Jawapan
Jabatan Pelajaran Negeri hanya akan menempatkan pelajar cemerlang dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) (C) daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan ke tingkatan satu (1) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam. Pelajar cemerlang yang tidak dapat ditawarkan ke SMJK Jit Sin akan ditempatkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, SMK Jalan Damai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam dan SMK Seri Nibong, memandangkan SMJK Jit Sin cuma boleh membuka kelas tingkatan satu sebanyak empat belas (14) kelas sahaja dan pada masa kini jumlah pelajar di sekolah tersebut melebihi 3,200 pelajar. Berikutan daripada keputusan yang dicapai oleh para pelajar dari SRJK (C) di Seberang Perai Tengah dan Selatan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semakin baik, persaingan untuk mendapat tempat di tingkatan satu (1) SMJK Jit Sin dalam tahun-tahun kebelakangan ini makin sengit. Pilihan mereka ke tingkatan satu (1) SMJK Jit Sin pada asasnya adalah berdasarkan keputusan yang mendapat 7A hampir sama dengan bilangan tempat yang sedia ada di tingkatan satu (1) di SMJK Jit Sin, maka bilangan tempat yang sedia ada untuk mereka yang mendapat 6A 1B adalah terbatas dan mungkin tidak memenuhi kehendak mereka itu yang ingin belajar di SMJK Jit Sin. Kelas-kelas tambahan tidak dapat dibuka untuk menampung mereka ini kerana jumlah pelajar yang sedang menuntut di sekolah ini sudah jauh melebihi saiz optimum bagi sekolah menengah.