Jawapan
Stor Kastam yang sedia ada di Kg Kastam, Bagan Jermal, tidak dapat menampung simpanan barang-barang rampasan seperti kenderaan, minuman keras, rokok dan kontena yang ditahan untuk siasatan. Stor ini telah didirikan pada tahun tujuh puluhan dan dalam keadaan uzur serta mempunyai ruang yang terhad. Seringkali barang-barang rampasan terpaksa disimpan di luar kawasan stor. Keadaan ini menjejaskan keselamatan barang dan penduduk kuarters juga tidak berpuashati dan bimbang tentang keselamatan kanak-kanak yang bermain di kawasan simpanan barang tersebut.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-9, Jabatan Kastam telah mendapat peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membaikpulih dan membesar stor tersebut. Cadangan perluasan kawasan stor ini memerlukan blok JKR 1225 di robohkan. Pangsapuri blok JKR 1225 tersebut terdiri daripada rumah kelas H dengan keluasan lantai 685 kp dan mempunyai hanya dua bilik. Bangunan pangsapuri lama ini mengalami masalah pendawaian, pembetungan dan juga tidak lagi sesuai untuk diduduki oleh pegawai. Pihak Jabatan mulanya bercadang untuk mengubahsuai rumah tersebut menjadi 3 bilik, tetapi ruang yang sedia ada terlalu kecil maka cadangan tidak dapat dilaksanakan. Sehubungan ini untuk memberi keselesaan kepada penghuni, Jabatan Kastam akan memindahkan penghuni pangsapuri JKR 1225 ke blok kuarters kelas G yang lebih selesa dengan keluasan rumah 880 kaki persegi dan 3 bilik, di kawasan perumahan yang sama.
Stor yang akan dibina bukan gudang kastam seperti yang terdapat di pelabuhan, untuk menyimpan barang-barang yang diimport. Stor ini merupakan gudang untuk menyimpan barang-barang rampasan Kastam. Jabatan Kastam tidak mempunyai tanah lain di sekitar Perai untuk pembinaan stor.