MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Apakah langkah-langkah yang telah, sudah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan tempatan bagi mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan negeri ini.
Dun -
Exco THN
Perkara Alam Sekitar

Jawapan
Kerajaan Tempatan telah melancar dan melaksanakan pelbagai jenis kempen dengan tujuan mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan negeri Pulau Pinang.

Antara lain MPPP telah menjalankan pendidikan awam melalui cara-cara berikut:

1. Penerbitan Majlis

MPPP telah menerbitkan beberapa risalah yang berkaitan dengan kebersihan seperti Kebersihan Kebanggaan Kita dan Amalkan Kitar Semula. Risalah ini diletakkan berdekatan kaunter tingkat 3, Komtar, bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya. Dalam usaha Majlis untuk menyampaikan mesej kepada setiap lapisan masyarakat, risalah diterbitkan dalam 4 bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Selain itu, Majlis juga dalam usaha menerbitkan sebuah buku panduan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan Majlis yang melibatkan kebersihan iaitu Buku Penduduk Budiman.

2. Ceramah dan Bengkel

MPPP telah mengadakan ceramah dan bengkel bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kebersihan. Selain dari itu MPPP juga mengadakan ceramah kesihatan.

Pada tahun 2006, sebanyak 187 ceramah kesihatan telah diadakan untuk pengendali makanan dan sebanyak 668 untuk murid sekolah. Sehingga Mac 2007 pula, sebanyak 45 ceramah untuk pengendali makanan diadakan dan 109 ceramah untuk murid sekolah. Ceramah dan bengkel seperti ini amat penting kerana pengendali makanan harus menjaga kebersihan persekitaran supaya makanan yang dijual kepada orang ramai terjamin kebersihannya. Manakala ceramah yang diadakan di sekolah-sekolah pula amat baik untuk murid-murid sekolah memandangkan mereka ini golongan muda yang harus dididik dari awal persekolahan.

MPPP turut juga mengadakan ceramah mengenai kitar semula kepada penduduk di beberapa kawasan perumahan. Ini adalah salah satu usaha Majlis bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan kitar semula kerana ia dapat membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan. Sepanjang tahun 2006, sebanyak 25 sesi ceramah telah diadakan. MPPP juga berjaya mengumpulkan sebanyak 73,693 tan bahan kitar semula.

MPPP telah juga melaksanakan 502 kempen di bawah Kempen Anti Nyamuk dan Kebersihan sepanjang tahun 2006.

3. Pameran

Sebanyak 37 pameran kesihatan dan 8 pameran kitar semula telah diadakan sepanjang tahun 2006. Pameran seperti ini, terutama di sekolah-sekolah, akan dapat meningkatkan kefahaman murid-murid sekolah mengenai kesihatan dan kitar semula ke arah mempertingkatkan kebersihan.

4. Media Cetak dan Elektronik

Media cetak dan elektronik merupakan saluran yang paling berkesan untuk mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan. Melalui media cetak, MPPP telah menyiarkan senarai kontraktor yang bertanggungjawab bagi membantu Majlis mengutip sampah di sekitar negeri ini. Dengan tersiarnya maklumat ini, orang ramai dapat menghubungi kontraktor terlibat sekiranya sampah sarap di kawasan mereka tidak dikutip dengan sempurna. Selain itu, MPPP turut mencetak poster-poster mengenai kebersihan dan ditempatkan di kawasan yang sering dikunjungi oleh orang ramai seperti di perhentian bas, light box di kawasan pejalan kaki dan billboard di tepi jalan.
Melalui media elektronik pula, Majlis turut memaparkan mesej-mesej mengenai kebersihan melalui papan LED.

5. Aktiviti Masyarakat

Sebanyak 159 gotong royong dan 50 operasi COMBI (Community Behavioural Intervention) telah diadakan sepanjang tahun 2006.

Antara aktiviti masyarakat yang turut dilakukan oleh MPPP ialah Program Pengasingan Sampah dan Projek Perintis Rangkaian Kitar Semula Tempatan. Aktiviti itu dilakukan dengan kerjasama oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) ke arah matlamat bahan buangan sifar (zero waste). Projek ini melibatkan penduduk di kawasan Tanjung Bungah. Sebanyak 409 buah rumah yang terlibat.

Satu lagi aktiviti masyarakat yang dilaksanakan oleh Majlis ialah Program Kitar Semula Komputer Terpakai. Melalui program ini, orang ramai boleh menghantar komputer terpakai mereka untuk dikitar semula. Dengan ini, diharap pembuangan sampah elektronik (e-waste) dapat dilaksanakan secara teratur.

Sepertimana dibuat oleh MPPP, MPSP juga telah, sedang dan akan terus mengambil langkah-langkah bagi mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan negeri ini seperti berikut:

(i) Mengadakan projek gotong royong pembersihan di kawasan perumahan sebagai pemangkin bagi menyedarkan orang ramai tentang kepentingan kebersihan.

(ii) Mengadakan ceramah/sesi kempen kesedaran kebersihan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan seperti Rukan Tetangga, JKKK, Persatuan Penduduk dan Pengilang serta murid-murid sekolah.

(iii) Menyelitkan program pertandingan melukis di kalangan murid-murid sekolah/tadika/taska dalam karnival kitar semula.

(iv) Mempromosikan kempen kitar semula dan menggalakkan aktiviti kitar semula melalui skim insentif kepada penggiat kitar semula yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

(v) Kempen kesedaran menerusi media massa dan akhbar.

(vi) Menguatkuasakan undang-undang kecil yang digunapakai PBT.

(vii) Mengadakan pertandingan kebersihan di antara skim perumahan/ kampung.

(viii) Mempromosikan kempen pengkomposan sisa makanan di kawasan perumahan.

(ix) Melaksanakan program pengasingan bahan kitar semula di punca / pintu rumah (separation of recyclables / non-recyclables at source).






Kembali