MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Bolehkah kenderaan-kenderaan berat seperti bas, bas kilang dan lori meletak kenderaan mereka di taman-taman perumahan. Jika tidak, (a) Apakah jenis tindakan-tindakan yang boleh diambil. (b) Agensi manakah yang boleh mengambil tindakan ini.
Dun -
Exco THN
Perkara Hal Ehwal Pengguna

Jawapan
Dari segi perundangan, tidak ada peruntukan khas menghalang mana bas, bas kilang dan lori diletak di taman-taman perumahan. Namun begitu, sekiranya kenderaan di atas diletak di jalan-jalan kawasan taman-taman perumahan dan menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan tak berpatutan kepada pengguna-pengguna jalan yang lain, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Di samping itu juga, tindakan boleh diambil sekiranya kawasan taman-taman perumahan itu mempunyai kawasan melarang meletak kenderaan iaitu di mana terdapat dua garisan berterusan seperti dibawah kaedah 12(3) (c) Legal Notification LN 167/1959 dan kawasan garisan kuning berterusan di tepi atau pembahagian jalan di bawah kaedah 12(3A) LN 167/1957. Pihak Polis Diraja Malaysia boleh mengeluarkan saman sekiranya kenderaan di atas melakukan kesalahan seperti di atas.

Di bawah Seksyen 46(g), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, PBT boleh mengeluarkan kompaun ke atas kenderaan berat yang diletakkan di atas siar kaki awam kerana mendatangkan halangan.

Mulai tahun 2006, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebagai pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan permit untuk kenderaan berat telah membuat peraturan baru iaitu permohonan permit kenderaan berat perlu disertakan dengan surat sokongan PBT terlebih dahulu sebelum permit di keluarkan. Tujuan keperluan surat sokongan tersebut adalah untuk pemohon memaklumkan serta memohon izin dari PBT bagi meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan tertentu. PBT akan memastikan pemilik perlu mempunyai tempat letak kenderaan berat di atas tanah milik peribadi sebelum sokongan diberi kepada pihak LPKP.

Jika aduan diterima daripada orang awam, LPKP akan membuat pemantauan/penguatkuasaan di tempat yang dilaporkan. Namun jika didapati kesalahan-kesalahan lain telah dibuat, pemilik lesen LPKP tersebut akan dipanggil untuk soal siasat dan tindakan tegas akan diambil seperti membatalkan lesen , menggantung lesen atau kompaun.



Kembali