Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
30. Soalan ID 5, ID 86 dan ID 253 dijawab bersama.
Konsep koridor pembangunan telah dikemukakan sebagai satu strategi di bawah RMK-9 untuk menjanakan pembangunan ekonomi dan sosial yang meliputi beberapa negeri dan beberapa kawasan yang berjiranan. Ia bertujuan untuk mendapatkan kesan sinergistik dan limpahan yang berdasarkan klaster ekonomi, kelebihan daya saing yang sedia ada atau potensi yang baru secara lebih bersepadu lagi untuk manfaat semua rakyat dalam koridor berkenaan.
Di Semenanjung Malaysia, tiga wilayah perancangan telah dikenalpasti iaitu:
a) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
b) Wilayah Eknomi Koridor Timur dan;
c) Wilayah Pembangunan Iskandar (Koridor Selatan)
Ketiga-tiga koridor ini akan dibangunkan supaya lebih seimbang dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang telah dan sedang membangun dengan amat pesat sekali sebagai satu wilayah yang amat maju.
Pembangunan Koridor Utara atau Northern Corridor Economic Region (NCER) merangkumi Negeri Perlis, Negeri Kedah, Negeri Pulau Pinang dan Utara Perak dengan keluasan 1.9 juta hektar dan jumlah penduduk seramai 5.4 juta orang.
Misi utama adalah untuk memangkinkan pembangunan melalui proses mengenalpasti peluang komersil yang kukuh dan mengimplementasikan daya usaha dan inisiatif strategik yang diluluskan oleh Kerajaan. 4 objektif daya usaha yang dikenalpasti adalah seperti berikut:
Pertama : Pembasmian kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan yang tidak sama rata melalui program-program penjanaan pendapatan dan kekayaan yang teratur, sistematik dan konsisten;
Kedua : Mencapai pertumbuhan yang seimbang di dalam semua sektor terpilih;
Ketiga : Membangunkan modal insan untuk memenuhi keperluan permintaan pasaran antarabangsa; dan
Keempat : Menambahkan pelaburan sektor swasta dan inisiatif pembiayaan swasta.
NCER memfokuskan kepada 5 bidang pembangunan utama iaitu pertanian, pendidikan, pembuatan, pelancongan dan prasarana dengan pelaburan bagi jangka panjang. Pembangunan klaster-klaster ekonomi yang sebenarnya telah wujud dalam NCER ini akan diselaras, dirangsangkan dan dipertingkatkan secara proaktif dan efektif. Antara klaster-klaster utama termasuklah:
(a) Klaster elektronik, ICT dan bidang ekonomi yang berkaitan dengannya, termasuk pembangunan kawasan Koridoraya Multimedia (MSC) bermula dengan MSC Penang Cybercity di Bayan Lepas/Bayan Baru, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
(b) Klaster pertanian dan industri asas tani, yang akan disokong oleh kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan dari agro bioteknologi dan marin bioteknologi, termasuk pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
(c) Klaster pelancongan yang merangkumi ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan budaya (cultural tourism), mesyuarat dan pameran (MICE) serta pelancongan yang berkaitan dengan perkhidmatan perubatan dan pendidikan.
Negeri Pulau Pinang akan terus berkembang sebagai sebuah port city yang amat penting dalam koridor ini, bahkan dalam wilayah IMT-GT. Ini adalah kerana banyak aktiviti pengangkutan, pergudangan, perdagangan dan perkhidmatan akan berkembang.
