MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Berikan semua nama-nama syarikat serta amaun keuntungan atau kerugian yang dialami oleh syarikat yang dimilik penuh atau subsidiari oleh PDC serta syarikat yang berusahasama dengan PDC pada tahun 2006.
Dun -
Exco YABKM
Perkara Ekonomi

Jawapan
Setakat ini, bilangan anak syarikat milikan penuh, anak syarikat (milikan majoriti), syarikat bersekutu (milikan minoriti) dan syarikat usahasama lain di mana PDC telah melabur dan memegang ekuiti adalah sebanyak 34, seperti yang dirumuskan berikut:

Syarikat
Ekuiti
PDC
(%)
Bilangan Syarikat
Aktif Dorman Jumlah
Anak Syarikat
Milikan Penuh 100% 7 4 11
Anak Syarikat
(Milikan Majoriti) 51 – 99% 3 - 3
Syarikat Bersekutu
(Milikan Minoriti) 20 – 49% 10 4 14
Usahasama yang lain Kurang
dari 20% 5 1 6
Jumlah 25 9 34

Jadual di atas menunjukkan syarikat-syarikat pelaburan PDC yang mana pegawai-pegawai PDC sediada telah dilantik sebagai wakil pengarah dalam lembaga-lembaga syarikat tersebut. Ianya tidak termasuk syarikat-syarikat yang tidak mempunyai wakil pengarah daripada pegawai-pegawai PDC yang mana PDC memegang peratusan ekuiti yang agak kecil, atau syarikat-syarikat yang berada di bawah pembubaran dan telah berhenti operasi.

Lampiran 1 menunjukkan maklumat mengenai nama syarikat, sektor, ekuiti PDC, dan keuntungan atau kerugian selepas cukai bagi tahun kewangan 2006. Bagaimanapun, 22 syarikat telah mengemukakan akaun beraudit atau deraf beraudit bagi tahun kewangan 2006. Kedudukan kewangan bagi 12 syarikat lain masih belum dikemukakan oleh sebab akaun bagi syarikat-syarikat tersebut masih belum diaudit atau dalam proses audit. Daripada jumlah ini, dua (2) merupakan anak syarikat milikan penuh, lima (5) syarikat bersekutu dan lima (5) syarikat usahasama yang lain.

Secara keseluruhannya, bagi tahun 2006, kedudukan kewangan anak-anak syarikat yang mana PDC mempunyai kawalan penuh atau majoriti adalah baik, yang mana syarikat-syarikat tersebut telah mencapai jumlah keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM8.0 juta (iaitu sebanyak RM7.71 juta bagi anak syarikat milikan penuh dan RM292,428 bagi anak syarikat milikan majoriti [ekuiti 51% hingga 99%]). Manakala syarikat-syarikat usahasama PDC yang mana PDC tiada kawalan majoriti (ekuiti 49% dan kurang) telah mengalami jumlah kerugian bersih sebanyak RM5.74 juta bagi syarikat-syarikat bersekutu [ekuiti 20% hingga 49%] dan RM2.68 juta bagi syarikat-syarikat usahasama yang lain [ekuiti kurang dari 20%]).

Pada tahun 2006, PDC memiliki 11 anak syarikat milikan penuh di mana tujuh (7) adalah aktif dan empat (4) adalah dorman. Daripada anak-anak syarikat yang aktif, empat (4) syarikat telah memperolehi keuntungan dan dua (2) memperolehi kerugian. Syarikat-syarikat yang merekodkan keuntungan adalah PDC Premier Holdings Sdn Bhd, PDC Properties Sdn Bhd, PDC Events & Advertising Sdn Bhd dan PDC Consultancy Sdn Bhd. Island Golf Properties Bhd telah merekodkan kerugian sebanyak RM1.73 juta. Kerugian tersebut adalah disebabkan oleh kos-kos operasi dan pentadbiran syarikat yang tinggi, di mana majoriti kos adalah daripada peruntukan hutang lapuk (‘provision of doubtful debts’) dan kos pembaikan dan penyelenggaraan padang golf.


PDC Agrotech Sdn Bhd merupakan syarikat baru yang ditubuhkan pada 9 Mei 2006 dan bermula operasi pada 6 Oktober 2006. Syarikat ini masih mengalami kerugian sebanyak RM17,831 bagi lapan (8) bulan pertama permulaan perniagaan. Syarikat tersebut masih belum memperolehi hasil dan kerugian adalah daripada kos pentadbiran syarikat. Daripada syarikat-syarikat yang dorman, sebuah anak syarikat iaitu PDC BK Land Sdn Bhd telah memperolehi keuntungan sebanyak RM9,169, manakala dua (2) anak syarikat iaitu DCT Consultancy Services Sdn Bhd dan Pen-Urus Harta Sdn Bhd telah merekodkan kerugian disebabkan oleh perbelanjaan pentadbiran sahaja.


