MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEBELAS
Soalan Sejak mulanya Tahun Melawat Malaysia 2007, berapa jumlah pelancong-pelancong telah melawat Negeri Pulau Pinang. Apa langkah-langkah dan aktiviti-aktiviti seterusnya yang telah disediakan di Negeri Pulau Pinang untuk menarik lebih banyak lagi pelancong ke Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco TCY
Perkara Pelancongan

Jawapan
Jumlah pelancong asing yang telah melawat ke Pulau Pinang pada tahun tiga bulan pertama tahun 2007 adalah 134,286 orang pelancong. Pecahan jumlah pelancong mengikut negara asal adalah seperti jadual di Lampiran. Angka ini disediakan oleh Jabatan Imigresen Negeri berdasarkan kemasukkan terus di lapangan terbang dan pelabuhan sahaja.

Persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2007 telah dilaksanakan seawal bulan April tahun lepas. Enam (6) jawatankuasa telah diwujudkan dengan penglibatan agensi- agensi kerajaan negeri di dalam persediaan ini. Jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan adalah:

A) Jawatankuasa Pelancaran Kesedaran
B) Jawatankuasa Frontliners
C) Jawatankuasa Bertindak Kebersihan
D) Jawatankuasa Pesta Flora 2007
E) Jawatankuasa Acara-Acara Tahun Melawat Malaysia
F) Jawatankuasa Kemudahan Infrastruktur
Pendekatan persediaan adalah terbahagi kepada dua (2) pendekatan. Pertama, persediaan domestik atau setempat melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang tersebut di atas. Kedua ialah dari segi promosi tempatan dan antarabangsa.

Kesemua jawatankuasa tersebut telah dan sedang melaksana serta memantau aktiviti-aktiviti yang telah diputuskan dengan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.

A) Jawatankuasa Pelancaran Kesedaran
Majlis Tindakan Pelancongan Negeri telah mengadakan Majlis Pelancaran Kesedaran pada setiap daerah di Pulau Pinang iaitu:-

(i) Daerah Barat Daya : 12 Ogos 2006
(ii) Seberang Perai Tengah : 10 September 2006
(iii) Seberang Perai Utara : 16 & 17 September 2006
(iv) Seberang Perai Selatan : 16 September 2006
(v) Daerah Timur Laut : 17 September 2006

B) Jawatankuasa Frontliners
Seminar Mesra Malaysia telah dijalankan pada 31 Oktober 2006 hingga Januari 2007. Seminar ini melibatkan kakitangan `frontliner’ bagi sektor awam dan swasta seperti pihak hotel, pihak Kastam dan sebagainya. Tujuan seminar ini adalah untuk memastikan pihak-pihak tersebut dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong-pelancong yang dating dan memupuk sikap mesra pelancong. Mulai bulan Februari 2007, Syarikat Corporate Coach Sdn. Bhd. yang telah dilantik oleh Kementerian Pelancongan Malaysia adalah bertanggungjawab dalam menganjurkan kursus seperti “Think Tourism”, “Act Tourism” dan “Mesra Malaysia”.

C) Jawatankuasa Bertindak Kebersihan
Jawatankuasa bertanggungjawab ke atas keseluruhan tahap kebersihan di Negeri ini dan membuat cadangan serta maklum balas kepada agensi-agensi yang berkaitan.

D) Jawatankuasa Pesta Flora 2007
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyertai Perarakan Kereta Berhias sempena Pesta Flora 2007 yang diadakan pada 27 Januari di Putrajaya. Sempena Perarakan Kereta Berhias yang diadakan pada 27 Januari 2007, Negeri Pulau Pinang telah berjaya memenangi Anugerah Perdana.

E) Jawatankuasa Acara-Acara Tahun Melawat Malaysia
Jawatankuasa telah menetapkan 10 acara sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Jawatankuasa telah mengadakan mesyuarat koordinasi sebagai persediaan penganjuran acara-acara tersebut.

F) Jawatankuasa Kemudahan Infrastruktur
Jawatankuasa bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang supaya memastikan infrastruktur-infrastruktur asas sentiasa dalam keadaan sempurna dan diselenggara dari masa ke semasa.

