College di Bertam. Pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menggunakan applikasi teknologi maklumat (IT Application) dalam bidang industri asas tani, agro-biotek dan automotif akan digalakkan supaya menyokong projek pembangunan industri asas tani oleh PERDA dan projek NAZA Autocity.
4. Dengan pembangunan Bandar-Bandar Siber bertaraf MSC, kawasan- kawasan ini dapat menarik pelaburan asing (FDI) khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan applikasi teknologi maklumat (IT). Pembentukan dan penambahan syarikat-syarikat berstatus MSC akan menjanakan aktiviti-aktiviti ekonomi di kedua-dua bandar siber tersebut dan seterusnya menyokong IKS bumiputera tempatan untuk mengusahakan aktiviti-aktiviti tambah nilai tinggi (high value added) serta berteknologi tinggi (hi-tech) yang akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat negeri ini.
5. Jawatankuasa Blueprint Penyertaan Bumiputera di Penang Cybercity telah ditubuhkan untuk memberi fokus dan menyediakan blueprint bagi penglibatan Bumiputera dalam Penang Cybercity. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Pengurus Besar PDC dengan ahli-ahlinya terdiri dari Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Jabatan Perdana Menteri, investPenang, UPEN, SMIDEC, Multimedia Development Corporation (MDec), MPPP, MPSP, PERDA, MARA, USM, AKN Technology dan AMD. Jawatankuasa Blueprint ini bertindak dibawah Jawatankuasa Kerja JKP (Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri.
6. Rangkai Tindak (Blueprint) penglibatan Bumiputera ini akan merangkumi strategi jangka pendek dan jangka panjang. Berdasarkan perbincangan awal, 6 inisiatif strategik telah dikenalpasti iaitu pembangunan sumber manusia, pemasaran dan jaringan perniagaan, pembangunan infrastruktur, pembiayaan, pembangunan perniagaan dan R&D dan pemantauan berdasarkan enam inisiatif strategik tersebut. Program-program yang lebih mantap sedang dan akan terus dianjur dan dimajukan.