Jawapan
Bilangan pekerja mahir yang diperlukan oleh sektor perindustrian setiap tahun dalam bidang Elektronik, Electrikal dan Mekanikal di Pulau Pinang sehingga 31 Disember 2006 adalah seperti di Lampiran A.
Berdasarkan kepada sumber maklumat daripada “Penang Industrial Survey 2006†oleh SERI (Socio-Economic & Environmental Research Institute), setakat Disember 2006 sejumlah 223,257 pekerja terlibat di 1,425 kilang dan firma perkhidmatan berkaitan perindustrian. Dari jumlah tersebut, 54.5% iaitu 121,568 pekerja adalah di dalam bidang Elektronik/Elektrikal. Ia menjadikan sektor kecil Elektronik/Elektrikal di tangga pertama tertinggi jika hendak dibandingkan dengan sektor kecil yang lain dari segi jumlah pekerjaan yang digunakan.
Sehingga 31 Disember 2006, bilangan pekerja mahir (merujuk kepada kategori Pengurusan & Profesional, Jurutera, Eksekutif & Penyeliaan serta Juruteknik) yang diperlukan oleh bidang Elektronik/Elektrikal adalah sebanyak 60.75 peratus (43,930 orang) daripada keseluruhan jumlah pekerja mahir dalam sektor perindustrian iaitu 72,308 orang. Bilangan ini juga merupakan yang tertinggi jika dibandingkan dengan bidang lain.
Bagi tahun 2007 melalui survey yang dijalankan oleh SERI, sektor Elektronik/Elektrikal memerlukan tenaga kerja tambahan sebanyak 5,529 orang iaitu 992 jurutera, 298 profesional IT, 438 juruteknik, 3,668 operator pengeluaran dan 133 pekerja mahir lain. Maklumat ini adalah seperti di Lampiran B.
Statistik bagi pekerja mahir yang berkelayakan peringkat sijil, diploma dan sarjana muda khusus untuk Bidang Elektronik, Elektrikal dan Mekanikal yang dikeluarkan oleh institusi-institusi tempatan tidak diperolehi. Bagaimanapun daftar masuk di institusi pendidikan tinggi mengikut peringkat pengajian bagi tahun 2000 – 2010 seperti yang dinyatakan dalam RMK-9 adalah seperti di Lampiran C.
Merujuk kepada Rancangan Malaysia ke-9, untuk tahun 2006 – 2010, daftar masuk di peringkat lepasan ijazah akan ditambah untuk mencapai sasaran 25 peratus daripada jumlah enrolmen di peringkat ijazah pada tahun 2010. Program khusus akan dilaksanakan bagi meningkatkan enrolmen pelajar peringkat lepasan ijazah terutamanya dalam program berkaitan Sains & Teknologi. Dalam tempoh RMK-9, enrolmen di institusi pendidikan tinggi di semua peringkat pengajian dijangka meningkat kepada 1,326,340 pada tahun 2010. Daripada jumlah ini, 32.3 peratus di peringkat ijazah pertama dan 35.8 peratus di peringkat diploma. Lebih banyak kursus terutamanya di peringkat diploma akan ditawarkan bagi memenuhi permintaan terhadap kategori pekerjaan juruteknik dan profesional bersekutu yang dijangka meningkat.
Walaupun Malaysia mempunyai bekalan sumber manusia berbakat, namun terdapat kekurangan tenaga pekerja mahir dalam bidang khusus seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri berteknologi tinggi.
Pada dasarnya, permintaan terhadap profesional dan pekerja mahir terus meningkat dari masa ke semasa, namun jumlah tenaga kerja tersebut adalah terhad. Antara punca kekurangan pekerja berkemahiran tinggi terjadi adalah disebabkan oleh ketidaksesuaian kemahiran dengan keperluan industri. Pada masa yang sama, persaingan berlaku untuk mendapatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi akibat kemajuan teknologi dan globalisasi.
Bagi mengatasi kekurangan pekerja mahir, pelbagai tindakan telah diambil sama ada oleh pihak kerajaan dan pihak industri sendiri bagi mengurangkan jurang penawaran kemahiran pekerja yang dinyatakan dalam IMP3 dan RMK-9 iaitu:-
(i) Mengurangkan nisbah guru : pelajar kepada 1:25 dan membina lebih banyak kolej teknikal, vokasional dan komuniti bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan sekolah memperolehi kemahiran yang relevan.
(ii) Menyediakan kualiti pendidikan yang baik dengan melaksanakan program komprehensif bagi memajukan sumber manusia negara di mana setiap tahun bidang pendidikan dan latihan diperuntukkan perbelanjaan terbesar, dalam belanjawan negara manakala perkhidmatan dan kemudahan pendidikan dan latihan dipertingkatkan secara berterusan.
