Jawapan
Pembangunan yang pesat di Kepala Batas akan memberikan faedah secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk Kepala Batas khususnya penyediaan peluang pekerjaan baru. Kegiatan ekonomi utama di kawasan ini dahulunya hanya berasaskan kepada aktiviti pertanian sahaja. Tetapi kini telah menjurus ke sektor lain seperti pembinaan, perniagaan, perkhidmatan, pendidikan dan sebagainya. Dalam sektor pembinaan sebagai contoh, selain daripada kontraktor tempatan diberi peluang melaksanakan projek-projek kecil di bawah RM200,000.00, penduduk tempatan juga berpeluang bekerja dalam sektor binaan. Malah didapati juga kontraktor utama yang melaksanakan projek besar telah menawarkan kerja-kerja tertentu kepada kontraktor-kontraktor tempatan atau dijalankan secara usaha sama.
Begitu juga dalam sektor perkhidmatan seperti perbankan, guaman, restoran dan sebagainya telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terlibat dalam aktiviti-aktiviti ini.
Selain itu, ruang-ruang niaga yang disediakan seperti di Kompleks Perniagaan Dato’ Kailan, gerai-gerai yang dibina oleh MPSP dan Pejabat Daerah telah banyak memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan atau sekurang-kurangnya dapat bekerja di kedai-kedai tersebut.
Pelbagai kemudahan pendidikan turut disediakan seperti Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Perindustrian telahpun beroperasi serta Maktab Sains Rendah MARA dan Kolej Perubatan Sains yang sedang dilaksanakan di Kepala Batas. Ini akan mewujudkan spin off dari segi pekerjaan dikalangan penduduk tempatan seperti memasak, pekerjaan mencuci bangunan dan membersih kawasan. Kemudahan pendidikan ini yang bermatlamat menghasilkan generasi yang dilengkapi ilmu juga memberi manfaat secara langsung kepada penduduk kawasan ini sama ada diberi keutamaan untuk memasuki institusi berkenaan mahupun kemudahan yang diperolehi.
Dari aspek pertanian, Pusat Industri Asas Tani yang terletak di Kompleks Dato’ Kailan telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada 2 orang penduduk tempatan. Manakala 2 projek Kompleks Pengumpulan Ladang sedang dalam pembinaan iaitu di Kampung Selamat dan Kampung Merbau Kudung, Tasek Gelugor. Projek yang dijangka siap dalam bulan Jun dan Julai 2007 akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang dianggarkan seramai 20 orang.
PERDA pula telah memulakan Projek IKS Asas Tani di Kubang Menderong yang akan beroperasi pada Jun 2007. Projek ini akan memberi peluang kepada 15 usahawan IKS untuk terlibat dalam program inkubator produk usahawan yang secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka. Untuk jangka panjang iaitu dalam tempoh lima tahun, projek ini dijangka dapat memberi peluang kepada 150 usahawan IKS berasaskan pertanian untuk meningkatkan pengeluaran dan penambahan pendapatan.
Selain itu, Projek Ternakan Kambing PERDA yang terletak di Kubang Menderong juga memberi peluang pekerjaan melalui pelaksanaan Sistem Buy Back dengan memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menternak anak-anak kambing dan akan dibeli semula oleh PERDA untuk pemasaran. Sehingga kini, seramai 3 peserta terlibat dalam program ini dan ianya akan bertambah dari semasa ke semasa dengan jangkaan penglibatan 5 peserta setiap tahun.
Dalam program pembangunan e-komuniti, PERDA sentiasa memberi peluang kepada pengusaha Pusat Latihan Komputer untuk terlibat dalam program usahasama menyediakan latihan IT kepada penduduk setempat. Sehingga kini 2 Pusat Latihan Komputer di Kepala Batas telah menerima faedah ini dan akan ditambah mengikut permohonan.
Selain itu, Dasar Automotif Negara telah meletakkan Bertam sebagai salah sebuah Pusat Automotif. Pembinaan kilang NAZA yang sedang dijalankan adalah merupakan kunci utama segmen ini. Kilang automotif NAZA ini terletak di tapak industri seluas 838 ekar. NAZA telah memperuntukkan sebanyak RM1bilion untuk membina kilang tersebut. Pembinaannya telah bermula sejak Ogos 2006 dengan jangkaan tenaga kerja 3,500 orang apabila beroperasi sepenuhnya nanti. Pembinaan Armstrong Auto Parts sebagai pembekal komponen kenderaan melengkapkan peranan tapak ini. Kilang komponen automotif ini akan dibina di atas tapak industri seluas 46 ekar. Ini akan menawarkan peluang pekerjaan kepada 1,400 pekerja yang dijangka bertugas di kilang ini nanti.
Pengambilan balik tanah seluas 130.2 ekar di Bertam oleh PDC bagi dijadikan Pusat Pentadbiran Daerah SPU telah memberi banyak kemudahan kepada masyarakat setempat, membantu pertumbuhan industri hartanah, perkhidmatan dan pembinaan yang dapat menjana banyak pekerjaan. Setakat ini 98.19 ekar atau 95.8 peratus daripada tanah di kawasan tersebut telah dijual kepada jabatan/agensi kerajaan. Antara jabatan/agensi yang telah membeli tanah di pusat pentadbiran Daerah SPU tersebut ialah:-
1. Majlis Perbandaran Seberang Perai
2. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang
3. Perpustakaan Awam
4. Mahkamah Syariah
5. Majlis Agama Islam Pulau Pinang
6. Jabatan Kerja Raya
7. Pejabat Daerah Seberang Perai Utara
8. Dewan Millenium
9. Jabatan Kesihatan
10. JPM (Bah.Undang-undang)
11. JPM (Bah.Bangunan)
12. Polis DiRaja Malaysia
13. Jabatan Pendidikan
14. Jabatan Bomba
15. Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang
16. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
17. Yayasan Budi Penyayang Malaysia
18. UDA
19. UDA Holding Sdn. Bhd.
Projek Pembangunan Koridor Utara (NCER) yang sedang dalam proses penyediaan Pelan Induk juga dijangka akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih besar. Melalui pelan tindakan yang dirangka, fokus utama NCER akan diberi kepada lima sektor seperti pertanian, pelancongan, infrastruktur, pendidikan dan pembuatan yang akan diberi nafas baru melalui amalan-amalan moden dan lebih sistematik. Melalui projek pembangunan NCER ini kelak, dijangkakan peluang pekerjaan kepada penduduk Kepala Batas dan Pulau Pinang secara amnya akan bertambah luas.
Secara amnya, pembangunan yang berlaku di Kepala Batas telah banyak memberi manfaat kepada penduduk tempatan sama ada dari aspek peluang pekerjaan, mahupun kemudahan perkhidmatan yang disediakan. Ini dapat dilihat dari pertambahan unit perumahan kediaman, ruang niaga, pejabat Kerajaan dan swasta, pertambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi pelbagai bidang. Pembangunan yang pesat Bandar Bertam ini telah merangsangkan pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan pendapatan purata penduduk Kepala Batas.