Pembangunan dalam setiap koridor utama akan diterajui oleh sebuah agensi pelaksana yang utama atau lead agency dengan bantuan dari badan berkanun yang tertentu dan penyertaan dari sektor swasta secara aktif. Untuk Koridor Utara, lead agency ialah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), khususnya Sime Darby Berhad, dibantu oleh Kumpulan Guthrie Berhad dan Golden Hope Plantations Berhad. Badan-badan berkanun yang terlibat termasuk PERDA, KEDA dan LADA (Langkawi) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri yang berkenaan, termasuk Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Dalam proses penyediaan draf Pelan Induk NCER, 2 siri perbincangan awalan telah diadakan iaitu:
17/1/07 - Perbincangan Sime Darby bersama YAB Ketua Menteri, YB Ahli-Ahli MMK dan para pegawai kanan kerajaan negeri
9/2/07 - Perbincangan Sime Darby melibatkan para pegawai kanan kerajaan negeri 2 siri perbincangan yang diadakan ini adalah bagi mendapatkan input daripada kerajaan negeri dalam penyediaan draf Pelan Induk NCER. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk melihat kesesuaian perancangan NCER bagi Pulau Pinang tidak bertentangan dengan perancangan negeri.
Berikut adalah perkembangan terkini bagi projek-projek pembangunan bagi Negeri Pulau Pinang yang mempunyai impak bagi Koridor Utara:
1. Kemudahan pelabuhan kargo di Butterworth dan Perai telah dipertingkatkan, khasnya Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) serta pelabuhan kapal layar penumpang di George Town.
2. Kawasan metropolitan Seberang Perai yang berada di persimpangan antara Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Timur-Barat (di mana sebahagiannya ialah Lebuhraya Butterworth-Kulim) yang disambung dan dilengkapi dengan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang telah siap dibina, sebagai rangkaian lebuh raya yang bersepadu.
3. Laluan perhubungan ke George Town dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di bahagian pulau melalui Jambatan Pulau Pinang sedia ada, perkhidmatan feri, cadangan pembinaan Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang dan Jambatan Kedua yang sedang dibina di bawah RMK-9. Keempat-empat laluan perhubungan ini akan membawa kesan limpahan yang positif di antara pulau dan Seberang Perai.
4. Pembangunan di Seberang Perai Selatan melalui pembangunan kawasan perindustrian dan perumahan, termasuk bandar satelit yang baru di Batu Kawan oleh PDC dan kawasan pembangunan yang lain yang dimajukan oleh sektor swasta.
5. Pembangunan Seberang Perai Utara dengan wujudnya pusat pentadbiran dan pertumbuhan di Bertam, Kepala Batas. Antara rancangan yang akan dibangunkan ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pulau Pinang, iaitu di kawasan Juru, Seberang Perai Tengah; Penaga dan Tok Alang, Seberang Perai Utara.
Secara amnya NCER akan menguntungkan ekonomi Negeri Pulau Pinang dari beberapa aspek utama seperti berikut:
(i) Projek-projek infrastruktur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pada masa yang sama meningkatkan sokongan logistik dan perhubungan pengangkutan di antara bandaraya, kawasan perindustrian, pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.
(ii) Butterworth akan terus berkembang sebagai sebuah “port city†yang amat penting dalam koridor ini terutama dalam memberi sokongan kepada pertumbuhan industri di Pulau Pinang. Ini adalah kerana banyak aktiviti pengangkutan, pergudangan, perdagangan dan perkhidmatan akan berkembang hasil daripada pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) dan peningkatan kemudahan di pengkalan dan dermaga Butterworth dan Perai yang sedia ada.
(iii) NCER juga akan dapat mempromosikan serta merangsang pertumbuhan kawasan-kawasan perindustrian dan perdagangan yang baru seperti di Seberang Prai yang berada di persimpangan antara Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Timur-Barat.
(iv) Pembangunan yang menyeluruh di NCER terutama di wilayah Kulim dan Perak Utara akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada para pembekal dan vendor di Pulau Pinang yang mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan sokongan perindustrian.
(v) Negeri Pulau Pinang akan dapat meningkatkan lagi keupayaannya sebagai pusat pelaburan dan penyumberan luar (outsourcing) yang utama di NCER, di rantau ini dan juga di peringkat global.
(vi) Berdasarkan faktor-faktor yang telah dinyatakan, secara keseluruhannya Koridor Ekonomi Utara mampu menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai hab atau nukleus kepada pertumbuhan ekonomi di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.