Selain daripada itu, usaha penjenamaan semula beca telah dilaksanakan oleh KOPEL dengan tujuan menjadikannya lebih selesa dan digunakan sebagai satu produk pelancongan. Penjenamaan ini mendapat liputan meluas di seluruh Negara dan dalam beberapa majalah antarabangsa. Ini secara tidak langsung memberi persepsi yang baik terhadap imej Pulau Pinang

Pendekatan promosi tempatan dan antarabangsa pula telah dilaksanakan dengan pihak swasta iaitu P-MAH, MATTA, Association of Tourism Attractions Penang (ATAP) , Penang Tourism Centre (PTC), KOPEL dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Promosi melalui media elektronik bagi pasaran domestik terus dijalankan bagi tahun ini manakala pendekatan pengiklanan secara editorial dengan The Star dilanjutkan dengan surat khabar Nanyang Siang Pau dan Utusan Malaysia. Promosi pelbagai destinasi utara sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan MTPN Langkawi dan promosi destinasi pelancongan Wilayah Utara dijangka dimuktamadkan sedikit masa lagi. Sementara itu, promosi dua destinasi iaitu Pulau Pinang-Langkawi telah dipakejkan oleh pihak industri.

Dengan pengenalan penerbangan komuniti Firefly, usaha promosi bersama Pahang, Terengganu dan Kelantan sedang dalam perbincangan. Penglibatan sektor swasta dalam semua usaha ini adalah penting bagi memastikan kejayaan pakej-pakej ini.

Pasaran antarabangsa yang disasarkan adalah China, India, ASEAN, Australia dan Britain. Dari segi promosi, kerjasama dengan agensi pelancongan di Australia dan Tourism Malaysia di Australia telah dilaksanakan melalui penetapan sebuah agensi di Australia Barat sebagai titik rujuk bagi Pulau Pinang. Beberapa pakej khas telah diwujudkan oleh agensi tersebut yang juga bertindak sebagai penyebar dan koordinasi bahan promosi Pulau Pinang. Sebuah agensi pelancongan Oversea Australia, telah dilantik mewakili Pulau Pinang dalam pameran pelancongan di Melbourne dan Adelaide.

Bagi pasaran Singapura, kerjasama dengan NTUC Income Travel dan Konsortium Bas Persiaran telah dilaksanakan sejak tahun lepas dan diteruskan tahun ini dengan pakej yang disediakan bersama pihak perhotelan.

Manakala pasaran India pula, kerjasama promosi telah diwujudkan bersama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Promosi strategik ini yang bermula Jun tahun lepas akan tamat pada bulan depan. Laporan awal menunjukkan sambutan yang menggalakkan.

Beberapa siri perbincangan penerbangan charter dari Britain, Jepun dan Vietnam sedang dilaksanakan oleh pihak perhotelan dan industri pelancongan tempatan. Hasil daripada pengenalan Firefly ke Selatan Thailand iaitu Koh Samui dan Phuket, pihak industri boleh mengharapkan bilangan pelancong asing meningkat.

Kerjasama dengan Tourism Malaysia merupakan aspek terpenting promosi antarabangsa kerana mereka mempunyai pejabat-pejabat di luar negara. Program familiarisation dan lawatan media masih diteruskan sebagai salah satu cara promosi. Pendekatan ‘reversed marketing’ dengan pihak perhotelan juga telah dirancang supaya kesannya lebih memanfaatkan industri tempatan. Penyertaan di pameran antarabangsa bersama Tourism Malaysia adalah disasarkan kepada pameran yang berpotensi untuk Pulau Pinang seperti di Arabian Travel Mart, Internationale Tourisme Bourse, Asean Travel Forum, Discovery Malaysia di Singapura dan lain-lain lagi.

Rundingan sedang dijalankan dengan MATTA bagi menggalakkan lebih banyak agensi pelancongan tempatan menyediakan pakej 'inbound travelling'. Tanpa penglibatan agensi pelancongan ‘inbound’, usaha ke arah mendapatkan lebih ramai pelancong tidak akan dapat mencapai kesan maksimanya.

Acara-acara yang akan dirancang diadakan sepanjang tahun 2007 sempena Tahun Melawat Malaysia adalah seperti di Lampiran 2.
Kembali