Jawapan
1. Rancangan Struktur Negeri (RSN) bagi Negeri Pulau Pinang adalah disediakan selaras dengan peruntukan Bahagian III : Rancangan Pemajuan, Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (A1129). Seksyen 7 hingga 11B adalah seksyen-seksyen yang berkaitan dengan penyediaan RSN.
2. Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (A1129) yang mengandungi beberapa pindaan terhadap Akta asal 1976 telah diterimapakai di Negeri Pulau Pinang pada 1 Oktober, 2002 di bawah Warta No. 250 bertarikh 26 September, 2002. Antara pindaan-pindaan termasuklah penyediaan RSN yang wajib dilaksanakan oleh Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang
3. RSN Pulau Pinang (RSNPP) merupakan satu dokumen penyataan bertulis yang mengandungi dasar perancangan fizikal yang strategik dan cadangan pembangunan kegunaan tanah serta hala tuju perancangan pembangunan masa hadapan bagi Negeri Pulau Pinang. Ianya disokong dengan Gambar Rajah Utama serta Pelan-pelan Subjek bagi memperjelaskan dasar perancangan strategik dan cadangan yang dikemukakan.
4. Negeri Pulau Pinang perlu mempunyai RSN untuk melengkapkan hirarki perancangan dan menterjemahkan dasar RFN yang disediakan di peringkat negara dan menyelaraskan dasar Rancangan Struktur (Pengubahan) bagi kawasan MPPP dan Rancangan Struktur (Pengubahan) MPSP. Dokumen ini akan menentukan hala tuju dan dasar spatial guna tanah Negeri secara optimum untuk dipatuhi oleh perancang dan pelaksana terutamanya perkara-perkara yang berkaitan kepentingan bersama di peringkat PBT.
5. Merenung kembali sepintas lalu sejarah perancangan fizikal bagi negeri ini, Rancangan Struktur (RS) bagi kawasan MPPP telah disediakan pada 1987 dan diwartakan pada 1990, manakala RS bagi kawasan MPSP pada 1990 dan diwartakan pada 1993, mengikut Akta yang asal.
6. Selanjutnya, pada penghujung tahun 90¡¯an, kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini telah mengadakan proses pengubahan terhadap RS masing-masing, iaitu melalui penyediaan Laporan Penyemakan (Survey report) ddan deraf Rancangan Struktur (pengubahan) atau RS(P) yang diikuti dengan proses seranta dan penyertaan awam.
7. Sebenarnya deraf RS(P) bagi MPPP dan MPSP telah siap disediakan pada penghujung tahun 2001 apabila Akta asal dipinda oleh Parlimen pada Januari 2001. Oleh itu pada 2002, Jawatankuasa Perancang memutuskan untuk menerimapakai Akta (pindaan) tersebut dan mencantumkan RS(P) MPPP dan RS(P) MPSP untuk menggubal RSN bagi seluruh negeri.
8. Kerja untuk membuat demikian dimulakan pada penghujung 2002. Laporan Pemeriksaan bagi Deraf RSN disiap pada Mac 2005, seranta dan pendengaran pada April-Ogos 2005. Setelah ulasan awam diperolehi, draf laporan RSNPP dimulakan dan Draf Pertama RSN disiapkan pada September 2005. Draf Pertama RSN dibentangkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri pada Januari 2006, Jawatankuasa Penyelarasan pada Februari 2006, Jawatankuasa Pemandu pada Julai 2006 sebelum ia diluluskan untuk diserantakan kepada orang awam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada Julai 2006. Publisiti Awam telah diadakan antara Ogos-Oktober 2006 dan sesi pendengaran Bantahan Awam pada Disember 2006. Hasil daripada Bantahan Awam telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri dan Mesyuarat Khas mengikut sektor yang dipengerusikan oleh EXCO berkaitan. Akhir sekali, keputusannya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri pada Februari 2007.
9. Matlamat RSNPP 2020 ialah untuk ¡±Memantapkan pembangunan fizikal yang mapan bagi menyokong pembentukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju dan mencapai Wawasan 2020¡±.
10. Pelan Strategik Guna Tanah Negeri Pulau Pinang telah dirangka bagi menterjemahkan matlamat RSNPP berdasarkan kepada asas strategik seperti berikut :-
i. Kerangka RFN
Menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Konurbasi Wilayah Utara Semenanjung. Pulau Pinang juga telah dikenal pasti oleh RFN berpotensi sebagai hub perhubungan dan pengangkutan serantau, prospek pelancongan bertaraf antarabangsa, pusat perindustrian ICT, pusat pelaburan dan perdagangan antarabangsa serta pengukuhan sektor pertanian.
ii. Penyusunan Kawasan Keutamaan Pembangunan,
Guna tanah pembangunan akan dizonkan mengikut kategori seperti Kawasan tepu bina dan koridor pembangunan utama, Pembangunan terhad dan pemeliharaan warisan (KSAS), Zon tebus guna, Koridor Raya Multimedia/Penang Cyber City (PCC), Pelabuhan dan maritim, Pertanian dan lembah agro dan Zon pelancongan.
