MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Adakah benar prestasi ekonomi Pulau Pinang hari ini boleh dikatakan sebagai baik. Jika benar, (a) Apakah hujah-hujah yang dapat menyokong kenyataan ini. (b) Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk terus memanpankan ekonomi Negeri.
Dun -
Exco TKW
Perkara Ekonomi

Jawapan
2. Prestasi ekonomi Pulau Pinang hari ini adalah memuaskan. Pembangunan perindustrian oleh kerajaan negeri telah menjadi pemangkin yang mendorong perkembangan ekonomi dan menghasilkan kesan berganda (multiplier effect) kepada sektor-sektor lain di ekonomi negeri ini. Pada masa yang sama, ekonomi Pulau Pinang sedang menghadapi beberapa cabaran yang mesti ditangani jika pertumbuhan ekonomi mampan ingin dikekalkan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah berkembang dari RM1.3 billion pada 1970 kepada RM21.07 billion pada tahun 2005 (dalam harga 1987). Ini merupakan pertambahan KDNK sebanyak 16 kali ganda ataupun dengan kadar pertumbuhan tahunan kumulatif sebanyak 8.28 peratus setahun. Dalam tempoh 2001-2005, ekonomi Pulau Pinang telah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi purata yang sederhana setinggi 5.0%. Kadar ini telah melebihi kadar 4.5% setahun bagi tempoh yang sama untuk keseluruhan negara Malaysia.

Keadaan ekonomi yang terus berkembang ini telah dapat mengurangkan kadar pengangguran daripada 16 peratus pada penghujung 1960an kepada kurang daripada 4 peratus sekarang. Kadar ini telah dikurangkan daripada 2.5% daripada jumlah tenaga buruh pada 2001 kepada 2.1% pada 2005. Ini menunjukkan bahawa Negeri Pulau Pinang telah mencapai keadaan guna tenaga penuh.

Dalam tempoh 1970-2005, kadar pertumbuhan ekonomi melebihi kadar pertumbuhan dalam bilangan penduduk. Justeru, pendapatan per kapita telah meningkat daripada RM1,675 pada tahun 1970 kepada RM14,345 pada 2005 (pada harga 1987). Bagi tempoh 2001-2005, pendapatan per kapita ini bertambah daripada RM20,794 kepada RM27,150 dalam harga semasa. Pendapatan per kapita Pulau Pinang pada 2005 ialah kira-kira 1.5 kali lebih tinggi daripada pendapatan per kapita bagi keseluruhan Malaysia. Peningkatan pendapatan per kapita ini bermakna bahawa kuasa beli penduduk pada puratanya telah bertambah.

Salah satu sumber pertumbuhan ekonomi ialah pembangunan sektor pembuatan. Kini sektor ini menyumbangkan kira-kira 43% daripada KDNK negeri pada 2005. Dalam sektor pembuatan ini, barang-barang elektronik dan mesin elektrik (E & E) merupakan yang paling besar dari segi nilai ditambah, gunatenaga dan eksport. Kini, Pulau Pinang merupakan pemasang microprocessors yang terbesar di dunia. 50% daripada jumlah eksport kepada keseluruhan dunia adalah dari Intel dan AMD di Pulau Pinang. Pada masa yang sama, Dell Pulau Pinang menawarkan 95% daripada jumlah komputer ‘laptop’ ke Amerika Syarikat dan semua komputer keluarannya ke Asean, India dan Australia atau ke keseluruhan Asia-Pasifik kecuali China dan Jepun. Sementara itu, Motorola Pulau Pinang mempunyai kemudahan R & D dan kilang untuk alat-alat komunikasi dua hala yang terbesar di dunia ini, dengan bahagian pasaran, lebih daripada 50%. 5 syarikat (electronic manufacturing services) atau EMS yang terbesar di dunia telah membuka kilang di Pulau Pinang.

Selain daripada komputer dan microprocessors, lain-lain produk penting yang mendorong pembangunan sektor kecil E & E di Pulau Pinang ialah disk drives, kelengkapan automasi penyelesaian perisian pembuatan, (precision engineering), (tooling) dan (machining) untuk bahagian dan komponen penyimpanan data dan RFID. Pulau Pinang juga terkenal dengan adanya suatu pengurusan rantaian penawaran yang efisien dan produktif.

