Jawapan
Soalan ini akan dijawab bersama Soalan 7w-14 ID121.
1. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth atau Butterworth Outer Ring Road (BORR) merupakan satu projek prasarana besar di bawah Kerajaan Persekutuan yang diuruskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, Kementerian Kerja Raya.
2. Dirancang mulai awal tahun 90an, ianya bertujuan untuk menyuraikan lalulintas di sekeliling dan di dalam Bandar Butterworth dengan menyempurnakan jalinan rangkaian jalan utama dengan sambungan terus dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Timur-Barat ke Pelabuhan Perai dan Pengkalan Kontena Butterworth Utara atau NBCT. Pelabuhan Perai dan NBCT juga disambung ke George Town dan bahagian Pulau melalui BORR dan PLUS dan Jawatankuasa Pulau Pinang.
3. Sasaran yang kedua untuk membina BORR ialah supaya mengubah lanskap serta meningkatkan keadaan sosio-ekonomi Bandar Butterworth pada jangkamasa panjang, dari sebuah bandar yang agak mundur atau berada di dalam “economic backwaters†yang dipenuhi dengan setinggan kepada sebuah bandar pelaburan atau “port city†yang moden dan bersih serta lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang memadai.
4. Pada pertengahan tahun 90an, Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, telah memutuskan untuk menswastakan projek BORR ini atas konsep “Build-Operate-Transfer†(BOT). Mengikut konsep ini, syarikat konsesi bertanggungjawab terhadap kos pembinaan (iaitu pembinaan) lebuhraya yang sepanjang 14 kilometer itu dengan menggunakan dana sendiri dan pinjaman. Syarikat konsesi juga dikehendaki untuk mengurus dan (operate) menanggung kerja dan kos penyelenggaraan untuk satu tempoh, sebelum menyerahkan (transfer) jalan itu kepada Kerajaan.
5. Di sebaliknya, syarikat konsesi diberi kebenaran untuk mengutip tol dalam tempoh konsesi selama 30 tahun. Di samping itu, syarikat konsesi juga diberi kebenaran untuk menebusguna tanah bagi menampung sebahagian kos pembinaan jalan dan, oleh itu, tidak mengenakan kadar tol yang terlalu tinggi. Tanah di sepanjang jajaran BORR tersebut diambil alih dan dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan.
6. Selepas Kerajaan Negeri diberitahu oleh EPU mengenai cadangan tersebut dan selepas beberapa kali perbincangan yang mengambil masa dua (2) tahun, Kerajaan Negeri berjaya menegaskan pendiriannya, iaitu, syarikat konsesi tersebut mesti bertanggungjawab untuk menempatkan semula semua rumah dan keluarga setinggan, serta semua bangunan, termasuk kedai, tokong dan kuil, dengan menanggung kosnya. Untuk tujuan penempatan semula, Kerajaan Negeri membenarkan syarikat menggunakan tanah kerajaan untuk membina perumahan tersebut dan mendapat kawasan tebusguna tambahan.
7. Selanjutnya, pada bulan April 1997, perjanjian konsesi di antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi, iaitu, Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd (LLBPSB) telah dimeteraikan. LLBPSB ialah sebuah syarikat dalam Kumpulan Rayston. Mengikut perjanjian ini, kos pembinaan jalan sebanyak RM420.0 juta ditanggung oleh syarikat tersebut. Kerajaan Persekutuan menanggung kos pembinaan Jambatan Perai sebanyak RM275.0 juta. Ini menjadikan jumlah kos projek hampir RM700.0 juta.
8. Jumlah kos tersebut tidak termasuk pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menampung segala kos pengambilan tanah mengikut jajaran jalan. Di samping itu, untuk membantu mengurangkan sebahagian risiko yang dihadapi, syarikat konsesi diberi pinjaman mudah dengan faedah yang rendah (low interest) sebanyak RM86.0 juta.
9. Di dalam perjanjian tersebut, Kerajaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa syarikat konsesi hendaklah membiayai sebahagian daripada kos pembinaan Lebuhraya Butterworth-Kulim atau Butterworth-Kulim Expressway (BKE) sepanjang lima (5) kilometer bermula dari Butterworth dalam bentuk kos pajakan sebanyak RM50.0 juta. Syarikat konsesi juga bertanggungjawab untuk kerja penyelenggaraan BKE sejak diambil pada tahun 1998. Di sebaliknya, syarikat konsesi dibenarkan untuk mengutip tol di lokasi Sungai Nyior.