(iii) Kandungan program pendidikan dan latihan juga dikemaskini bagi menepati keperluan semasa di samping insentif dan kemudahan juga disediakan untuk rakyat mendapatkan kemahiran dan kelayakan baru, termasuk bagi mereka yang sudah pun bekerja.
(iv) Menubuhkan rangkaian antara institusi pendidikan tinggi, alumni dan industri bagi meningkatkan pembangunan kerjaya, latihan dan R&D.
(v) Mengukuhkan program internship bagi pelajar peringkat tertiari dengan mengadakan kurikulum berasaskan industri sesuai dengan perubahan keperluan industri.
(vi) Menggubal sistem pendidikan yang menggalakkan budaya inovasi di samping menggalakkan lebih ramai majikan menjalankan latihan semasa kerja dan juga penerapan budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk terus meningkatkan kemahiran dan peluang mendapat pekerjaan.
(vii) Mengkaji semula sistem pendidikan (peringkat rendah, menengah dan tertiari) bagi meningkatkan orientasi saintifik, teknologi dan perniagaan dalam kurikulum sekolah serta menerapkan budaya R&D.
(viii) Menggalakkan lebih banyak kemasukan pelajar ke dalam sistem pendidikan tertiari, terutamanya dalam bidang teknikal, saintifik dan kejuruteraan di samping mensasarkan pencapaian nisbah 60:40 bagi kemasukan pelajar dalam aliran sains dan sastera pada peringkat sekolah menengah menjelang 2010 dan peringkat tertiari menjelang 2015.
(ix) Meningkatkan kerjasama antara pihak industri, awam dan pihak akademik, khasnya dalam memastikan keluaran sistem pendidikan dapat memenuhi keperluan industri dan memudahkan perkongsian pengetahuan antara sektor industri dan akademik serta menyumbang ke arah lebih banyak R&D dalam pasaran.
(x) Pihak industri menyediakan lebih banyak peluang bagi bakal graduan menjalani latihan di premis industri dalam tempoh pengajian.
Pembangunan sumber manusia merupakan elemen terpenting dalam memastikan Negeri Pulau Pinang terus berdaya saing dan berdaya tahan. Adalah perlu kualiti pendidikan diutamakan, supaya warga Malaysia khususnya rakyat Negeri Pulau Pinang dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi.
Sektor industri di Pulau Pinang memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang pekerjaan yang lebih spesifik seperti design, microelectronics dan precision instruments. Pada masa ini berlaku skill mismatch dan skill shortages kerana bilangan tenaga mahir walaupun ramai dikeluarkan namun ianya belum dapat menjamin employability.
Antara tindakan yang diambil di peringkat Negeri Pulau Pinang ialah dengan penubuhan beberapa institusi seperti PSDC, JMTI, TARC, Politeknik, Pusat Giat Mara, IPTTAR dan sebagainya bagi memastikan pewujudan kerja, pengambilalihan kemahiran dan pertumbuhan industri adalah menepati keperluan pengembangan ekonomi. Di samping itu, projek pembangunan Institut Latihan Kemahiran yang bertujuan untuk melatih belia lepasan sekolah seperti yang termaktub dalam RMK-8 telah diluluskan. Dua (2) buah Institut Latihan Perindustrian telah dibina di Kepala Batas dan Nibong Tebal, Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Tinggi Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negeri. Dengan pembinaan institut-institut latihan baru tersebut, Jabatan Tenaga Manusia telah berupaya memberi peluang kepada lebih ramai pelajar lepasan sekolah dan pekerja untuk melanjutkan latihan dalam bidang teknikal. Dengan adanya institusi latihan tenaga mahir ini, Negeri Pulau Pinang akan mampu mengeluarkan tenaga mahir teknikal yang terlatih untuk memenuhi keperluan negara.
PSDC sendiri merupakan salah satu pusat latihan terbaik di Malaysia. Ia ditubuhkan untuk memenuhi permintaan terhadap golongan profesional dan pekerja mahir yang terus meningkat. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan dapat menepati keperluan tenaga buruh sektor industri di Pulau Pinang.
Selain itu, kerajaan negeri juga telah menjalankan kerjasama dengan pihak PERDA dalam melaksanakan program-program latihan kemahiran yang dikhususkan kepada golongan belia lepasan sekolah.
Untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir ini juga, selain dari usaha melatih tenaga mahir yang baru, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah mewujudkan dana khusus untuk memanggil semula tenaga mahir yang bekerja di luar negara untuk pulang berkhidmat di Pulau Pinang. Dengan kemasukan semula tenaga mahir ini, pengalaman dan pengetahuan mereka dapat digunakan untuk tujuan pembangunan ekonomi negeri. Seterusnya kemahiran mereka ini juga dapat diperluaskan kepada tenaga-tenaga pekerja baru yang ingin dilatih.
Kerajaan negeri akan terus mengenal pasti tindakan yang perlu di ambil dari masa ke semasa bagi menambah baik kekurangan tenaga buruh di negeri ini.