iii. Pengekalan dan Pemeliharaan KSAS,
Kawasan ¨C kawasan hutan, badan air, jelapang padi, kawasan tanah bukit, pesisir pantai dan sungai merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang mempunyai kepentingan ke atas sistem ekologi serta sumberjaya yang perlu dikekal dan dipelihara serta diurus sebaik mungkin demi kepentingan jangka panjang.
iv. Pusat ¨C Pusat Petempatan,
Proses perbandaran akan ditingkatkan dengan penyusunan hirarki dan fungsi bandar dan petempatan desa untuk peningkatan kualiti perbandaran dan perseimbangan pembangunan kawasan bandar dan petempatan desa.
v. Rangkaian Perhubungan dan Pengangkutan;
Pembangunan rangkaian perhubungan dan sistem pengangkutan berkait rapat dengan pembangunan guna tanah. Cadangan pembangunan rangkaian perhubungan yang diambil kira ialah seperti Cadangan PORR dan BORR, Laluan Monorel, Laluan Komuter, Jambatan Kedua, Pembesaran Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pembangunan pelabuhan, terminal feri dan marina dan Cadangan jalan raya pesisir pantai.
vi. Pembangunan Kemudahan Infrastruktur dan Utiliti.
Kemudahan infrastruktur dan utiliti merupakan kemudahan asas dan akan diberi keutamaan di dalam menyokong pencapaian Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah Negeri Maju.
Beberapa cadangan bagi meningkatkan tahap kemudahan infrastruktur seperti Cadangan Sistem Rawatan Kumbahan Berpusat yang dibina di Jelutong dan Bayan Baru, Kaedah pelupusan sisa pepejal yang moden, terkini dan berkos efektif, Rancangan Tebatan Banjir untuk mengatasi dan mengurangkan masalah banjir di Negeri Pulau Pinang. Di samping itu, kemudahan jalur lebar dan perlaksanaan PCC akan dipertingkatkan di tiga zon yang telah dikenal pasti iaitu PCC Bayan Baru, PCC Bertam dan PCC Batu Kawan.
11. Secara amnya, Draf RSN Pulau Pinang 2005-2020 telah mendapat sambutan yang baik daripada orang awam. JPBD Negeri Pulau Pinang telah menerima sebanyak 464 kes cadangan atau bantahan daripada orang awam setelah melalui proses pendengaran Mesyuarat J/K Pendengaran Awam serta perbincangan di peringkat J/K Perancang Negeri, terdapat 177 (38%) kes cadangan dan bantahan yang ditolak atau di luar skop RSN. Bakinya sebanyak 62% telah diambilkira dalam memperbaiki draf RSN.
12. Antara isu-isu utama yang dikemukakan oleh pembantah ialah kawasan koridor pembangunan dan keinginan tuanpunya tanah untuk dimasuki dalam koridor pembangunan utama di mana pilihan jenis pembangunan adalah lebih luas. Walau bagaimanapun menurut kajian RSN, koridor pembangunan utama yang telah dikenalpasti adalah memadai sehingga 2020 dan tidak perlu diperluaskan.
13. Bagi penduduk yang tinggal di Kg. Tradisional, mereka mahu identiti dan keadaannya dikekalkan tetapi dilengkapi dengan prasarana yang moden.
14. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai keturunan, peluang penyertaan dalam semua aktiviti ekonomi oleh semua keturunan dititikberatkan.
15. Untuk menarik lebih ramai pelancong, beberapa tarikan dan zon pelancongan dicadangkan dan diterima seperti di Kawasan Utara Batu Kawan dan Pulau Jerejak untuk pelancongan eko dan agro.
16. Dalam Sektor Pertanian, isu yang dibangkitkan ialah pengekalan kawasan jelapang padi, kawasan untuk perternakan dan lain-lain.
17. Dalam sektor perumahan, isu-isu yang dikemukakan termasuk zon harga rumah kos sederhana rendah, ketumpatan dan nisbah plot, stok perumahan kos rendah quota bumiputra, sumbangan rumah kos rendah, tempuh penyiapan pembinaan, tempat letak kereta yang dikawal oleh Garispanduan Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah.
18. Orang awam juga menyuarakan keperluan kemudahan awam, prasarana dan pengangkutan awam yang memuaskan disediakan seiring dengan status sebagai negeri maju.
19. Dalam usaha untuk membangun, kawalan terhadap Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti Kawasan Hutan, Kawasan Tadahan Air, Lebangan Sungai, Kawasan Paya juga perlu dititikberatkan.
20. Akhir kata, Draf RSN kini sedang menunggu untuk dibentangkan dalam Majlis Perancangan Fizikal Nasional yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ia boleh disyorkan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri untuk dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diwartakan.