Jawapan
Buat masa ini kedua-dua Majlis Perbandaran belum ada rancangan untuk menyediakan tapak khas bagi meletakkan kenderaan berat. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat pihak swasta yang berminat untuk berbuat demikian, ianya dialu-alukan dan kerjasama akan diberi oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Mulai tahun 2006, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebagai pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan permit untuk kenderaan berat telah membuat peraturan baru iaitu permohonan permit kenderaan berat perlu disertakan dengan surat sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum permit dikeluarkan. Tujuan keperluan surat sokongan tersebut adalah untuk pemohon memaklumkan serta memohon kebenaran daripada PBT bagi meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan tertentu. PBT akan memastikan pemilik perlu mempunyai tempat letak kenderaan berat di atas tanah milik peribadi sebelum sokongan diberi kepada pihak LPKP.
Dari segi perundangan tidak ada peruntukan khas dimana kenderaan berat dilarang meletak di taman-taman perumahan. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak dapat mengambil tindakan terhadap kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan kerana jalan awam di taman perumahan tidak diwartakan sebagai kawasan tempat meletak kenderaan. Tindakan kompaun hanya boleh diambil oleh MPPP bagi kenderaan berat yang diletakkan di atas siar kaki awam kerana mendatangkan halangan di bawah Seksyen 46(g), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mengambil tindakan terhadap kenderaan berat yang diletak dalam kawasan perumahan bagi tahun 2006 mengikut daerah seperti berikut:
Seberang Perai Utara - 155 kes
Seberang Perai Tengah - 419 kes
Seberang Perai Selatan - 278 kes
Bagi kesalahan yang akan datang laporan akan diberikan kepada LPKP untuk tindakan.