10. Apabila Kerajaan Negeri pada waktu itu mengetahui mengenai plaza tol tambahan di Sungai Nyior, Kerajaan Negeri mendesak dan menegaskan supaya pengutipan tol hendaklah ditangguhkan sehingga BORR siap dibina supaya tidak membebankan rakyat. Selepas beberapa kali perbincangan dan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, pengutipan tol telah ditangguhkan.
11. Dalam perjanjian di antara Kerajaan Negeri dengan Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd (RCBSB) yang ditandatangani pada tahun 1999, Kerajaan Negeri menetapkan supaya syarikat tersebut mestilah melaksanakan kerja-kerja penempatan semula setinggan.
12. Harus diterangkan bahawa RCBSB juga merupakan sebuah syarikat dalam Kumpulan Rayston. Ini adalah kerana, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh EPU, LLBPSB sendiri sebagai Special Purpose Vehicle tidak boleh melaksanakan fungsi-fungsi yang lain, kecuali merancang, membina dan menyelenggara BORR sahaja.
13. Di sebaliknya, syarikat tersebut diberi kebenaran untuk menebusguna tanah, iaitu 240 hektar untuk pembesaran pelabuhan NBCT dan kegunaan yang berkaitan dengan pelabuhan; 120 hektar sebagai simpanan untuk zon penampan (buffer zone) bagi kegunaan pelabuhan pada masa hadapan dan 280 hektar untuk pembangunan oleh syarikat tersebut.
14. Dari 280 hektar untuk pembangunan, sekurang-kurangnya 30 peratus akan diketepikan untuk pembinaan jalan, kemudahan infrastruktur dan tanah lapang yang akan diserah balik kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Ini bermakna bahawa baki untuk pembangunan ialah tidak lebih daripada 200 hektar. Setakat ini, kerja tebusguna tanah masih belum dimulakan.
15. Di samping itu, dua (2) keping tanah Kerajaan Negeri diserahkan untuk digunakan untuk pembangunan perumahan adalah sebanyak 7.5 hektar dan 12.8 hektar. RCBSB dikehendaki membina 7 buah kuarters Kerajaan Negeri di Bertam untuk menggantikan yang sedia ada atas tanah kerajaan yang terlibat.
16. Pembinaan BORR telah dimulakan pada awal 2003 dan siap pada penghujung tahun 2006. Setakat ini, jumlah keluarga setinggan yang akhirnya diselesaikan atau ditempatkan semula ialah 1703.
17. Pada 15 Januari 2007, BORR dibuka secara percuma selama satu (1) bulan kepada semua kenderaan. Mengikut persetujuan sejak 1997, kutipan tol bagi 2 plaza tol di sepanjang BORR dan plaza tol Sg. Nyior dijadualkan bermula pada 15 Februari 2007.
18. Selepas itu, beberapa persatuan penduduk, pertubuhan perdagangan dan pekilang serta pertubuhan-pertubuhan lain di kawasan sekeliling telah menyuarakan bantahan mereka dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bersama dan memulakan kempen tandatangan untuk merayu supaya kutipan tol dimansuhkan atau ditangguhkan.
19. Pada 13 Februari 2007, jawatankuasa tersebut telah menyerahkan memorandum dengan tandatangan oleh seramai 700 orang kepada Kerajaan Persekutuan merayu supaya kutipan tidak dilaksanakan pada peringkat ini.
20. Kerajaan Negeri memang peka terhadap rayuan tersebut. Ketua Menteri Pulau Pinang telah menemui jawatankuasa tersebut dan telah menghubungi Kerajaan Persekutuan, khasnya YB Menteri Kerja Raya, untuk merayu supaya kutipan tol ditangguhkan.
21. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah memutuskan dengan cepat untuk membina sambungan sepanjang 300 meter dari Jalan Todak ke Jalan Chain Ferry sebagai jalan alternatif yang kedua selain daripada jalan yang sedia ada. Jalan baru ini telah siap dibina dan dibuka pada 16 Mei yang lalu.
22. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan melebarkan jalan alternatif yang sedia ada, iaitu, melalui Jalan Chain Ferry ke Jalan Nyior, Jalan Sirat ke Jalan Raja Uda untuk melicinkan lagi lalulintas. Satu jambatan melintasi Sungai Perai dari Jalan Jelawat di Seberang Jaya ke Taman Bagan juga akan dibina.
23. Adalah dijangka bahawa dengan tiga jalan alternatif tambahan ini, orang tempatan yang berulang-alik di kawasan tersebut boleh memilih untuk tidak menggunakan plaza tol di Sg. Nyior.