Jawapan
Rapid Penang akan mula menyediakan perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang pada 1 Ogos 2007.
Kekerapan perkhidmatan bas yang telah dicadangkan oleh Rapid Penang adalah di antara 20 hingga 30 minit untuk laluan utama dan 30 hingga 60 minit untuk laluan sosial dan perkampungan. Rapid Penang sedang mengkaji kadar tambang yang perlu ditetapkan untuk perkhidmatan bas awam yang akan disediakan. Kadar yang dicadangkan ini akan dikemukakan kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan untuk kelulusan. Kadar yang dicadangkan ini akan diselaraskan mengikut kadar tambang sedia ada serta orang kurang upaya dan warga tua akan dikenakan tambang separuh harga.
Perkhidmatan bas awam oleh Rapid Penang dari Nibong Tebal melalui Megamall ke Terminal Feri Butterworth dan sebaliknya adalah pada kekerapan setiap 45 minit. Perkhidmatan dari Seberang Perai ke bahagian pulau terbahagi kepada dua laluan iaitu dari Megamall melalui Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong ke Bayan Baru pada kekerapan 20 minit serta dari Megamall ke Komtar dan Pengkalan Weld pada kekerapan 20 minit.
Perkhidmatan bas feeder dari Pekan Nibong Tebal ke kampung-kampung di sekeliling tidak disediakan di bawah Fasa 1 perkhidmatan oleh Rapid Penang yang akan bermula pada 1 Ogos 2007. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan bekerjasama dan berusaha dengan pihak Rapid Penang untuk menyediakan perkhidmatan feeder ini secara berperingkat dengan penambahbaikan perkhidmatan bas awam di laluan-laluan utama.