MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan (a) Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sejak dikorporatkan dan dijadikan sebagai sebuah Syarikat Milik Kerajaan Negeri mulai tahun 1999 hingga sekarang. (b) Adakah keuntungan yang diperolehi mampu membayar balik hutang kepada kerajaan persekutuan. Sekiranya tidak menguntungkan kenapa. (c) Adakah PBAPP mempunyai anak syarikat. Jika ada, senaraikan anak syarikat tersebut berserta fungsinya.
Dun -
Exco YABKM
Perkara PBAPP

Jawapan

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPPSB) merupakan syarikat majoriti milikan Kerajaan Negeri yang dikorporatkan pada 1999 dan disenaraikan di Papan Utama (Main Board) Bursa Malaysia pada 2001.

Struktur ekuitinya yang diperuntukkan pada masa disenaraikan pada 2001 adalah seperti berikut: 55 peratus untuk PBA Holdings Bhd (PBAHB) yang merupakan syarikat milikan penuh SSI (State Secretary Incorporated) iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Diperbadankan sebagai pemegang ekuiti bagi pihak Kerajaan Negeri; 10 peratus untuk Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); 10 peratus untuk Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (YBPP); 10 peratus untuk orang awam; 10 peratus untuk para pengguna air di Negeri Pulau Pinang; dan 5 peratus untuk kakitangan PBA.

Struktur ekuitinya sekarang adalah seperti berikut: 55 peratus dipegang oleh PBAHB;
10 peratus dipegang oleh PDC; 12 peratus dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; 4 peratus dipegang oleh YBPP; dan 19 peratus dipegang oleh orang awam yang juga merangkumi para pengguna air di Negeri Pulau Pinang serta kakitangan PBA.

Berdasarkan kepada pentadbiran yang cekap dan pengurusan kewangan yang berhemat, PBAPPSB berjaya memperolehi keuntungan di antara RM40 hingga RM50 juta lebih setiap tahun dengan jumlah RM349 juta bagi 8 tahun sejak ianya dikorporatkan.

Pada masa yang sama, PBAPPSB telah membelanjakan amaun yang besar setiap tahun untuk kerja-kerja modal (capital works) iaitu menaiktaraf loji rawatan air, kolam air, rumah pam, sesalur utama, penggantian paip dan lain-lain lagi. Pelaksanaan kerja-kerja modal adalah penting dan perlu diteruskan setiap tahun demi mempertingkatkan kualiti dan kuantiti bekalan air kepada para pengguna air yang semakin bertambah, menjamin bekalan air yang berterusan ke semua kawasan, mengurangkan kebocoran paip yang boleh mengakibatkan bekalan air keruh, mengurangkan lagi peratusan kehilangan air tidak berhasil (NRW). Semua ini perlu dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat jangkapanjang para pengguna air dan pada masa yang sama dapat menjamin keuntungan jangkapanjang bagi PBAPPSB.

Walaubagaimanapun kerja-kerja modal ini dibiayai melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dan dibayar balik oleh PBAPPSB melalui Kerajaan Negeri.

Keuntungan selepas cukai dan perbelanjaan kerja-kerja modal bagi 8 tahun kebelakangan ini adalah seperti berikut:
Tahun Keuntungan Selepas Cukai (KSC)
(RM juta) Perbelanjaan Kerja Modal
(RM juta)
1999 43 53
2000 39 70
2001 56 63
2002 50 69
2003 41 85
2004 41 74
2005 39 83
2006 40 119
Jumlah 349 616

Setiap tahun PBAPPSB berupaya mencatatkan keuntungan selepas cukai yang memuaskan. Walaupun amaun perbelanjaan kerja modal yang dicatatkan adalah melebihi keuntungan selepas cukai, PBAPPSB melalui Kerajaan Negeri masih mampu membayar balik pinjaman yang diambil daripada Kerajaan Persekutuan tersebut dengan menggunakan lebihan aliran wang tunai bagi menampung baki pinjaman berkenaan.

PBAPPSB tidak mempunyai sebarang anak syarikat. PBAPPSB adalah anak syarikat milikan penuh PBAHB. Fungsi PBAPPSB adalah untuk memproses, merawat dan membekal air serta memberi perkhidmatan yang berkaitan dengan bekalan air di Negeri Pulau Pinang.


Kembali