Daripada tiga (3) anak syarikat PDC (ekuiti 51% hingga 99%), PDC Nusabina Sdn Bhd dan PDC Telecommunication Services Sdn Bhd telah memperolehi keuntungan sebanyak RM664,026 dan RM25,090 masing-masing pada tahun 2006. PDC Aquaculture Sdn Bhd merupakan syarikat baru yang hanya memulakan perniagaan pada 1 Februari 2006. Syarikat tersebut masih mengalami kerugian sebanyak RM396,688 pada tahun permulaan operasinya disebabkan oleh kos operasi awalan yang tinggi.

Daripada 14 syarikat bersekutu (milikan minoriti), hanya sembilan (9) syarikat yang telah mengemukakan akaun syarikat bagi tahun 2006 di mana empat (4) syarikat aktif iaitu Business & Budget Hotels (Penang) Sdn Bhd, Bukit Mertajam Specialist Hospital Sdn Bhd, KDPP Holdings Sdn Bhd dan Penang Commercial & Industrial Development Bhd telah memperolehi keuntungan. Dua (2) syarikat aktif telah mengalami kerugian, iaitu Worldwide Ventures Sdn Bhd (di mana pegangan ekuiti PDC hanya 30%) mencatatkan kerugian sebanyak RM7.32 juta disebabkan oleh penurunan dalam pendapatan syarikat dibandingkan dengan peningkatan dalam kos operasi syarikat dan kos kewangan. Bagaimanapun, PDC dalam proses penjualan Worldwide Ventures Sdn Bhd kepada IJM Properties Sdn Bhd. Penang Network Services Sdn Bhd (juga dengan pegangan ekuiti sebanyak 30%) pula telah mengalami kerugian sebanyak RM606,041 disebabkan oleh kerugian pelaburannya (‘impairment loss’) dalam syarikat-syarikat subsidiarinya.


Tiga (3) syarikat bersekutu yang dorman dan belum bermula operasi iaitu Business & Budget Hotels (Seberang Jaya) Sdn Bhd, PDC Heritage Sdn Bhd dan Bayan Baru Specialist Hospital Sdn Bhd telah mengalami kerugian disebabkan oleh perbelanjaan pentadbiran. Bagaimanapun, syarikat-syarikat tersebut mempunyai aset tanah masing-masing yang bernilai.

Di samping itu, PDC memegang ekuiti dalam enam (6) syarikat usahasama yang lain di mana ekuiti PDC adalah kurang dari 20%. Lima (5) syarikat tersebut adalah aktif dan sebuah adalah dorman. Daripada jumlah ini, hanya sebuah syarikat telah mengemukakan akaun syarikat iaitu Schott Glass (M) Sdn Bhd (dengan ekuiti PDC hanya 5.38%) yang telah mencatatkan kerugian sebanyak RM2.68 juta disebabkan oleh penurunan di dalam hasil syarikat berbanding dengan kos-kos operasi dan kewangan yang tinggi. Akaun syarikat bagi lima (5) syarikat lain masih belum diperolehi.

Yang harus ditegaskan ialah bagi syarikat-syarikat pelaburan PDC yang telah mencatatkan kerugian, tanggungan kerugian PDC maksima adalah terhad kepada pegangan ekuitinya dalam syarikat-syarikat masing-masing. PDC tidak terdedah kepada kerugian keseluruhan kerana selaras dengan Enakmen PDC, PDC tidak memberi ‘corporate guarantee’ kepada syarikat-syarikat tersebut. Adalah juga dimaklumkan bahawa semua kerugian tersebut hanya merupakan kerugian perakaunan (accounting loss) sahaja dan sepatutnya tidak boleh dianggap sebagai kerugian sehingga syarikat dibubarkan.

Walaubagaimanapun, polisi pelaburan PDC pada masa sekarang adalah supaya memegang ekuiti penuh atau majoriti (iaitu 51% dan lebih) dalam syarikat-syarikat pelaburannya supaya dapat kawalan yang penuh atau majoriti serta dapat menerajui pengurusan syarikat tersebut.


Kembali