Prestasi ekonomi negeri yang memuaskan adalah berlandaskan perkembangan kapasiti yang berterusan seperti yang ditunjukkan oleh pelaburan yang diluluskan untuk Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2006, jumlah pelaburan di Pulau Pinang merupakan yang tertinggi iaitu RM5.4 billion berbanding dengan RM2.4 billion pada tahun 2002, RM1.9 billion pada 2003, RM2.0 billion pada 2004 dan RM4.6 billion pada 2005.

Pelaburan tempatan yang diluluskan pada tahun 2006 juga merupakan yang tertinggi pernah dicapai. Dengan jumlah pelaburan tempatan RM1.4 billion, ianya merupakan 26.8 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2006. Jumlah peningkatan pelaburan yang ketara ini menunjukkan bahawa pelabur masih yakin kepada kekukuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang.

Peningkatan dalam pelaburan telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang menyertai tenaga buruh bagi kali pertama. Kini sektor pembuatan merupakan sektor utama yang memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Pulau Pinang. Sebanyak 36 peratus daripada tenaga kerja di Pulau Pinang adalah di dalam sektor pembuatan pada tahun 2005. Sektor pembuatan, khususnya sektor kecil elektronik dan mesin elektrik (E & E) kini memerlukan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan, lantaran daripada anjakannya ke aktiviti pembuatan yang nilai ditambahnya lebih tinggi dalam rantaian nilai. Justeru itu, sektor kecil ini telah menyediakan pekerjaan yang bergaji lebih lumayan

Perkembangan sektor perindustrian telah mendatangkan banyak manfaat lain kepada ekonomi Pulau Pinang. Salah satu daripadanya ialah pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) yang memainkan peranan mereka sebagai penawar kepada syarikat-syarikat multinasional (MNCs). Memang proses industrilisasi pesat yang didorong oleh MNCs di Negeri ini telah berjaya membangunkan banyak syarikat tempatan. Ada di antara syarikat-syarikat tempatan ini yang bukan saja merupakan penawar kepada MNCs di sini, malah telah menembusi rantaian penawaran global atau (global supply chain).

Manfaat yang satu lagi ialah peningkatan kemahiran para pekerja yang bekerja di industri, khususnya sektor kecil E & E. Peningkatan dalam kemahiran adalah hasil latihan dan latihan semula yang disampaikan kepada para pekerja di kilang-kilang dan oleh pembekal-pembekal latihan (training providers) seperti PSDC. Keupayaan teknologi IKS turut meningkat seiring dengan perkembangan sektor perindustrian. Sumber-sumber peningkatan dalam keupayaan tekonologi IKS ini ialah keperluan memenuhi tuntutan kejuruteraan MNCs, penyampaian tepat pada masanya dan persaingan dengan IKS dari negara-negara lain dalam perkongsian IKS tempatan dengan MNCs.

Proses industrilisasi, khususnya industrilisasi yang berteraskan eksport, telah memperkembangkan lagi eksport dan import. Justeru itu, penyertaan Pulau Pinang dalam perdagangan antarabangsa makin bertambah. Lebihan eksport dalam perdagangan antarabangsa ini telah menyumbangkan kepada perolehan pertukaran asing negara ini.

Kegiatan perindustrian telah juga menghasilkan kesan-kesan limpahan positif kepada sektor perkhidmatan seperti kewangan, insuran, industri makanan, pencucian (cleaning service), penstoran dan pengangkutan. Jenis perkhidmatan sedemikian telah berkembang dengan pesat seiring dengan pembangunan perindustrian pesat di Pulau Pinang. Sektor perkhidmatan telah berkembang sedemikian pesat sehingga ianya menjadi sektor terbesar di negeri ini. Pada 2005, sumbangan sektor ini kepada KDNK negeri ialah kira-kira 53%.

Selain daripada pertumbuhan sektor pembuatan, perkembangan pelancongan juga merupakan suatu sumber pertumbuhan ekonomi yang penting. Memang, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, usaha gigih telah dibuat untuk memulihkan sektor kecil pelancongan dengan memajukan produk-produk baru, menambahkan penerbangan terus, menambahbaik infrastruktur, dan meninggikan promosi dan pemasaran, di dalam dan di luar negara.

Pemulihan sektor pembinaan telah bermula pada tahun yang lepas dan dijangka akan berterusan pada tahun ini dan beberapa tahun akan datang. Justeru, sektor yang mempunyai kesan pengganda yang kuat ini, dijangka akan bantu memesatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dalam beberapa tahun akan datang. Ini adalah hasil pelaksanaan beberapa projek prasarana raksasa, dan skim perumahan oleh kedua-dua sektor awam dan swasta. Di antara projek-projek ini termasuk monorel, jalan lingkaran luar Pulau Pinang atau PORR, fasa kedua Lebuhraya Jelutong, jambatan kedua, pelebaran Jambatan Pulau Pinang, pemajuan sebuah bandar baru di Batu Kawan, dan beberapa projek perumahan serta komersial yang besar.

Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk terus memapankan ekonomi negeri ialah:

(a) Memperkukuhkan lagi industri ICT dan industri yang berkait dengan ICT dengan memperkembangkan aktiviti yang nilai ditambahnya lebih tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan reka bentuk dan pembangunan (design and development).

Dalam pada itu, usaha-usaha dibuat untuk memperkukuhkan (niche) sediada dan mewujudkan (niche) baru. Di antara usaha-usaha ini adalah:-

(i) menuju ke arah automasi, pengeluaran dan aktiviti yang berteknologi dan bernilai tinggi;

(ii) mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk-produk baru dan memajukan teknologi pembuatan baru;

(iii) memperkukuhkan (niche) sedia ada seperti konduktor separa atau (semi-conductor), komputer, dan lain-lain;

(iv) memajukan (niche) baru seperti reka bentuk IC, RFID, alat dan perkakas perubatan, bio-informatics, aplikasi perisian dan e-perniagaan; dan

(v) mempertingkatkan keupayaan rantaian penawaran (supply chain capability) seperti kejuruteraan (precision) dan kelengkapan automasi.






(b) Memajukan koridor raya multimedia (MSC) di Bayan Lepas, yang memang telah bermula, diikuti dengan Bertam di Seberang Perai Utara dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

(c) Menembusi bidang-bidang baru seperti agro-biotechnology, bio-pharmaceutical dan alat-alat dan perkakas perubatan.

(d) Memajukan lagi penyelidikan dan pembangunan (R & D) di industri bioteknologi asas marin dan industri yang berkait denganya.

(e) Mempromosikan e-perdangangan dan e-logistik, khususnya untuk pengurusan rantaian penawaran dan penyumberluaran perkhidmatan berkongsi atau shared services outsourcing (SSO).

(f) Memajukan industri-industri lain seperti besi dan keluli, perabot, fesyen dan makanan.

(g) Membangunkan aset negeri kita yang paling bernilai iaitu sumber manusia;

(h) Menggalakkan kerjasama yang lebih rapat antara universiti dan industri dalam R & D, dengan tujuan hendak meningkatkan kapasiti teknologi IKS;

(i) Mewujudkan suasana yang lebih baik dan selesa untuk urusniaga di dalam negeri dengan meningkatkan sistem penyampaian;

(j) Mempergiatkan aktiviti promosi pelaburan daripada luar negeri (FDI) dan dalam negeri; dan

(k) Menggalakkan pembangunan IKS tempatan.





Dengan melaksanakan kesemua langkah ini, Negeri Pulau Pinang dijangka akan terus bertumbuh secara mampan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Unjuran pertumbuhan bagi negeri ini pada tempoh 2006-2010 ialah antara 5 – 6% setahun.

Cabaran

Namun demikian, ekonomi Pulau Pinang, seperti ekonomi negeri-negeri lain mesti sedia menghadapi beberapa cabaran yang mungkin akan menjejaskan prestasi ekonominya pada beberapa tahun akan datang. Di antara cabaran-cabaran ini termasuk inflasi, kejutan luaran atau (external shocks), ketidaksetaraan dalam pengagihan pendapatan, penawaran tenaga kerja mahir dan berpengetahuan yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pihak industri dan kegagalan IKS tempatan untuk meningkatkan kapasiti teknologinya seiring dengan kemajuan teknologi MNCs. Cabaran-cabaran ini mesti ditangani untuk menjamin Pulau Pinang dapat mengalami pertumbuhan yang mampan pada masa depan.

Kejatuhan dalam harga minyak, penurunan dalam kadar pertukaran bagi ringgit dan peningkatan dalam penawaran memang sudah mengurangkan kadar inflasi. Sungguhpun demikian, inflasi masih merupakan suatu ancaman kepada kestabilan ekonomi. Lain-lain langkah termasuk mempertingkatkan keupayaan teknologi IKS dan mempelbagaikan ekonomi untuk memperkukuhkan daya tahan ekonomi negeri dan meminimumkan impak negatif berekoran kejutan luaran, kalau ianya berlaku. Untuk mempertingkatkan kapasiti kejuruteraan IKS, kerjasama antara universiti dan industri dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan antara MNCs dan IKS mesti diperkuatkan lagi.




Kembali