Jawapan
Sememangnya nama Kapten Sir Francis Light sudah tidak asing lagi dengan sejarah moden Negeri Pulau Pinang, bahkan sejarah moden negara kita dan rantau ini. Tidak dapat dinafikan bahawa beliau yang menjejakkan kakinya di Pulau Pinang pada tahun 1786 adalah pengasas pelabuhan moden dan pengasas yang membina bandar George Town bagi Negeri Pulau Pinang.
Inisiatif beliau bagi pihak East India Company pada waktu itu, seterusnya disusuli oleh usaha dan sumbangan dari pedagang-pedagang lain yang datang kemudian. Usaha mereka ini telah memperkenalkan negeri dan rantau ini ke dunia perdagangan antarabangsa. George Town telah berkembang sebagai sebuah pusat pentadbiran, perhubungan dan perdagangan antarabangsa di rantau ini. Semua ini telah menjadikan asas untuk membawa kemajuan dan pembangunan yang pesat kepada Negeri Pulau Pinang sejak waktu itu sehingga sekarang.
Walaubagaimanapun, seperti yang kita semua ketahui juga, sebelum kedatangan Kapten Sir Francis Light dan juga East India Company ke sini, Pulau Pinang dan Seberang Perai sebenarnya berada di bawah jajahan dan pentadbiran Kerajaan Kesultanan Kedah.
Oleh itu, Pulau Pinang dan Seberang Perai memang telah wujud sebelum kedatangan Kapten Sir Francis Light dan telah mempunyai penghuni asalnya. Rekod dan penulisan sejarah tempatan menyatakan bahawa beberapa kumpulan tiba dan mewujudkan petempatan (settlement) di Negeri Pulau Pinang sebelum kedatangan Kapten Sir Francis Light. Antaranya adalah kedatangan Datuk Keramat dari Acheh pada 1705 dan Datuk Jannaton dari Sumatera bersama-sama sekumpulan 180 orang pengikutnya pada 1749.
Terdapat juga catatan dalam rekod sejarah China yang mengatakan terdapat 58 nelayan kaum Cina yang menetap di Negeri Pulau Pinang sebelum 1786. Tiga orang di antara nelayan ini adalah Zhang Li, Qiu Zhaoxiang dan Ma Fuchun yang menangkap ikan di perairan Tanjong Tokong. Mereka bertiga dikatakan telah datang ke Pulau Pinang pada tahun 1745. Kubu mereka sekarang masih berada di belakang tokong di Tanjung Tokong.
Selain itu, catatan Kapten Sir Francis Light sendiri menyatakan bahawa, selepas 4 hari beliau mendarat di Pulau Pinang, beliau menemui 30 orang penduduk Melayu yang memanggil tempat ini sebagai Tanjung Penaga.
Oleh itu, mungkin adalah kurang tepat sekiranya Kapten Sir Francis Light digelarkan sebagai “pengasas Pulau Pinangâ€. Adalah lebih tepat sekiranya beliau dikenali sebagai pengasas dan pembuka pelabuhan moden di Negeri Pulau Pinang dan pembuka bandar George Town.
Mengenai isu ini, sumbangan ahli-ahli sejarah yang berminat dialu-alukan untuk terus melakukan penyelidikan yang lebih menyeluruh dan mendalam, dengan berdasarkan bukti-bukti yang kukuh dan sahih.